Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangDalam era Revolusi Perindustrian 4.0, serta peralihan ke arah ekonomi digital dan hijau, landskap pasaran kerja global sedang mengalami transformasi yang ketara. Malaysia tidak terkecuali daripada arus perubahan ini.
Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) telah melaksanakan kajian komprehensif bertajuk Impact of Artificial Intelligence (AI), Digitalisation and Green Economy on the Malaysian Workforce bagi menilai sejauh mana perkembangan teknologi dan trend ekonomi baharu akan mempengaruhi struktur pekerjaan dalam negara.
Kajian yang diterbitkan pada November 2024 tersebut memperlihatkan bahawa kecerdasan buatan (AI), pendigitalan dan ekonomi hijau dijangka memberikan kesan besar terhadap tenaga kerja Malaysia dalam tempoh tiga tahun hingga lima tahun akan datang.
Dianggarkan antara 620,000 pekerja hingga 685,000 pekerja akan mengalami gangguan tahap tinggi merentasi sekurang-kurangnya 18 sektor utama. Selain itu, kira-kira 1.8 juta pekerja lagi berada dalam kategori impak sederhana yang memerlukan peningkatan kemahiran bagi menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi. Secara keseluruhan, lebih daripada 2.4 juta pekerja dijangka terlibat secara langsung atau melalui perubahan fungsi kerja.
Istilah “gangguan tahap tinggi” dalam konteks kajian ini tidak semestinya merujuk kehilangan pekerjaan secara mutlak. Sebaliknya, perkara ini melibatkan peralihan peranan, penggabungan fungsi, pengurangan tugas rutin, serta peningkatan keperluan terhadap kemahiran lanjutan dan integrasi teknologi dalam tugasan harian. Transformasi ini menandakan perubahan struktur pekerjaan yang meluas, bukan sekadar pengurangan peluang kerja.
Antara sektor yang dikenal pasti terkesan termasuklah Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), Perkhidmatan Perniagaan Global, Elektrikal dan Elektronik (E&E), aeroangkasa, tenaga dan kuasa, pembuatan farmaseutikal, peranti perubatan, perdagangan borong dan runcit, logistik dan rantaian bekalan, pembinaan, pengangkutan pintar, automasi pembuatan, perkhidmatan kewangan, serta sokongan pentadbiran dan khidmat pelanggan. Senarai ini dijangka berkembang apabila kajian lanjutan merangkumi sektor lain seperti pelancongan, kesihatan, pertanian dan sektor awam.
Kajian tersebut turut menekankan bahawa pekerjaan yang melibatkan tugasan rutin dan berulang berada pada tahap risiko yang lebih tinggi untuk digantikan atau dipermudah melalui automasi robotik, AI generatif, analitik data automatik, integrasi Internet benda (IoT) dan sistem automasi proses perniagaan.
Antara peranan yang dikenal pasti termasuklah pekerja sokongan pentadbiran, khidmat pelanggan asas, operator pengeluaran, pekerja logistik, serta penyelaras dokumentasi dan data. Walau bagaimanapun, elemen seperti kreativiti, pemikiran kritikal, pertimbangan etika dan kemahiran interpersonal kekal sebagai nilai tambah manusia yang sukar digantikan sepenuhnya oleh mesin.
Dalam masa yang sama, kajian TalentCorp mengenal pasti lebih daripada 60 peranan baharu yang muncul hasil perkembangan AI, pendigitalan dan ekonomi hijau. Sebahagian besar daripadanya berkaitan dengan teknologi digital dan AI, manakala selebihnya tertumpu pada bidang kelestarian dan teknologi hijau.
Antara kerjaya yang semakin mendapat permintaan termasuklah jurutera AI, arkitek sistem AI, jurutera dan penganalisis data, pakar keselamatan siber, pakar integrasi IoT, pakar kelestarian, jurutera tenaga boleh baharu, serta pengurus transformasi digital. Perkembangan ini menunjukkan bahawa masa hadapan pekerjaan akan lebih bergantung pada literasi data, kecekapan teknologi dan kesedaran terhadap agenda kelestarian.
Dari perspektif ekonomi, dapatan kajian ini membawa beberapa implikasi penting. Pertama, perubahan yang berlaku lebih menjurus kepada transformasi peranan berbanding penghapusan pekerjaan secara menyeluruh. Seorang pekerja khidmat pelanggan, misalnya, berpotensi beralih kepada pengurusan interaksi kompleks, penyeliaan sistem bot sembang (chatbot) atau analisis pengalaman pelanggan setelah menjalani latihan peningkatan kemahiran.
Yang kedua, AI berfungsi sebagai pelengkap kepada tenaga manusia dalam banyak keadaan, bukan pengganti sepenuhnya. Yang ketiga, keperluan terhadap pembelajaran sepanjang hayat dan latihan semula menjadi semakin kritikal bagi memastikan tenaga kerja kekal relevan.
Sebagai respons terhadap cabaran ini, TalentCorp turut memperkenalkan platform MyMAHIR bagi membantu pekerja dan majikan mengenal pasti trend industri, laluan kerjaya, serta jurang kemahiran yang perlu ditangani. Platform ini menyediakan maklumat berkaitan dengan apeluang pekerjaan baharu dan sumber latihan yang bersesuaian.
Di samping itu, penubuhan Future Skills Talent Council bertujuan merapatkan kerjasama antara industri, institusi pendidikan dan kerajaan dalam membentuk ekosistem pembangunan bakat masa hadapan yang lebih responsif.
Kesimpulannya, perkembangan AI, pendigitalan dan ekonomi hijau bukan sekadar mencetuskan cabaran kepada pasaran buruh Malaysia, malah membuka ruang transformasi yang luas.
Walaupun ratusan ribu pekerjaan dikategorikan sebagai terkesan secara signifikan, perubahan ini juga melahirkan pelbagai peluang baharu yang bernilai tinggi. Keupayaan negara untuk menyesuaikan diri melalui strategi peningkatan kemahiran, kerjasama pelbagai pihak dan pembudayaan pembelajaran sepanjang hayat akan menjadi penentu utama daya saing tenaga kerja Malaysia dalam dekad mendatang.
Penulis merupakan pengamal media sejak tahun 1973 dan masih aktif menulis sehingga kini.