Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPerkembangan pesat kecerdasan buatan (AI) dan teknologi automasi semakin mendapat perhatian dalam konteks pasaran buruh di Malaysia. Hal ini demikian kerana AI dijangka memberikan impak besar kepada pelbagai sektor ekonomi, serta permintaan terhadap tenaga kerja.
Dari sudut positif, satu daripada manfaat utama AI ialah peningkatan kecekapan dan produktiviti. Dengan mengautomasikan tugas-tugas rutin, pekerja kini dapat menumpukan perhatian pada kerja yang memerlukan kreativiti, pemikiran kritikal dan kemahiran interpersonal yang lebih tinggi.
Tambahan pula, AI berperanan penting dalam membantu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) untuk bersaing pada peringkat global. Melalui aplikasi AI, PKS dapat mempertingkat operasi mereka dengan memanfaatkan analitik data, pemasaran digital dan pengurusan rantaian bekalan yang lebih berkesan. Sebagai contoh, syarikat e-dagang berskala kecil boleh menggunakan teknologi AI untuk menyesuaikan cadangan produk berdasarkan keutamaan pelanggan, sekali gus meningkatkan jualan serta tahap kepuasan pelanggan.
Manfaat AI juga dapat dilihat dalam pelbagai sektor ekonomi utama di Malaysia. Dalam sektor pembuatan, penggunaan teknologi seperti robotik dan analitik data mampu meningkatkan produktiviti dengan mengurangkan kesilapan manusia. Dalam sektor perkhidmatan pula, penggunaan bot sembang (chatbot) dan automasi perkhidmatan pelanggan membantu menjimatkan kos dan masa dengan menggantikan tugas yang berulang.
Kehadiran AI turut mencipta peluang pekerjaan baharu, khususnya dalam bidang pembangunan perisian, analitik data dan keselamatan siber. Permintaan terhadap jurutera AI, pakar data dan penganalisis keselamatan dijangka terus meningkat sejajar dengan pertumbuhan teknologi ini.
Namun demikian, walaupun AI menjadi pemangkin kepada peningkatan produktiviti dan kecekapan, teknologi ini tetap membawa cabaran kepada pasaran buruh, khususnya dalam bentuk penggantian pekerjaan tradisional. Automasi dan penggunaan robot pintar berpotensi besar menggantikan kerja manual, sekali gus mengancam pekerjaan dalam sektor yang bergantung pada tenaga kerja rutin seperti pembuatan, perkhidmatan runcit dan pengangkutan. Pekerja dalam sektor ini berisiko kehilangan mata pencarian jika mereka gagal menyesuaikan diri dengan keperluan industri berasaskan teknologi.
Kajian penulis di China mendapati bahawa AI cenderung meningkatkan permintaan terhadap pekerja berkemahiran tinggi, sekali gus memberikan manfaat kepada golongan ini. Sebaliknya, pekerja berkemahiran sederhana yang terlibat dalam pekerjaan tradisional atau berulang lebih terdedah kepada kehilangan pekerjaan akibat automasi.
Kekurangan penguasaan kemahiran teknologi menjadi penghalang utama bagi kumpulan ini untuk menyesuaikan diri dengan penggunaan AI secara menyeluruh. Situasi ini boleh menyumbang kepada peningkatan kadar pengangguran sementara mahupun pengangguran berstruktur, khususnya apabila berlaku ketidakpadanan antara kemahiran yang dimiliki dengan keperluan industri semasa.
Penelitian penulis juga menunjukkan bahawa sektor perkeranian yang berkaitan dengan pengurusan data dan dokumen mudah digantikan dengan perisian automasi, menyebabkan permintaan terhadap peranan ini semakin berkurang. Begitu juga operator pengeluaran dalam sektor pembuatan yang melaksanakan tugas mengendalikan mesin dan memasang produk kini berdepan dengan risiko digantikan oleh sistem robotik.
Perkhidmatan pelanggan turut terjejas apabila sistem chatbot dan automatik mengurangkan keperluan interaksi manusia dalam menyelesaikan tugasan asas. Juruwang di kedai runcit dan pasar raya pula semakin digantikan oleh kiosk layan diri dan sistem pembayaran digital sejajar dengan trend automasi dalam sistem pembayaran di Malaysia.
Selain itu, pemandu penghantaran juga berdepan dengan cabaran apabila dron dan kenderaan autonomi mula mengambil alih peranan mereka selaras dengan perkembangan sektor logistik automatik yang semakin pesat. Perubahan ini secara langsung menuntut para pekerja untuk meningkatkan kemahiran agar kekal relevan dalam pasaran kerja yang semakin dipacu teknologi.
Selain isu kehilangan pekerjaan, satu lagi cabaran besar ialah ketidaksamaan dalam peruntukan dana latihan antara sektor ekonomi. Di Malaysia, dana latihan sering kali tertumpu pada sektor tertentu seperti teknologi maklumat, pembuatan dan kewangan kerana sektor ini dianggap sebagai enjin pertumbuhan ekonomi negara.
Walau bagaimanapun, penumpuan yang tidak seimbang ini boleh melemahkan sektor lain yang turut memerlukan tenaga kerja mahir untuk memenuhi keperluan teknologi, penyelidikan dan pengeluaran mereka. Ketidakseimbangan ini juga menimbulkan risiko kepada pembangunan ekonomi yang inklusif dan mampan.
Dalam masa yang sama, jurang kemahiran yang ketara masih wujud dalam kalangan pekerja daripada golongan B40 dan penduduk luar bandar. Faktor seperti kekurangan akses kepada teknologi, ketiadaan pusat latihan berdekatan dan kekangan kewangan menyukarkan kumpulan ini untuk mengikuti kursus atau latihan yang ditawarkan. Akibatnya, mereka terlepas peluang untuk meningkatkan kemahiran serta penguasaan teknologi berasaskan AI, sekali gus menyumbang kepada ketidakseimbangan dalam pembangunan tenaga kerja negara secara keseluruhan.
Kesimpulannya, impak AI terhadap sektor ekonomi dan pasaran buruh di Malaysia tidak dapat dielakkan. Meskipun teknologi ini mendatangkan cabaran besar seperti kehilangan pekerjaan tradisional dan ketidaksamaan pendapatan, AI turut membawa peluang besar dalam penciptaan pekerjaan baharu, peningkatan produktiviti dan penambahbaikan taraf hidup masyarakat. Malaysia berada pada landasan yang baik, namun kadar penyesuaian terhadap teknologi masih perlu dipertingkatkan agar negara dapat bersaing dengan ekonomi maju dan memaksimumkan manfaat AI.
Hasil kajian penulis menunjukkan bahawa tahap penguasaan teknologi dan pengetahuan AI dalam kalangan tenaga kerja tempatan, termasuk graduan ijazah dan diploma yang bekerja di syarikat multinasional masih berada pada tahap sederhana. Oleh itu, langkah seperti pendidikan semula tenaga kerja, kerjasama erat antara industri dengan institusi akademik, serta dasar kerajaan yang menyokong transformasi digital perlu digerakkan dengan segera. Pendekatan holistik dan inklusif amat penting untuk memastikan Malaysia benar-benar dapat memanfaatkan potensi AI, selain mengekalkan pasaran buruh yang relevan dan kompetitif dalam era digital ini.
Di samping itu, akses kepada program latihan dan pendidikan semula juga perlu dipertingkatkan, khususnya bagi pekerja di kawasan luar bandar yang sering menghadapi kekangan infrastruktur dan peluang. Kerajaan perlu memperkenalkan lebih banyak insentif seperti subsidi kepada PKS agar mereka dapat melatih pekerja dalam kemahiran teknologi yang relevan. Kerjasama strategik dengan syarikat teknologi global juga wajar diperluas untuk membawa masuk kursus dan program yang mampu memperkasakan tenaga kerja tempatan dalam menghadapi cabaran ekonomi digital secara lebih efektif.
Dr. Norhanishah Mohamad Yunus ialah Pensyarah Kanan, Bahagian Ekonomi, Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh, Universiti Sains Malaysia.