Diterbitkan pada 7 April 2026, 16:09

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Dalam landskap geopolitik dunia yang semakin tidak menentu, konflik di Asia Barat tidak lagi sekadar isu serantau, sebaliknya telah mencetuskan kesan domino terhadap ekonomi global. Lonjakan harga minyak, gangguan rantaian bekalan dan ketidaktentuan pasaran tenaga memberikan tekanan langsung kepada negara pengimport tenaga, termasuk Malaysia.

Dalam konteks ini, pelaksanaan semula dasar Bekerja Dari Rumah (BDR) bagi perkhidmatan awam persekutuan dilihat bukan sekadar langkah pentadbiran, tetapi sebagai sebahagian daripada strategi penyesuaian negara dalam menghadapi krisis tenaga global.

Berdasarkan Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia (PPSM) Ceraian SR.4.1.2, BDR diperkenalkan sebagai mekanisme kerja fleksibel tanpa menjejaskan penyampaian perkhidmatan awam. Dalam situasi semasa, pelaksanaannya secara berperingkat mulai 15 April 2026 dilihat sebagai usaha mengurangkan kebergantungan terhadap pergerakan fizikal yang menyumbang kepada penggunaan bahan api.

Langkah ini secara tidak langsung membantu mengurangkan tekanan terhadap permintaan tenaga domestik, di samping mengurangkan kesesakan lalu lintas di pusat pentadbiran dan bandar utama.

Berbeza daripada pelaksanaan semasa pandemik, BDR kali ini dilaksanakan secara bersasar. Antara kriteria yang ditetapkan termasuklah pegawai yang bertugas di kawasan pentadbiran utama seperti Kuala Lumpur, Putrajaya dan negeri berpenduduk padat, serta mereka yang tinggal melebihi jarak tertentu dari pejabat.

Pendekatan ini memperlihatkan bahawa kerajaan tidak melihat BDR sebagai dasar menyeluruh, sebaliknya sebagai instrumen pengoptimuman sumber tenaga dan peningkatan produktiviti. Namun demikian, pelaksanaan bersasar ini turut menimbulkan persoalan tentang kesaksamaan antara jabatan, serta keupayaan infrastruktur digital yang tidak seragam di semua lokasi.

Walaupun BDR menawarkan fleksibiliti, aspek integriti dan produktiviti kekal menjadi keutamaan. Penggunaan sistem seperti SPOT-Me, pelaporan berkala, serta pemantauan berasaskan output mencerminkan pendekatan kawalan kerja yang lebih sistematik. Ketua jabatan memainkan peranan penting dalam menetapkan sasaran kerja dan memastikan prestasi tidak terjejas walaupun pegawai tidak hadir secara fizikal di pejabat.

Namun begitu, pendekatan pemantauan yang terlalu ketat berpotensi menimbulkan isu pemantauan berlebihan yang boleh menjejaskan motivasi dan kesejahteraan penjawat awam.

Tidak semua sektor terlibat dalam pelaksanaan BDR. Perkhidmatan kritikal seperti keselamatan, kesihatan dan pendidikan kekal beroperasi secara fizikal bagi memastikan kesinambungan fungsi asas negara. Hal ini mencerminkan keseimbangan antara keperluan adaptasi terhadap krisis tenaga dengan tanggungjawab kerajaan dalam memastikan kelangsungan perkhidmatan awam kepada rakyat.

Dalam masa yang sama, pelaksanaan BDR turut mempercepat transformasi digital sektor awam. Penggunaan HRMIS, platform komunikasi digital dan sistem pengurusan dokumen elektronik semakin menjadi norma baharu. Perubahan ini bukan sahaja menyokong pelaksanaan BDR, malah membuka ruang kepada reformasi struktur kerja sektor awam ke arah yang lebih cekap, telus dan berteraskan teknologi.

Walaupun BDR membawa pelbagai manfaat, pelaksanaannya tidak terlepas daripada cabaran. Antara isu utama termasuk jurang capaian Internet, keselamatan data, serta risiko ketidaksamaan produktiviti antara jabatan. Selain itu, keseimbangan antara pemantauan kerja dengan autonomi pekerja perlu diberi perhatian agar dasar ini tidak menjadi beban psikologi kepada penjawat awam.

Secara keseluruhannya, pelaksanaan semula dasar BDR bukan sekadar respons sementara terhadap krisis tenaga global, malah berpotensi menjadi sebahagian daripada transformasi struktur kerja negara. Dalam menghadapi ketidaktentuan geopolitik dan tekanan tenaga global, Malaysia dilihat mengambil pendekatan pragmatik dengan menyesuaikan dasar sedia ada kepada realiti semasa.

Ternyata, kejayaan BDR tidak hanya bergantung pada sistem dan dasar, tetapi pada keupayaan menyeimbangkan produktiviti, integriti dan kesejahteraan modal insan negara.

Ts. Dr. Mohd Hairul bin Haji Mohd Salleh, Penolong Pengarah Kastam di Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi