Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mengumumkan penerusan Skim 1 OKU 1 Perniagaan (S1O1P) bagi tahun 2026 yang menawarkan peluang kepada usahawan orang kurang upaya (OKU) mendaftarkan perniagaan mereka secara sah tanpa dikenakan sebarang bayaran.
Inisiatif utama di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) ini bertujuan mengurangkan beban kos permulaan, serta menggalakkan pelibatan lebih banyak golongan OKU dalam sektor perniagaan secara formal.
Menerusi skim ini, pemohon layak menerima pengecualian fi pendaftaran sebanyak RM30 setahun bagi perniagaan milikan tunggal menggunakan nama sendiri seperti dalam kad pengenalan, atau RM60 setahun bagi perniagaan yang menggunakan nama tred.
Walau bagaimanapun, manfaat pendaftaran percuma ini terhad kepada satu perniagaan bagi setiap individu OKU sahaja.
Pelaksanaan skim ini akan bermula pada 1 Jun 2026 dan meliputi kawasan Semenanjung Malaysia, serta Wilayah Persekutuan Labuan sahaja.
Inisiatif ini merupakan satu daripada empat Inisiatif Utama SSM bagi tahun 2026 dalam menyokong agenda ekonomi inklusif di bawah aspirasi Malaysia MADANI.

Usahawan OKU yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut dan merujuk soalan kerap tanya (FAQ) di portal rasmi SSM menerusi pautan www.ssm.com.my atau mengimbas kod QR yang disediakan pada poster rasmi.