Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangFenomena keusahawanan dalam kalangan generasi Z (gen Z) pada masa ini bukan lagi sekadar trend bermusim, sebaliknya mencetuskan anjakan paradigma yang signifikan dalam landskap ekonomi digital negara. Walaupun prinsip asas perniagaan kekal tidak berubah, pendekatan yang diterapkan oleh Gen Z, khususnya melalui platform TikTok memberikan nafas baharu kepada dunia keusahawanan.
Kejayaan usahawan muda seperti Cik B yang berjaya menjana pendapatan lumayan pada usia muda membuktikan bahawa media sosial menjadi “lubuk emas” bagi mereka yang bijak merebut peluang. Selari dengan agenda Matlamat Pembangunan Mampan (SDG 8), TikTok berperanan sebagai inkubator pemasaran yang menyokong pertumbuhan ekonomi mampan melalui penciptaan pekerjaan produktif, khususnya untuk golongan belia.
Berdasarkan laporan Digital 2025: Malaysia yang diterbitkan oleh DataReportal, TikTok mencatatkan sekitar 19.3 juta pengguna aktif di Malaysia pada tahun 2025 merangkumi lebih separuh daripada populasi pengguna Internet negara. Statistik daripada Jabatan Perangkaan Malaysia melalui penerbitan Ekonomi Digital Malaysia 2025 pula mengesahkan bahawa kadar penembusan Internet dalam kalangan rakyat Malaysia mencecah sekitar 98 peratus pada tahun 2024, sekali gus mempercepat proses transformasi digital negara secara menyeluruh.
TikTok: Revolusi Pemasaran Kandungan dan Pembinaan Ekuiti Jenama
Pada peringkat awal, TikTok hanya dikenali sebagai aplikasi video pendek untuk tujuan hiburan. Namun demikian, platform ini berkembang dan menjadi sebahagian daripada ekosistem ekonomi digital yang menghubungkan pengeluar, pempengaruh dan pengguna dalam kitaran interaksi masa nyata. TikTok berfungsi sebagai enjin pemasaran kandungan yang berpengaruh di peringkat global.
Kejayaan ikon digital seperti Khairul Aming menjadi bukti keberkesanan platform ini dalam membina ekuiti jenama tanpa memerlukan perbelanjaan pengiklanan yang besar. Melalui penghasilan kandungan yang konsisten dan bersifat autentik, beliau berjaya membina kepercayaan jutaan pengikut yang kemudiannya bertukar menjadi pelanggan setia.
Dalam konteks ini, pempengaruh berperanan sebagai perantara komunikasi yang dipercayai oleh masyarakat. Keikhlasan dan ketelusan dalam mempromosikan produk menjadi faktor utama dalam pembinaan kepercayaan jenama. Dalam ekosistem digital, integriti seseorang pempengaruh mencerminkan maruah jenama yang diwakilinya.
Kehebatan ekosistem TikTok Shop turut terserlah apabila platform ini menjadi pemacu utama pendigitalan perniagaan mikro. Lebih daripada 100,000 orang usahawan dilaporkan mendapat manfaat daripada program latihan intensif hasil kerjasama strategik antara sektor awam dengan swasta.
TikTok Shop bukan sekadar berfungsi sebagai saluran jualan, malah bertindak sebagai inkubator digital yang mempercepat proses transformasi perniagaan. Inisiatif ini selari dengan Dasar Keusahawanan Nasional (DKN 2030) yang menekankan penguasaan teknologi digital sebagai prasyarat utama untuk menjamin kelangsungan dan daya saing usahawan kecil dalam pasaran global yang semakin kompetitif.
Satu daripada kekuatan utama TikTok sebagai platform permulaan keusahawanan ialah keupayaannya memendekkan corong pemasaran. Jika sebelum ini proses pemasaran memerlukan tempoh yang panjang untuk mengubah kesedaran pengguna kepada pembelian, ciri TikTok Live dan TikTok Shop membolehkan proses tersebut berlaku secara serta-merta. Melalui penstriman langsung, pengguna dapat menyaksikan demonstrasi produk, mengemukakan soalan dan melengkapkan transaksi dalam satu sesi yang sama tanpa perlu menanggung kos tinggi untuk menyewa premis fizikal.
Penggunaan algoritma pintar For You Page (FYP) pula membolehkan produk dipaparkan kepada khalayak sasaran yang tepat berdasarkan minat dan tingkah laku pengguna. Gabungan visual yang menarik, serta tempo video yang pantas memudahkan usahawan gen Z menarik perhatian pengguna secara organik. Secara tidak langsung, keadaan ini membantu mengurangkan kos pemerolehan pelanggan yang lazimnya menjadi cabaran utama pada peringkat awal perniagaan.
Menurut data Jabatan Perangkaan Malaysia, jumlah transaksi e-dagang negara melebihi RM1.18 trilion, sekali gus membuka peluang besar untuk merapatkan jurang ekonomi antara peniaga bandar dengan luar bandar. Pendigitalan ini bertepatan dengan kerangka Ekonomi MADANI yang bertujuan memperkasakan usahawan mikro agar lebih berdaya saing melalui penggunaan teknologi yang inklusif.
Psikologi Gen Z: Kreativiti sebagai Modal Utama
Gen Z sering digambarkan sebagai “pribumi digital” yang mempunyai hubungan rapat dengan peranti pintar serta keupayaan tinggi untuk membaca dan menyesuaikan diri dengan trend semasa. Fenomena “fear of missing out” (FOMO) menjadikan mereka tangkas mencipta kandungan tular bagi memenuhi selera pengguna yang sentiasa berubah. Bagi kelompok ini, kekangan modal kewangan bukan lagi penghalang utama, sebaliknya kreativiti digital menjadi mata wang baharu dalam pasaran ekonomi moden.
Dari sudut sosiologi ekonomi, gen Z lebih cenderung menyokong jenama yang mempunyai penceritaan yang kuat dan berunsur kemanusiaan. Mereka tidak lagi tertarik dengan iklan korporat yang bersifat kaku dan formal. Pendekatan ini secara langsung menyumbang kepada usaha kerajaan untuk meningkatkan sumbangan ekonomi digital kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dengan kreativiti individu menjadi pemacu utama penciptaan nilai ekonomi.
Strategi Pemerkasaan dan Kelestarian Dasar
Bagi memastikan momentum keusahawanan digital ini dapat dikekalkan secara mampan, beberapa langkah strategik perlu dilaksanakan agar usahawan muda tidak menjadi “seperti katak di bawah tempurung” apabila perniagaan mereka berkembang. Pertama, literasi pemasaran digital perlu diselaraskan secara lebih formal supaya usahawan Gen Z dapat beralih daripada peranan pencipta kandungan kepada pengurus perniagaan yang strategik.
Yang kedua, penyelarasan dasar e-dagang wajar diperkukuh melalui skim pembiayaan mikro yang lebih fleksibel bagi menyokong pelaksanaan Pelan Strategik Pendigitalan Sektor Awam, khususnya untuk usahawan solo yang beroperasi sepenuhnya melalui media sosial.
Yang ketiga, pendidikan literasi kewangan dan pematuhan cukai perlu diperkasakan bagi menjamin kelangsungan perniagaan jangka masa panjang. Kesedaran tentang tanggungjawab percukaian bukan sahaja penting dari sudut pematuhan undang-undang, malah merupakan asas kepada pembinaan perniagaan yang berintegriti dan berdaya tahan. Realitinya, terdapat usahawan muda yang mencatatkan aliran tunai tinggi tetapi lemah dalam pengurusan fiskal.
Oleh itu, kerjasama strategik antara agensi seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) amat penting untuk meningkatkan literasi fiskal dalam kalangan usahawan muda.
Selain itu, infrastruktur digital di kawasan luar bandar perlu terus diperkukuh melalui inisiatif Jalinan Digital Negara (JENDELA) agar belia di kawasan pedalaman turut menikmati peluang yang sama dalam ekonomi kreatif. Tanpa capaian Internet yang stabil, potensi kreatif golongan ini berisiko terbiar tanpa dimanfaatkan.
Etika dan Integriti dalam Dunia Tular
Dalam keghairahan mengejar tularnya, usahawan gen Z perlu sentiasa peka terhadap aspek etika dan integriti. Amalan “pemasaran sampah” atau strategi yang berasaskan kontroversi melampau boleh merosakkan reputasi perniagaan dalam jangka masa panjang.
Pengguna masa ini semakin matang dan kritis dalam menilai keikhlasan sesebuah jenama. Oleh itu, pewujudan garis panduan etika pemasaran digital adalah penting bagi memastikan kandungan yang dihasilkan bersifat telus, serta menghormati sensitiviti masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan budaya.
Secara keseluruhannya, TikTok telah membuktikan peranannya sebagai platform permulaan keusahawanan yang paling dinamik bagi gen Z di Malaysia. Pelibatan aktif generasi muda di platform ini telah mengubah wajah pemasaran domestik menjadi lebih inklusif dan kompetitif.
Namun begitu, kerjasama bersepadu antara kerajaan dengan institusi akademik dan usahawan muda amat diperlukan bagi memastikan pertumbuhan ekonomi digital negara dapat dipacu secara mampan. Dengan TikTok dijadikan sebagai batu loncatan, gen Z bukan sahaja mampu membina kerjaya dan perniagaan sendiri, malah berpotensi menjadi nadi penggerak kepada pembangunan ekonomi digital Malaysia yang berdaya saing, berintegriti dan disegani pada peringkat global.