Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPada masa ini, ekosistem pasaran buku di Malaysia melalui proses perkembangan yang semakin kompleks dengan pembentukan segmen yang jelas antara buku akademik dengan bukan akademik. Secara umum, kedua-dua segmen ini mempunyai potensi pasaran tersendiri berdasarkan keperluan dan permintaan pembaca. Keadaan ini menjadikan industri penerbitan buku di Malaysia semakin mencabar dan menuntut perancangan yang lebih strategik, serta tersusun.
Kerjasama yang erat antara penerbit dengan pengedar buku amat diperlukan bagi membentuk ekosistem pasaran yang mampan, di samping memastikan peningkatan jualan buku tempatan, serta peluasan capaian dalam pasaran yang lebih kompetitif. Hubungan simbiotik antara penerbitan dengan pengedaran menjadi faktor penting dalam menentukan keberkesanan penembusan pasaran dan kelangsungan industri buku tempatan.
Minat membaca dalam kalangan masyarakat tempatan memberikan kesan langsung terhadap peningkatan permintaan dan kepelbagaian penerbitan buku. Penyelidikan empirikal oleh Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) melalui Profil Membaca Rakyat Malaysia 2022/2023 menunjukkan bahawa rakyat Malaysia membaca purata 24 naskhah setahun, satu peningkatan yang ketara berbanding dengan era sebelum tahun 2020. Kajian tersebut turut melaporkan bahawa 88.6 peratus responden aktif membaca, manakala 69.9 peratus menyatakan tujuan utama membaca adalah untuk meningkatkan pengetahuan.
Dapatan ini menunjukkan bahawa permintaan terhadap buku dalam kalangan pengguna semakin meningkat dan tidak lagi terhad kepada pelajar di sekolah, institusi pendidikan tinggi atau pusat latihan semata-mata. Golongan pembaca umum turut menunjukkan minat membaca sebagai aktiviti pengisian masa lapang bagi menambah ilmu, memperkaya pemikiran dan memenuhi keperluan pembangunan diri.
Selari dengan keperluan meningkatkan tahap pengetahuan rakyat melalui bahan bacaan, kerajaan telah melancarkan gerakan Dekad Membaca Kebangsaan 2021–2030 (DMK). Dasar ini merupakan inisiatif strategik bagi membentuk masyarakat berilmu melalui pembudayaan tabiat membaca secara konsisten dan berterusan.
Pelaksanaan DMK mencorakkan pelbagai bentuk aktiviti pasaran buku yang digerakkan oleh penerbit dan pengedar tempatan. Secara tidak langsung, dasar ini merangsang pertumbuhan pasaran buku akademik dan bukan akademik, sekali gus memperkukuh budaya membaca dalam kalangan masyarakat, serta meningkatkan daya tahan ekosistem pasaran buku di Malaysia.
Perubahan Corak Pembacaan Masyarakat
Budaya membaca masyarakat Malaysia menunjukkan perubahan yang ketara merentas semua peringkat umur daripada kanak-kanak sehingga dewasa. Minat terhadap bahan bacaan bukan akademik seperti novel, buku agama, biografi, politik dan buku popular berkaitan dengan isu semasa semakin meningkat. Pada masa yang sama, pelajar sekolah dan institusi pendidikan tinggi turut mendapatkan buku akademik tambahan sebagai rujukan tempatan bagi memperkukuh pembelajaran dan perbincangan kes.
Perkembangan ini menunjukkan bahawa pasaran buku di Malaysia semakin berkembang melalui dua segmen utama, iaitu segmen akademik yang memenuhi keperluan institusi pendidikan, serta segmen bukan akademik yang berkembang pesat hasil minat masyarakat terhadap bahan bacaan popular, pembangunan diri dan hiburan berilmu.
Implikasi terhadap Strategi Penerbit dan Pengedar
Perkembangan pasaran ini memberikan kesan langsung terhadap strategi komersial syarikat penerbitan dan pengedaran buku. Bagi segmen akademik, persaingan mendorong penerbit tempatan mengekalkan kualiti penulisan, pematuhan piawaian ilmiah dan pengoptimuman rangkaian pengedaran. Sebaliknya, penerbit buku bukan akademik lebih menumpukan strategi pemasaran kreatif, termasuk penggunaan media sosial, kolaborasi dengan pengedar, serta pendekatan promosi yang lebih dekat dengan pembaca.
Pendekatan berbeza ini membolehkan kedua-dua segmen meningkatkan capaian pasaran dan jualan, seterusnya menyumbang kepada pembangunan ekosistem pasaran buku Malaysia yang lebih seimbang dan dinamik.
Walau bagaimanapun, pasaran buku akademik tempatan berhadapan dengan persaingan sengit daripada penerbit antarabangsa seperti Elsevier, Springer, Routledge, Taylor & Francis dan Wiley. Penerbit antarabangsa ini mempunyai kelebihan dari segi jaringan pengedaran global, keupayaan pemasaran digital, serta reputasi kandungan bertaraf antarabangsa.
Penerbit universiti tempatan pula berdepan dengan cabaran dari aspek capaian pasaran, kos penerbitan, saluran jualan dan persepsi prestij akademik. Walaupun universiti seperti Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Sains Malaysia (USM) telah menerbitkan pelbagai karya ilmiah berkualiti, kebanyakannya masih tertumpu pada perbincangan kajian tempatan. Keadaan ini menyebabkan daya saing penerbit universiti tempatan dalam pasaran global masih terbatas.
Bagi mengatasi cabaran ini, penerbit universiti perlu membangunkan strategi baharu yang merangkumi pemantapan kualiti editorial, peluasan jaringan pengedaran, peningkatan promosi dan penyesuaian kandungan dengan keperluan kurikulum, serta penyelidikan semasa.
Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM) memainkan peranan penting dalam memperkukuh kedudukan penerbit universiti tempatan. Antara inisiatif utama termasuklah penyelarasan piawaian ilmiah, pengukuhan kerjasama strategik, pemantapan ekosistem editorial nasional, serta pelaksanaan standard kualiti penerbitan.
MAPIM juga menggalakkan pendigitalan bahan ilmiah dan pelaksanaan model akses terbuka bagi meningkatkan keterlihatan karya penyelidikan tempatan pada peringkat antarabangsa. Penyertaan dalam pelbagai ekspo dan pameran buku seperti Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL), Pesta Buku Selangor, Big Bad Wolf Book Sale dan MAPEX Book Fair menjadi platform penting untuk memperluas capaian pasaran buku akademik tempatan.
Dalam masa yang sama, pasaran buku bukan akademik menunjukkan perkembangan yang semakin positif. Pembaca tempatan semakin terbuka kepada buku panduan praktikal seperti masakan, motivasi, pembangunan diri, keusahawanan, kewangan peribadi, serta kesihatan dan kesejahteraan. Penerbitan buku kanak-kanak juga semakin berkembang dengan fokus pada sokongan pembelajaran awal dan peranan ibu bapa dalam pendidikan anak-anak. Pertumbuhan ini telah mendorong kemunculan banyak syarikat penerbitan komersial tempatan yang lebih agresif dan responsif terhadap perubahan selera pembaca.
Secara keseluruhannya, pasaran buku di Malaysia berkembang pesat dalam dua segmen utama dengan corak persaingan yang berbeza. Segmen akademik berdepan dengan cabaran besar daripada penerbit antarabangsa, manakala segmen bukan akademik menunjukkan pertumbuhan yang memberangsangkan hasil peningkatan minat pembaca terhadap bahan bacaan popular dan praktikal.
Dalam konteks ini, peranan MAPIM amat penting dalam memperkukuh promosi dan keterlihatan buku akademik universiti tempatan melalui penggunaan platform digital, penyertaan pameran antarabangsa dan pengukuhan jaringan pengedaran global. Pada masa yang sama, penerbit, pengedar dan penulis tempatan perlu terus memberikan penekanan terhadap kualiti, inovasi dan kreativiti bagi memastikan pasaran buku tempatan kekal relevan dan berdaya saing.
Melalui usaha kolektif yang bersepadu, industri buku Malaysia berpotensi untuk berkembang ke peringkat antarabangsa, serta memperkukuh ekosistem pasaran buku tempatan sebagai pemangkin pembinaan masyarakat berilmu dan ekonomi berasaskan pengetahuan.