Diterbitkan pada 19 Mac 2026, 08:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Lembaga Tabung Haji (TH) mengumumkan agihan keuntungan selepas zakat sebanyak 3.5 peratus bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, meningkat berbanding dengan 3.25 peratus pada tahun sebelumnya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Yang Berhormat Senator Dr. Zulkifli Hasan berkata, keseluruhan agihan keuntungan berjumlah RM 3.22 bilion yang akan memberikan manfaat kepada lebih daripada 9.7 juta pendeposit TH.

”Agihan ini dibuat selaras dengan Akta Tabung Haji 1995 selepas penyata kewangan TH bagi tahun 2025 selesai diaudit oleh Jabatan Audit Negara.

“Ini merupakan prestasi terbaik TH dalam tempoh lapan tahun sejak tahun 2018 sekali gus mencerminkan keberkesanan strategi pelaburan, serta pengurusan kewangan TH yang berdisiplin dan tadbir urus yang kukuh,” katanya.

Tambahan lagi, sejak penubuhan TH 62 tahun lalu, agensi ini telah mengagihkan sebanyak RM 49 bilion keuntungan secara kumulatif kepada para pendepositnya.

Semakan agihan boleh dibuat menerusi platform aplikasi THiJARI, kaunter fizikal TH, Bank Islam dan Bank Rakyat, serta aplikasi elektronik perbankan seperti Bank Islam, Bank Rakyat, Maybank Islamic, CIMB Islamic dan AmBank Islamic.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi