Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangIndustri kelapa sawit Malaysia terus berkembang pesat dan dijangka memainkan peranan utama untuk memenuhi permintaan dunia terhadap minyak sayuran dan lelemak pada masa hadapan. Menurut pakar, antara tahun 2000 hingga tahun 2050, industri sawit perlu memberikan perhatian terhadap lima faktor luaran utama untuk kekal kompetitif pada peringkat global. Antaranya termasuklah pertumbuhan jumlah penduduk dunia, permintaan terhadap makanan dan minyak sayuran, serta kemajuan teknologi bagi sektor pertanian.
Dengan populasi dunia yang dijangka mencapai sembilan bilion pada tahun 2050, permintaan terhadap bahan makanan pasti akan meningkat. Seiring dengan itu, permintaan terhadap minyak sawit juga dijangka meningkat selaras dengan pertambahan jumlah penduduk dan perubahan dalam tabiat penggunaan makanan. Sebagai buktinya, pada tahun 2024 eksport minyak sawit Malaysia mencatatkan peningkatan sebanyak 11 peratus berbanding dengan tahun sebelumnya. Nilai eksport mencapai RM40.51 bilion didorong oleh permintaan yang tinggi dari negara pengimport utama seperti India, China dan Kesatuan Eropah (EU).
India merupakan pengimport terbesar minyak sawit Malaysia yang mengimport sebanyak 1.81 juta tan bernilai RM7.08 bilion diikuti dengan China (0.95 juta tan) bernilai RM3.30 bilion. Malaysia sebagai pengeksport minyak sawit kedua terbesar di dunia selepas Indonesia menyumbang 30 peratus daripada pengeluaran global. Sementara itu, Thailand, Colombia dan Nigeria masing-masing menyumbang sekitar 10 peratus daripada pengeluaran dunia. Dengan keluasan tanaman kelapa sawit yang mencapai 5.86 juta hektar, Malaysia terus mendominasi pasaran global.
Sarawak dan Sabah, dua negeri utama pengeluar kelapa sawit di Malaysia masing-masing memiliki kawasan tanaman terbesar, iaitu 1.58 juta hektar dan 1.54 juta hektar. Selebihnya terletak di Semenanjung Malaysia, terutamanya di Pahang. Dengan luas kawasan yang besar ini, Malaysia diakui sebagai pengeksport minyak sawit terbesar kedua di dunia dengan Indonesia menguasai 60 peratus pengeluaran minyak sawit dunia.
Inovasi dan Teknologi: Kunci Kelangsungan Industri
Untuk memastikan kelangsungan dan daya saing industri sawit, beberapa langkah proaktif perlu diambil. Inovasi dan penggunaan teknologi baharu menjadi faktor utama untuk meningkatkan produktiviti dan pengurusan ladang. Antara langkah penting termasuklah penggunaan bahan tanaman bermutu tinggi, pembajaan berjadual, serta pengurusan penyakit pokok yang lebih efektif. Di samping itu, kejenteraan ladang perlu diperkenalkan bagi mengurangkan pergantungan terhadap tenaga kerja manusia yang masih banyak digunakan untuk pengurusan ladang sawit di Malaysia.
Kemajuan dalam bidang teknologi seperti automasi kilang dan sistem pensterilan berterusan turut memberikan impak besar bagi meningkatkan kecekapan pengilangan minyak sawit. Dengan penggunaan teknologi seperti pensterilan berterusan buah tandan segar dan pemprosesan tandan kosong, Malaysia berjaya mengurangkan penggunaan tenaga kerja manusia sebanyak 50 peratus. Terdapat juga teknologi baharu yang berfokus pada pemprosesan efluen kilang sawit dan pembuangan benda asing yang terbukti meningkatkan kualiti pengeluaran dan mengurangkan kesan negatif terhadap alam sekitar.
Industri sawit juga perlu mengukuhkan perlindungan harta intelek seperti paten bagi melindungi hasil penyelidikan tempatan, terutamanya dalam penghasilan produk baharu yang lebih bernilai. Produk farmaseutikal dan nutraseutikal yang dihasilkan daripada minyak sawit dijangka mempunyai potensi pasaran yang besar baik di dalam negara mahupun di luar negara. Oleh itu, pendaftaran paten untuk melindungi hasil penemuan ini adalah langkah penting bagi memperkukuh daya saing Malaysia bagi industri sawit.
Diversifikasi Produk Hiliran dan Peningkatan Nilai Tambah
Malaysia perlu melangkah lebih jauh bagi memperkembangkan produk industri hiliran berasaskan minyak sawit. Produk hiliran seperti oleokimia, kosmetik, detergen dan pelbagai produk makanan, selain minyak masak dan marjerin menjadi penyumbang besar terhadap pendapatan negara. Pada tahun 2023, penghasilan produk hiliran berasaskan sawit di Malaysia bernilai RM47.75 bilion setahun yang hampir setara dengan nilai eksport minyak sawit mentah.
Pada masa hadapan, pengembangan produk hiliran yang lebih pelbagai dan berkualiti tinggi bukan sahaja mampu membuka pasaran baharu, tetapi juga meningkatkan pendapatan negara. Malaysia harus terus memperbaik proses pengeluaran di dalam negara agar lebih banyak produk hiliran dapat dihasilkan untuk keperluan pasaran global. Hal ini akan memberikan pulangan yang lebih tinggi kepada negara selain memberikan peluang kepada rakyat untuk menikmati manfaat daripada kemajuan industri sawit.
Pada masa lalu, Malaysia lebih bergantung pada eksport minyak sawit mentah dan produk hiliran yang diproses di negara pengimport. Namun demikian, dasar kerajaan yang menggalakkan syarikat multinasional membeli dan mengambil alih syarikat pengimport sawit berjaya membawa teknologi pemprosesan ke dalam negara. Hal ini membuka peluang untuk Malaysia memperkukuh industri sawitnya, sekali gus memastikan kelangsungan sebagai pengeksport minyak sawit utama dunia.
Meningkatkan Kecekapan Pengurusan Alam Sekitar
Industri sawit tidak terlepas daripada cabaran alam sekitar, terutamanya isu penebangan hutan dan kesan pencemaran yang dikaitkan dengan pengeluaran kelapa sawit. Oleh itu, Malaysia perlu mematuhi peraturan alam sekitar yang ketat dan memastikan amalan pertanian yang lebih lestari. Keputusan Mekanisasi Pembangunan Bersih (CDM) mengikut Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim (UNFCCC) menuntut negara pengeluar sawit untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau (GHG) dan meminimumkan kesan negatif terhadap ekosistem.
Kelapa sawit berbanding dengan tanaman minyak lain memainkan peranan penting bagi pemulihan kawasan pembalakan. Kajian menunjukkan bahawa kelapa sawit mempunyai kecekapan tenaga yang lebih tinggi berbanding dengan tanaman minyak lain dari segi nilai input-output, serta mampu membaik pulih kawasan pembalakan dan memenuhi pelbagai fungsi yang dimainkan oleh hutan. Oleh itu, industri sawit Malaysia mempunyai potensi untuk menjadi lebih mesra alam selaras dengan keperluan global.
Dalam usaha mengurangkan pencemaran dan sisa buangan, Malaysia melaksanakan amalan terbaik bagi industri sawit, termasuk teknologi buangan sifar dan penggunaan sisa tanaman seperti tandan kosong dan efluen kilang sebagai baja organik. Kaedah pembakaran sifar semasa penanaman semula pokok kelapa sawit juga diamalkan secara meluas yang bukan sahaja mengurangkan pencemaran, tetapi turut membantu dalam pengurusan alam sekitar secara keseluruhan.
Selain itu, kilang sawit di Malaysia diwajibkan untuk mematuhi peraturan ketat mengenai pengurusan efluen dan pembebasan gas. Sebagai contoh, pengurangan kadar pembuangan air kumbahan kilang sawit dicapai dengan mengguna pakai sistem pemantauan seperti keperluan oksigen biologi (BOD) yang mengukur kesan pencemaran efluen kilang.
Industri sawit Malaysia dengan pelbagai cabaran dan peluang yang ada perlu terus berkembang dan berinovasi bagi memenuhi permintaan dunia yang semakin meningkat. Melalui teknologi baharu, diversifikasi produk hiliran dan amalan mesra alam, Malaysia dapat memastikan kedudukannya sebagai pengeksport minyak sawit terbesar dunia terus dipertahankan. Selain itu, kerjasama antara negara pengeluar sawit, serta komitmen terhadap pengurusan alam sekitar turut memainkan peranan penting untuk memastikan industri ini kekal mampan dan berdaya saing pada masa akan datang.
Penulis, pengamal media sejak tahun 1979 dan kini pembekal tenaga kerja kepada ladang sawit dan getah milik syarikat berkaitan kerajaan.