Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKeunikan negara yang terletak di sekitar Laut China Selatan sejak sekian lama menjadi tarikan utama pelancong antarabangsa. Landskap maritim yang mempesona, kepelbagaian biologi marin, serta keindahan pesisir pantai mewujudkan ekosistem pelancongan yang berdaya saing di rantau ini.
Kedudukan strategik Semenanjung Malaysia yang berhadapan dengan Laut China Selatan, serta bersempadan dengan negara seperti Indonesia, Vietnam, Thailand, Singapura, Brunei dan Filipina mengukuhkan lagi potensinya sebagai hab pelancongan marin serantau.
Dalam dekad mutakhir, industri pelancongan marin berkembang pesat sejajar dengan peningkatan permintaan pelancong dari Eropah, Amerika Syarikat, China dan Timur Tengah. Persekitaran ekologi yang terpelihara, warisan budaya yang kaya, serta kepelbagaian gastronomi tempatan menjadi nilai tambah kepada destinasi maritim serantau seperti Bali, Chiang Mai, Hat Yai, Phuket dan Aceh.
Dalam konteks ini, pelancongan marin bukan sekadar sektor rekreasi, bahkan menjadi wahana penjanaan ekonomi baharu kepada komuniti pesisir yang berusaha merebut peluang dalam pasaran yang semakin kompetitif.
Di Malaysia, pelancongan marin dikategorikan sebagai subsektor pelancongan berasaskan alam semula jadi yang menekankan kelestarian. Sektor ini menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), serta diberikan perhatian dalam perancangan pembangunan negara.
Menerusi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, pembangunan pelancongan marin diperkukuh melalui dasar dan pelan tindakan strategik seperti Pelan Ekopelancongan Nasional 2016–2025 yang dirangka bagi memastikan keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi dengan pemuliharaan alam sekitar. Impaknya jelas dirasai oleh komuniti pesisir Pantai Timur Semenanjung Malaysia dan penduduk pulau yang semakin terlibat dalam aktiviti ekonomi pelancongan.
Kemasukan pelancong asing membentuk segmen pasaran baharu yang merangsang transformasi struktur pekerjaan masyarakat pesisir. Jika sebelum ini majoriti penduduk bergantung sepenuhnya pada sektor perikanan yang berpendapatan tidak menentu, kini banyak dalam kalangan mereka beralih kepada bidang keusahawanan pelancongan.
Pelbagai produk dan perkhidmatan ditawarkan, termasuk penginapan seperti chalet dan inap desa, penyediaan makanan tradisional, khidmat pemandu pelancong, perkhidmatan bot, aktiviti selam skuba, selam snorkel, memancing, rekreasi, serta persembahan seni budaya tempatan. Transformasi ini memperlihatkan perubahan paradigma daripada ekonomi sara diri kepada ekonomi perkhidmatan yang berorientasikan pasaran.
Walau bagaimanapun, perkembangan pesat sektor ini turut menarik minat syarikat asing dan syarikat multinasional yang memiliki modal besar. Kehadiran pemain industri berskala besar ini mewujudkan persaingan sengit, khususnya kepada usahawan kecil dalam kalangan nelayan yang masih baharu dalam industri pelancongan marin. Cabaran dari segi modal, pemasaran dan pengurusan operasi memerlukan sokongan yang sistematik agar komuniti tempatan tidak tersisih dalam arus pembangunan.
Sehubungan dengan itu, pelbagai agensi kerajaan, badan industri dan pertubuhan bukan kerajaan memainkan peranan penting dalam memperkasakan komuniti pesisir. Bantuan kewangan, latihan kemahiran, akses pasaran, pembangunan rangkaian perniagaan, serta penerapan teknologi menjadi antara inisiatif utama bagi meningkatkan daya saing usahawan tempatan.
Program pembangunan keusahawanan yang komprehensif bukan sahaja meningkatkan pengetahuan dan kemahiran, malah membina keyakinan, serta keupayaan pengurusan dalam kalangan usahawan baharu.
Pendekatan holistik melalui latihan, bimbingan, akses pembiayaan, inkubator perniagaan dan pematuhan peraturan membantu nelayan yang beralih kerjaya menyesuaikan diri dengan tuntutan industri pelancongan. Kerjasama antara sektor awam dengan swasta juga membuka peluang kepada usahawan kecil dan sederhana untuk membina rangkaian strategik dengan syarikat besar, sekali gus memperkukuh rantaian nilai industri pelancongan marin negara.
Secara keseluruhannya, pelancongan marin di Malaysia mencerminkan transformasi positif dari sudut ekonomi, sosial dan budaya dalam komuniti pesisir. Keindahan alam Laut China Selatan yang dipadukan dengan warisan budaya tempatan bukan sahaja menjadi aset pelancongan, bahkan pemangkin perubahan struktur ekonomi masyarakat nelayan.
Dengan sokongan dasar yang konsisten dan pembangunan keusahawanan yang berterusan, sektor pelancongan marin berpotensi terus berkembang sebagai pemacu pertumbuhan inklusif dan lestari di rantau ini.
Profesor Madya Dr. Muhammad Abi Sofian Abdul Halim, Pensyarah di Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Lestari, Universiti Malaysia Terengganu.