Diterbitkan pada 3 Februari 2026, 08:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Belanjawan MADANI 2026 yang dibentangkan oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada 10 Oktober 2025 membawa mesej yang jelas tentang hala tuju baharu pembangunan negara. Malaysia secara rasmi melangkah ke fasa transformasi ekonomi berasaskan kecerdasan buatan (AI). Jika sebelum ini teknologi digital, termasuk AI hanya dianggap sebagai pelengkap dalam kehidupan dan ekonomi, kini AI telah diangkat sebagai satu daripada tonggak utama pembangunan negara.

Melalui Belanjawan MADANI 2026, kerajaan MADANI menegaskan tekad untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara AI menjelang tahun 2030, satu visi strategik yang disokong oleh pelaburan berskala besar, pembangunan bakat tempatan dan penggubalan dasar yang bersifat inklusif, serta beretika.

AI sebagai Tonggak Ekonomi Baharu

Dalam kerangka Belanjawan MADANI 2026, AI ditempatkan sebagai antara sektor teras ekonomi MADANI. Pendekatan ini mencerminkan hasrat kerajaan untuk mengangkat Malaysia bukan sekadar sebagai pengguna teknologi, tetapi sebagai pencipta dan peneraju inovasi berimpak tinggi.

Menuju ke arah itu, Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan (NAIO), serta Fakulti Kecerdasan Buatan pertama negara di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) akan terus diperkasakan bagi melahirkan tenaga mahir tempatan yang mampu bersaing pada peringkat global.

Sokongan turut diperluas kepada universiti awam dan universiti swasta lain seperti Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Multimedia (MMU) untuk meneroka bidang AI dalam jurusan strategik, termasuk semikonduktor, perubatan dan kriptologi. Perkembangan ini menandakan bahawa AI bukan lagi terhad kepada sektor teknologi maklumat semata-mata, sebaliknya merentas pelbagai bidang kritikal negara.

Satu lagi pencapaian penting ialah pelancaran Intelek Luhur Malaysia Untukmu (ILMU), iaitu model bahasa AI pertama negara hasil kerjasama Universiti Malaya dan YTL AI Labs. ILMU bukan sekadar produk teknologi, malah menjadi simbol keupayaan Malaysia membangunkan sistem AI yang memahami bahasa, budaya dan konteks tempatan.

Pelaburan Global dan Infrastruktur Data

Keupayaan Malaysia menarik pelaburan syarikat teknologi global membuktikan keyakinan dunia terhadap hala tuju digital negara. Antara pelaburan utama yang diumumkan termasuklah komitmen Microsoft bernilai USD2.2 bilion bagi membangunkan Wilayah Awan Malaysia Barat, serta pelaburan Google berjumlah USD2 bilion untuk pembinaan pusat data dan wilayah Google Cloud baharu di Selangor. Amazon Web Services (AWS) pula terus memperkukuh ekosistem digital tempatan melalui pembangunan analitik data raya dan pembelajaran mesin.

Dari sudut pembangunan modal insan, Microsoft merancang untuk melatih 800,000 rakyat Malaysia menerusi program AI for Malaysia’s Future, manakala Google akan melaksanakan inisiatif AI@Work 2.0 khusus untuk penjawat awam. Langkah ini menunjukkan bahawa transformasi AI tidak terhad kepada pembinaan infrastruktur fizikal semata-mata, tetapi turut memberikan penekanan terhadap pembangunan kemahiran rakyat.

Pada masa yang sama, kerajaan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan membangunkan Sovereign AI Cloud dengan pelaburan bernilai RM2 bilion bagi memastikan data negara disimpan dan diurus dalam sistem awan yang selamat, serta berdaulat.

Peruntukan Penyelidikan dan Inovasi

Belanjawan MADANI 2026 memperuntukkan hampir RM5.9 bilion bagi aktiviti Penyelidikan, Pembangunan, Pengkomersialan dan Inovasi (RDCI) merentas pelbagai kementerian. Daripada jumlah tersebut, RM20 juta disalurkan kepada NAIO bagi memperkukuh infrastruktur digital dan pembangunan bakat berkemahiran tinggi.

Bagi mempercepat penerimagunaan teknologi baharu, kerajaan turut menyediakan RM53 juta melalui Geran Pecutan Digital Malaysia untuk pembangunan teknologi seperti AI, blok rantai (blockchain) dan pengkomputeran kuantum. Institut Sistem Mikroelektronik Malaysia Berhad (MIMOS) pula diberi mandat membangunkan teknologi blok rantai dan sistem pengesanan palsu asli (deepfake) sebagai langkah awal menangani cabaran keselamatan dan etika dalam persekitaran digital moden.

Galakan kepada Industri dan PMKS

Kerajaan MADANI turut memberikan tumpuan pada keupayaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) untuk menyesuaikan diri dengan teknologi AI. Antara insentif yang diperkenalkan termasuklah potongan cukai tambahan sebanyak 50 peratus bagi kos latihan berkaitan dengan AI dan keselamatan siber dengan syarat latihan tersebut diiktiraf oleh MyMahir National AI Council for Industry (NAICI).

Selain itu, Dana Pembangunan Industri Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) berjumlah RM180 juta diperuntukkan bagi menyokong sektor berimpak tinggi seperti farmaseutikal, semikonduktor, digital dan AI. Langkah ini bukan sahaja memperkukuh daya saing industri tempatan, malah membuka peluang pekerjaan bernilai tinggi kepada rakyat.

Pendekatan ini penting bagi memastikan syarikat tempatan tidak ketinggalan dalam arus automasi dan pendigitalan yang semakin pesat, sekali gus menjadikan AI sebagai keperluan asas merentas semua sektor ekonomi.

Pembangunan Bakat dan Pendidikan AI

Aspek pembangunan bakat turut diberikan penekanan yang serius. Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara menerima peruntukan RM45 juta bagi menerapkan ilmu AI kepada 10,000 orang pelajar tahfiz dan pondok melalui Program IPT@Komuniti. Pada masa yang sama, Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) menyediakan RM650 juta bagi pembiayaan latihan dalam bidang AI, kenderaan elektrik dan semikonduktor.

Langkah ini mencerminkan pendekatan inklusif kerajaan bagi memastikan AI dapat diakses oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang pendidikan atau sosioekonomi.

Etika dan Tanggungjawab Sosial AI

Menyedari implikasi sosial dan moral AI, SKMM akan menubuhkan Pusat Transformasi AI dengan kerjasama MMU dan Center of Excellence in Ethics for Emerging Technologies. Pusat ini akan memfokuskan penyelidikan dan pembangunan AI yang beretika, serta sensitif terhadap nilai budaya tempatan. Pendekatan ini menegaskan pendirian Malaysia bahawa kemajuan teknologi mesti seiring dengan nilai kemanusiaan dan prinsip keadilan sosial.

Dengan pelaburan besar, infrastruktur yang kukuh dan strategi yang menyeluruh, Malaysia berada pada landasan yang tepat untuk mencapai status negara AI menjelang tahun 2030. Namun demikian, kejayaan ini menuntut komitmen bersama daripada kerajaan, industri, institusi pendidikan dan rakyat keseluruhannya.

AI bukan sekadar soal teknologi, tetapi tentang cara teknologi dimanfaatkan untuk meningkatkan kualiti hidup, produktiviti dan kesejahteraan sosial. Seiring dengan semangat MADANI, kemajuan hanya bermakna apabila manfaatnya dapat dirasai secara adil oleh semua.

Belanjawan MADANI 2026 bukan sekadar dokumen fiskal tahunan, tetapi sebuah pelan strategik jangka masa panjang bagi memastikan Malaysia mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan kuasa teknologi dunia dalam era ekonomi berasaskan data dan algoritma.

Kredit Foto: Freepik
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi