Diterbitkan pada 21 April 2026, 09:42

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim merasmikan Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Keselamatan Kebangsaan Asia (NATSEC) 2026 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia  yang menjadi platform utama menghimpunkan pemain industri pertahanan dan keselamatan global.

Dalam ucapannya, beliau menegaskan pembangunan teknologi pertahanan perlu selari dengan prinsip keamanan dan keadilan, selain memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai rakan strategik dalam rantaian bekalan global, termasuk sektor aeroangkasa dan semikonduktor.

Kerajaan katanya, komited menyediakan persekitaran pelaburan yang stabil, telus dan berintegriti bagi merangsang kerjasama industri dalam menghadapi cabaran geopolitik, serta keselamatan tenaga yang semakin kompleks.

Beliau turut menekankan dasar berkecuali aktif Malaysia yang membolehkan negara mengekalkan hubungan dengan semua rakan utama, sekali gus membuka ruang kepada syarikat tempatan menembusi rantaian bekalan antarabangsa tanpa kekangan politik.

Menurutnya, pembangunan industri pertahanan negara berasaskan ekosistem yang menitikberatkan keupayaan, kualiti kerja, ketepatan dan akauntabiliti bagi memastikan syarikat tempatan kekal berdaya saing, serta mampu mengekalkan kontrak dalam pasaran global.

Pameran yang berlangsung dari 20 April hingga 23 April itu menyasarkan lebih daripada 50,000 orang pengunjung dari 114 buah negara, melibatkan pelbagai program termasuk pameran industri, forum pertahanan, serta pemeteraian kerjasama strategik.

 

Kredit Foto: Jabatan Perdana Menteri
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi