Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangIpoh – Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengarahkan semua pihak meningkatkan kesiapsiagaan negara bagi menghadapi cabaran ekonomi global susulan ketegangan geopolitik di Timur Tengah.
Beliau menegaskan rakyat tidak boleh berasa terlalu selesa dengan pencapaian ekonomi semasa meskipun Malaysia mencatat pertumbuhan melebihi unjuran, pelaburan tertinggi dalam sejarah, serta kadar inflasi dan pengangguran yang rendah.
Menurutnya, sikap terlalu selesa boleh melemahkan daya tahan negara dalam mendepani ketidaktentuan ekonomi global yang semakin meruncing.
Berucap pada Program MADANI Rakyat (PMR) Negeri Perak 2026, beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap konflik berterusan antara Israel dengan Iran yang disifatkan memberikan kesan besar kepada ekonomi dunia.
“Peperangan ini meningkatkan kos insurans kapal dan caj penghantaran, sekali gus menyumbang kepada kenaikan harga barangan,” katanya.

Sehubungan dengan itu, kerajaan mengambil langkah proaktif termasuk membatalkan lawatan luar negara melibatkan menteri dan timbalan menteri kecuali bagi urusan penting yang tidak dapat dielakkan.
Perdana Menteri turut mengarahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), serta agensi penguat kuasa mempertingkat kesiapsiagaan bagi mengekang jenayah dan penyeludupan minyak yang berpotensi meningkat akibat tekanan ekonomi.
Dalam pada itu, beliau menggesa pendekatan baharu bagi memperkukuh ekonomi domestik, termasuk meningkatkan pengeluaran sektor pertanian dan pelancongan, mengamalkan gaya hidup sederhana, serta mengutamakan barangan tempatan.
Menyentuh isu bekalan bahan api, beliau memaklumkan bahawa negara mempunyai simpanan minyak mencukupi bagi bulan April dan bulan Mei, manakala keadaan bagi bulan Jun masih dipantau.
“Dalam situasi mencabar ini, negara masih berada dalam keadaan terkawal berbanding dengan beberapa negara lain yang telah melaksanakan catuan minyak dan menutup sekolah,” katanya.
Program PMR 2026 bertemakan “Bandar Lestari, Perumahan Berkualiti, Komuniti Harmoni” itu turut dihadiri Menteri Besar Perak, YBhg. Datuk Seri Saarani Mohamad dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB Nga Kor Ming.