Diterbitkan pada 20 April 2026, 17:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) terus komited memperkukuh agenda pendigitalan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) melalui penganjuran Karnival PMKS dan e-Invois.

Karnival yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur itu diadakan bersempena dengan Sambutan Hari HASiL Ke-30.

Penganjuran karnival kali ini berperanan sebagai pusat sehenti yang menghubungkan usahawan PMKS dengan lebih daripada 20 agensi kerajaan, badan berkanun, sektor swasta dan institusi kewangan.

Selain itu, inisiatif ini bertujuan memperkasakan penerapan digital, meningkatkan keupayaan perniagaan, serta membuka akses kepada pembiayaan dan pasaran baharu bagi golongan usahawan.

Karnival ini turut menampilkan lebih daripada 30 orang usahawan daripada pelbagai sektor di seluruh Malaysia. HASiL juga turut menyediakan khidmat nasihat secara langsung di reruai utama.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kewangan, Yang Berhormat (YB) Liew Chin Tong. Yang turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif HASiL, YBrs. Datuk Dr. Abu Tariq Jamaluddin, serta Setiausaha Bahagian Cukai, Kementerian Kewangan merangkap Anggota Lembaga HASiL, YBhg. Dato’ John Patrick a/l Antonysamy.

Timbalan Menteri Kewangan, YB Liew Chin Tong meluangkan masa menyantuni para pempamer yang menyertai karnival ini.

Dalam ucapan perasmiannya, YB Liew Chin Tong menekankan bahawa PMKS merupakan tulang belakang ekonomi yang perlu diperkasakan melalui pendigitalan seperti e-Invois agar kekal berdaya saing dalam ekonomi moden.

“Penggunaan e-Invois dilihat sebagai pemangkin penting untuk pengurusan aliran tunai yang lebih cekap dan kawalan kewangan yang lebih baik, terutamanya dalam persekitaran ekonomi yang tidak menentu. Sehubungan dengan itu, karnival ini turut menyediakan sokongan menyeluruh merangkumi latihan, khidmat nasihat dan pendedahan kepada penyelesaian digital,” tambah beliau.

Bagi memudahkan pelaksanaan e-Invois dalam kalangan PMKS, HASiL giat mempromosikan penggunaan Portal MyInvois dan MyInvois e-POS.

Perniagaan yang memerlukan bantuan lanjut boleh menggunakan pelbagai saluran khas yang disediakan oleh HASiL, termasuk kunjungan ke pejabat HASiL, Meja Bantuan e-Invois 24 jam menerusi talian 03-8682 8000, MyInvois Live Chat, e-mel rasmi atau melalui Borang Maklum Balas Pelanggan MyInvois secara dalam talian.

Kredit Foto: HASiL
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi