Diterbitkan pada 11 Mei 2026, 12:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kementerian Ekonomi mengukuhkan komitmen negara dalam memacu industri semikonduktor melalui penyerahan tawaran di bawah Kerjasama Strategik Malaysia–Arm kepada tiga syarikat tempatan.

Inisiatif ini merupakan langkah proaktif negara dalam memperkasakan keupayaan reka bentuk litar bersepadu (IC).

Tiga buah syarikat yang terpilih menerima tawaran tersebut ialah Great Asic Technology Sdn. Bhd., SkyeChip Bhd., dan Oppstar Technology Sdn. Bhd.

Melalui tawaran ini, sebanyak empat token termasuk Arm Compute Subsystems dan Arm Flexible Access diluluskan, sekali gus membuka akses kepada platform pengkomputeran dan portfolio harta intelek (IP) bertaraf dunia bagi mempercepat pembangunan produk semikonduktor tempatan.

Menteri Ekonomi, Yang Berhormat (YB) Tuan Haji Akmal Nasrullah Haji Mohd Nasir menyatakan bahawa penyerahan tawaran ini memberikan isyarat jelas bahawa Malaysia sedang beralih ke fasa baharu dalam industri semikonduktor.

Menurut beliau, Malaysia tidak lagi boleh hanya bergantung pada aktiviti pemasangan, pengujian dan pembungkusan cip semata-mata.

“Kita mesti melangkah lebih jauh daripada aktiviti pembuatan bahagian belakang kepada bahagian hadapan, daripada sekadar menghasilkan produk kepada mereka bentuk, membangunkan IP, serta mencipta teknologi sendiri,” ujar beliau dalam kenyataan tersebut.

Kerjasama strategik ini merangkumi tiga teras utama antaranya termasuklah sasaran melatih 10,000 bakat dalam bidang reka bentuk IC, serta memberikan akses teknologi kepada syarikat Malaysia yang terpilih untuk menghasilkan produk semikonduktor rekaan tempatan sepenuhnya.

Selain itu, inisiatif ini juga dirangka selari dengan hala tuju Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13), Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan Strategi Semikonduktor Nasional (NSS).

Fokus utama diberikan kepada pembangunan industri bernilai tambah tinggi yang merangkumi reka bentuk cip, pembungkusan termaju, serta fabrikasi wafer.

Kementerian Ekonomi menegaskan bahawa kejayaan inisiatif ini akan diukur melalui hasil nyata, termasuk penghasilan produk yang boleh dikomersialkan, pendaftaran lebih banyak harta intelek di Malaysia, serta pelibatan lebih banyak bakat tempatan dalam kerja reka bentuk cip bernilai tinggi.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi