Diterbitkan pada 6 Oktober 2025, 11:58

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Dunia kini berada di ambang revolusi teknologi yang belum pernah disaksikan sebelum ini. Meskipun kecerdasan buatan (AI) menjanjikan pelbagai kemudahan dan inovasi, kehadiran teknologi deepfake (palsu asli) memperlihatkan sisi gelap yang berpotensi menghancurkan struktur ekonomi dan kepercayaan sosial secara sistematik.

World Economic Forum meramalkan sekitar 85 juta pekerjaan bakal digantikan oleh AI dalam tempoh lima tahun hingga sepuluh tahun akan datang. Namun demikian, dalam deretan statistik dan ramalan itu, satu cabang teknologi AI semakin menyusup masuk dalam pelbagai sektor yang bukan untuk membantu, sebaliknya membawa kemudaratan.

Deepfake secara asasnya merujuk teknologi yang menggunakan algoritma AI untuk mencipta atau mengubah video, audio dan imej sehingga kelihatan begitu asli. Teknologi ini pertama kali menarik perhatian dunia sekitar tahun 2017 apabila pengguna di platform Reddit berkongsi video yang menukar wajah individu secara digital.

Sejak itu, teknologi ini terus berkembang. Hari ini, perbezaan antara realiti dengan manipulasi semakin kabur. Video yang kelihatan sahih boleh jadi hanyalah ciptaan perisian canggih yang menyadur wajah, suara dan gerak bibir individu tertentu bagi menyampaikan mesej palsu.

Yang lebih membimbangkan, deepfake kini dimanipulasi secara meluas untuk tujuan penipuan, pemerasan, propaganda, pelaburan palsu, bahkan serangan terhadap reputasi tokoh-tokoh ternama. Tokoh seperti Donald Trump, Elon Musk dan Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim pernah dikaitkan dengan kandungan deepfake, sama ada dalam bentuk video perbualan geopolitik atau promosi skim pelaburan yang menjanjikan pulangan tidak masuk akal. Hakikatnya, semua itu hanyalah rekaan halus ciptaan AI.

Ekonomi dalam Bahaya

Kes yang melibatkan penipuan deepfake bukan lagi bersifat anekdot. Perkara ini telah menjadi krisis sistemik yang mengancam kestabilan ekonomi. Menurut kajian “Trend Deepfake 2024” oleh platform keselamatan digital, Regula, hampir separuh daripada syarikat global (49 peratus) mengakui pernah menjadi mangsa serangan deepfake dalam tempoh 12 bulan terakhir.

Lebih mengejutkan, 92 peratus daripada mereka mengalami kerugian kewangan, dengan nilai purata mencecah USD450,000. Dalam industri kripto, lebih daripada separuh melaporkan insiden penipuan melibatkan video dan audio palsu. Industri kewangan pula merekodkan purata kerugian sekitar USD600,000 bagi setiap syarikat.

Ironinya, penjenayah tidak memerlukan modal besar untuk melaksanakan operasi ini. Perisian deepfake boleh dibeli pada harga serendah USD20. Namun begitu, kesannya meliputi kerugian berbilion dolar kepada ekonomi global.

Dalam satu kes di Hong Kong, sebuah syarikat multinasional mengalami kerugian USD25.6 juta selepas pekerjanya tertipu dengan sesi video mesyuarat yang seluruhnya menggunakan wajah dan suara palsu eksekutif kanan syarikat. Dalam kes lain, sindiket cinta palsu yang menggunakan avatar deepfake “wanita rupawan” berjaya memperdaya mangsa untuk menyerahkan USD46 juta dalam bentuk pelaburan palsu.

Fenomena ini semakin membarah. Laporan akhbar China, South China Morning Post (SCMP) menyebut bahawa sindiket di Hung Hom yang terdiri daripada anak muda berpendidikan tinggi berjaya ditumpaskan selepas terbukti menggunakan teknologi AI untuk menipu pelabur dari Hong Kong, Taiwan, India, China dan Singapura.

Manipulasi Pasaran Saham dan Kecairan Modal

Deepfake bukan sekadar alat penipuan individu. Teknologi ini turut digunakan untuk memanipulasi pasaran saham. Satu video atau audio palsu yang memaparkan kenyataan kontroversi oleh tokoh ternama cukup untuk menggoncang sentimen pelabur.

Strategi nilai saham sengaja dinaikkan melalui penyebaran maklumat palsu sebelum dijual pada harga tinggi kini semakin mudah dilakukan dengan bantuan AI. Akibatnya, pelabur yang tertipu mengalami kerugian besar apabila harga saham jatuh mendadak.

Hal ini menyebabkan ketidakstabilan pasaran kewangan apabila pelabur kehilangan kepercayaan terhadap maklumat digital yang selama ini menjadi asas keputusan pelaburan. Kecairan modal berkurangan, keyakinan awam merudum dan reputasi syarikat boleh musnah sekelip mata.

Ancaman terhadap Prosedur Keselamatan

Teknologi deepfake turut mencabar prosedur keselamatan seperti Kenali Pelanggan Anda (KYC), satu langkah penting dalam pengesahan identiti pelanggan oleh institusi kewangan. Meskipun prosedur ini direka dengan kawalan ketat, deepfake mampu menembusinya.

Bayangkan, dengan hanya rakaman wajah dan suara tiruan, seseorang boleh membuka akaun palsu, memindahkan dana dan menjalankan transaksi mencurigakan tanpa dapat dikesan.

Menurut pi-labs.ai, kerugian global akibat deepfake melebihi AS$6 bilion pada tahun lalu. Dalam hampir semua kes, penjenayah berjaya mencipta avatar digital yang mampu memperdayakan manusia dan sistem.

Di tengah kebimbangan yang semakin meningkat, tokoh teknologi seperti Elon Musk dan Bill Gates mempunyai pandangan yang berbeza. Musk memberikan amaran bahawa AI mempunyai potensi untuk menjadi “instrumen berbahaya” dan bertindak di luar kawalan manusia.

Sementara itu, Gates lebih optimis.Dalam artikel blog bertajuk “Risiko AI ialah Nyata, Tetapi Boleh Ditangani” yang diterbitkan pada Julai 2023, Gates menekankan bahawa masyarakat perlu belajar mengenali tipu daya digital, sama seperti mereka dahulu belajar untuk tidak mudah terpedaya dengan e-mel penipuan.

Beliau percaya teknologi yang sama boleh digunakan untuk menentang deepfake. Microsoft sendiri telah memperkenalkan Microsoft Video Authenticator yang mampu mengesan manipulasi dalam foto atau video secara waktu nyata.

Yang lebih penting menurut Gates ialah pelaksanaan undang-undang tegas termasuk keperluan melabelkan semua kandungan AI sebagai bukan asli. Pendidikan digital dan kesedaran masyarakat juga harus diperhebat.

Menangani Ancaman, Menuju Masa Hadapan

Kehadiran AI, termasuk teknologi seperti deepfake memang tidak dapat dielakkan. Kajian menunjukkan bahawa AI mampu meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global sehingga 14 peratus menjelang tahun 2030 melalui inovasi, automasi dan peningkatan produktiviti. Namun begitu, jika disalahgunakan, teknologi ini juga boleh menyebabkan kerugian yang tidak terkira, baik dari sudut kewangan, sosial, mahupun psikologi.

Teknologi pengesanan deepfake masih mempunyai ketepatan rendah, iaitu sekitar 65 peratus. Hal ini menunjukkan keperluan mendesak untuk pelaburan berterusan dalam penyelidikan dan pembangunan.

Oleh itu, kerajaan, syarikat teknologi, institusi kewangan dan pengguna mesti bersatu dalam membangunkan ekosistem keselamatan digital yang kukuh. Langkah proaktif dan segera perlu diambil sebelum kerosakan menjadi lebih serius dan sukar untuk dipulihkan. Deepfake bukan sekadar mainan teknologi, bahkan ancaman sebenar yang halus, senyap dan sangat berbahaya.

Kredit Foto: Pikisuperstar (Freepik)
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi