Diterbitkan pada 18 Mei 2026, 16:48

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Johor Bahru – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mempergiat usaha memperkasakan pengguna melalui pelaksanaan Program Advokasi Dasar Pengguna Negara (DPN 2.0) dan Bual Bicara Pengguna di Johor Bahru hari ini sebagai langkah meningkatkan daya tahan rakyat menghadapi tekanan ekonomi global, serta kenaikan kos sara hidup.

Timbalan Menteri KPDN, Senator Datuk Dr. Fuziah Salleh berkata, DPN 2.0 yang digerakkan berasaskan lima teras utama memberikan penekanan terhadap usaha meningkatkan kefahaman pengguna tentang realiti ekonomi semasa agar rakyat lebih bersedia mengurus perbelanjaan secara bijak dan berhemah.

Menurut beliau, pendekatan tersebut penting susulan ketidaktentuan ekonomi dunia dan gangguan rantaian bekalan global yang memberikan kesan terhadap harga barangan, serta kos kehidupan rakyat.

“Melalui Teras 2: Mendayaupayakan Pengguna dan Menyemarakkan Aktivisme Kepenggunaan, kerajaan menumpukan usaha membina ilmu, kesedaran dan pelibatan aktif masyarakat dalam isu kepenggunaan,” katanya dalam kenyataan media.

Beliau berkata, antara inisiatif utama yang diperkasakan menerusi DPN 2.0 termasuklah Skuad Kita Pengguna (SKiP) yang berperanan sebagai medium penyampaian maklumat tepat kepada masyarakat berkaitan dengan amalan perbelanjaan berhemah dan penggunaan lestari.

Setakat Mac 2026, sebanyak 32,660 ahli SKiP telah berdaftar di seluruh negara, manakala 18 program latihan kesedaran pengguna berjaya dilaksanakan.

KPDN yakin pelibatan aktif komuniti melalui SKiP mampu membantu kerajaan memperkukuh kestabilan harga barang, melindungi kebajikan pengguna dan mewujudkan ekosistem pasaran yang lebih telus, serta berintegriti.

Pengguna turut disaran memanfaatkan saluran digital rasmi seperti aplikasi EzAdu KPDN, WhatsApp rasmi dan sistem e-Tribunal bagi menyalurkan aduan berkaitan dengan isu kepenggunaan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi