Diterbitkan pada 8 April 2026, 16:46

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Besut – CIMB Islamic Bank Berhad (CIMB Islamic) terus memperkasakan komuniti kurang berkemampuan menerusi Program iTEKAD Melon Manis Terengganu Usahawan Tani (Agropreneur) dengan peruntukan dana sebanyak RM750,000 sejak tahun 2023.

Program itu memanfaatkan 40 orang pelajar asnaf dan kurang berkemampuan melalui dua kohort dengan kira-kira 12,000 tanaman Melon Manis Terengganu berjaya dituai, serta berpotensi tinggi untuk dikomersialkan.

Susulan kejayaan kohort pertama, CIMB Islamic memperluas pelaksanaan program dengan meningkatkan latihan, serta kapasiti pengeluaran di empat buah rumah hijau di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Kampus Besut.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB, Encik Novan Amirudin berkata, program berkenaan memanfaatkan kewangan sosial Islam bagi memperkasakan penjanaan pendapatan peserta agar mampan, di samping mengukuhkan rantaian nilai agro tempatan.

Menurutnya, semua peserta kohort sulung kekal aktif dan mencatatkan pendapatan purata kira-kira RM3,000 seorang bagi setiap musim tuaian, sekali gus membuktikan potensi keusahawanan agro sebagai sumber pendapatan jangka masa panjang.

Peserta kohort pertama, Bazli Amin Baharin, 25, berkata program iTEKAD memberikannya pendedahan praktikal selari dengan pengajian Perniagaantani di UniSZA, sekali gus meningkatkan kemahiran teknikal, pengurusan, dan keyakinan dalam mengusahakan projek tanaman sendiri.

Menurut beliau lagi, pengalaman itu turut mengukuhkan hasratnya untuk menceburi keusahawanan tani secara komersial.

Seorang lagi peserta, Nur Syazwani Safi Sukri, 23, berkata  pada awal penyertaannya adalah bertujuan untuk menimba pengalaman baharu, namun pendedahan di makmal dan ladang telah membuka perspektif yang lebih luas tentang potensi sektor pertanian moden kepadanya.

Beliau menambah, program praktikal berkenaan memberikan nilai tambah berbanding dengan pembelajaran teori, serta meningkatkan keyakinannya untuk meneruskan usaha dalam bidang keusahawanan tani.

Program yang dilaksanakan dengan kerjasama Yayasan DiRaja Sultan Mizan dan UniSZA itu turut menyediakan latihan teknikal, kemahiran keusahawanan, serta pengalaman praktikal bagi melahirkan usahawan tani muda.

Inisiatif berkenaan merupakan sebahagian daripada program iTEKAD Bank Negara Malaysia yang memberikan tumpuan kepada pemerkasaan ekonomi inklusif melalui gabungan dana zakat, wakaf dan pelaburan berimpak.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi