Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSetiap kali Syawal menjelma, suasana kegembiraan menyelubungi masyarakat. Rumah terbuka dianjurkan, pakaian baharu digayakan dan juadah tradisional disediakan dengan penuh bangga. Di sebalik kemeriahan tersebut, terdapat satu fenomena yang semakin ketara saban tahun, iaitu inflasi bermusim Syawal.
Istilah ini bukan sekadar retorik. Inflasi bermusim merujuk lonjakan perbelanjaan isi rumah yang berlaku secara mendadak menjelang dan semasa musim perayaan. Persoalannya, adakah inflasi Syawal sekadar adat tahunan yang tidak dapat dielakkan atau sebenarnya mencerminkan budaya konsumsi yang semakin tidak terkawal dalam masyarakat?
Dalam kerangka teori ekonomi, inflasi bermusim berlaku apabila permintaan meningkat dalam tempoh tertentu sehingga menyebabkan harga barangan dan perkhidmatan turut meningkat. Menjelang Syawal, permintaan terhadap bahan mentah, pakaian, perkhidmatan katering, sewaan khemah, serta tiket pengangkutan meningkat secara serentak.
Dalam keadaan kos sara hidup yang sedia menekan melalui kenaikan harga makanan, sewaan rumah dan utiliti, perbelanjaan tambahan untuk menyambut perayaan boleh menjadi beban berganda kepada sebahagian besar isi rumah, khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
Hakikatnya, masalah bukan terletak pada sambutan perayaan itu sendiri, tetapi pada lonjakan perbelanjaan yang berlaku secara serentak dalam tempoh masa yang singkat. Perbelanjaan yang sepatutnya dirancang sepanjang tahun sering dilakukan secara impulsif dalam beberapa minggu sebelum Hari Raya.
Fenomena ini turut dipengaruhi oleh tekanan sosial yang semakin kuat dalam masyarakat. Dalam budaya Melayu-Islam, Syawal bukan sekadar perayaan agama, malah menjadi simbol kehormatan sosial. Rumah perlu kelihatan kemas dan indah, juadah perlu pelbagai, manakala pakaian anak-anak diusahakan agar sedondon. Tekanan ini jarang diungkapkan secara terbuka, namun perkara ini wujud dalam bentuk norma sosial yang tidak tertulis.
Media sosial memperhebatkan lagi fenomena ini. Paparan dekorasi rumah yang mewah, hidangan yang berlimpah dan fesyen terkini membentuk standard baharu tentang gambaran raya yang dianggap sempurna. Tanpa disedari, perbandingan sosial mendorong sesetengah individu berbelanja melebihi kemampuan sebenar. Dalam konteks ini, inflasi Syawal tidak lagi sekadar fenomena pasaran, tetapi berkait dengan struktur budaya yang membentuk pola perbelanjaan masyarakat.
Secara asasnya, perbelanjaan boleh dibahagikan kepada tiga kategori, iaitu keperluan asas, keperluan sosial dan kehendak simbolik. Masalah timbul apabila kehendak simbolik seperti menukar langsir setiap tahun, membeli gajet baharu semata-mata untuk penampilan atau menyediakan juadah secara berlebihan dianggap sebagai keperluan sosial yang wajib dipenuhi. Pembaziran makanan pada musim perayaan juga menjadi indikator jelas terhadap kegagalan perancangan ekonomi mikro pada peringkat isi rumah.
Keadaan ini lebih ironi apabila diingat bahawa bulan Ramadan sebelum Syawal menekankan konsep kesederhanaan dan pengawalan diri. Namun begitu, apabila tibanya Syawal, disiplin tersebut sering terhakis oleh euforia perayaan.
Dari sudut makroekonomi, peningkatan perbelanjaan musim perayaan sebenarnya merancakkan aktiviti ekonomi domestik. Peniaga kecil, usahawan makanan, pengusaha pakaian dan industri pengangkutan memperoleh manfaat daripada peningkatan permintaan. Kitaran ini membantu aliran tunai dalam ekonomi tempatan. Bagi sesetengah perusahaan kecil, musim perayaan bahkan menyumbang sebahagian besar pendapatan tahunan mereka.
Walau bagaimanapun, persoalan penting ialah sama ada pertumbuhan jangka masa pendek ini mampan jika sebahagian besar perbelanjaan dibiayai melalui hutang isi rumah. Terdapat pengguna yang bergantung pada kad kredit, skim beli sekarang bayar kemudian atau pinjaman peribadi untuk menampung perbelanjaan raya. Apabila perbelanjaan dibiayai oleh hutang tanpa perancangan rapi, pertumbuhan ekonomi jangka masa pendek berpotensi berubah menjadi tekanan kewangan jangka panjang.
Fenomena hutang raya bukan perkara baharu. Terdapat isi rumah yang memerlukan masa antara tiga bulan hingga enam bulan untuk melunaskan komitmen perbelanjaan Syawal. Apabila musim perayaan berikutnya tiba, kitaran yang sama berulang. Keadaan ini membentuk pola kewangan bermusim, iaitu hutang meningkat sebelum raya, simpanan menyusut selepas raya dan pemulihan kewangan hanya berlaku beberapa bulan kemudian sebelum kembali terjejas pada musim seterusnya.
Dalam ekonomi tingkah laku, keadaan ini dapat dijelaskan melalui konsep kecenderungan manusia mengutamakan kepuasan segera berbanding dengan kesejahteraan jangka masa panjang. Euforia perayaan memberikan ganjaran emosi secara serta-merta, manakala implikasi hutang hanya dirasai kemudian. Keadaan ini mewujudkan apa-apa yang boleh dianggap sebagai kitaran inflasi psikologi, iaitu perbelanjaan didorong emosi, bukannya kemampuan sebenar.
Apabila hutang menjadi norma tahunan, sensitiviti terhadap risiko kewangan turut menurun. Hutang tidak lagi dilihat sebagai beban luar biasa, sebaliknya dianggap sebahagian daripada rutin perayaan. Dalam jangka masa panjang, tekanan kewangan berpotensi menjejaskan kesejahteraan mental dan kestabilan keluarga. Tekanan kewangan kronik sering dikaitkan dengan konflik rumah tangga, kebimbangan dan keletihan emosi. Apabila kegembiraan perayaan berakhir dengan tekanan pembayaran, makna perayaan itu sendiri mula berubah.
Tradisi sememangnya tidak perlu dihapuskan. Yang perlu ditata semula ialah pendekatan terhadap perbelanjaan. Perbelanjaan raya wajar dirancang sebagai sebahagian daripada bajet tahunan, bukannya dianggap sebagai kos mengejut.
Simpanan bulanan khusus untuk musim perayaan dapat membantu mengurangkan tekanan kewangan apabila tiba waktunya. Dalam masa yang sama, makna Syawal boleh dikembalikan kepada nilai silaturahim dan kesyukuran, bukannya pameran material.
Pendidikan kewangan juga wajar dipupuk sejak awal. Kanak-kanak bukan sahaja menerima duit raya, tetapi boleh dididik memahami nilai wang dan kepentingan pengurusan kewangan. Langkah ini membantu membentuk generasi yang lebih celik kewangan pada masa hadapan. Sokongan terhadap produk tempatan dan peniaga kecil tetap penting, namun perbelanjaan tersebut perlu selari dengan kemampuan diri. Prinsipnya bukan tidak berbelanja, tetapi berbelanja secara rasional.
Institusi kewangan dan agensi kerajaan turut mempunyai peranan penting dalam memperkukuh literasi kewangan masyarakat. Kempen pendidikan kewangan menjelang musim perayaan boleh membantu meningkatkan kesedaran pengguna. Namun begitu, literasi sahaja tidak mencukupi sekiranya struktur pemasaran terus mendorong perbelanjaan agresif. Institusi kewangan boleh mempertimbangkan pendekatan pemasaran yang lebih bertanggungjawab menjelang musim perayaan, termasuk pendedahan risiko yang lebih jelas terhadap produk kredit jangka masa pendek.
Media juga memainkan peranan besar dalam membentuk persepsi masyarakat. Naratif raya yang dipaparkan melalui televisyen, iklan dan media sosial mempengaruhi jangkaan sosial tentang cara perayaan sepatutnya disambut.
Jika visual yang diraikan sentiasa menonjolkan kemewahan, mesej tersiratnya ialah itulah standard minimum. Sebaliknya, jika kisah raya sederhana tetapi bermakna lebih kerap diketengahkan, norma sosial boleh berubah secara beransur-ansur.
Ekonomi sebenarnya berkait rapat dengan nilai masyarakat. Setiap keputusan membeli mencerminkan keutamaan yang dipegang oleh individu dan keluarga. Jika nilai yang diangkat ialah prestij dan persepsi sosial, pola perbelanjaan akan condong kepada simbol material. Sebaliknya, jika nilai yang diutamakan ialah kestabilan dan kesejahteraan jangka masa panjang, keputusan kewangan akan dibuat dengan lebih berhati-hati.
Dalam tradisi Islam sendiri, konsep kesederhanaan, serta larangan pembaziran bukan sekadar nasihat moral, malah merupakan prinsip ekonomi sosial. Harta dilihat sebagai amanah yang perlu diurus dengan bijaksana. Dalam kerangka ini, Syawal sepatutnya menjadi manifestasi kemenangan rohani selepas Ramadan, iaitu kemenangan mengawal keinginan dan membentuk disiplin diri.
Realitinya, perkembangan teknologi dan e-dagang turut mempercepat impuls pembelian. Promosi kilat, tawaran masa terhad dan diskaun besar yang dipaparkan di telefon pintar sering mencetuskan rasa takut terlepas peluang. Dalam keadaan ini, keputusan kewangan semakin dipengaruhi emosi dan rangsangan psikologi. Pengguna bukan sahaja berdepan dengan inflasi harga, tetapi juga inflasi rangsangan yang mendorong pembelian berlebihan.
Lebih membimbangkan, sebahagian besar pembelian ini disokong oleh skim beli sekarang bayar kemudian. Dari sudut psikologi, skim tersebut memisahkan tindakan membeli daripada rasa sakit membayar. Pengguna berasa seolah-olah mereka belum berbelanja kerana bayaran hanya bermula pada masa hadapan. Namun begitu, realiti kewangan tetap perlu dihadapi apabila ansuran mula ditolak daripada akaun selepas musim perayaan berakhir.
Dalam konteks ini, inflasi Syawal bukan sekadar kenaikan harga barangan, tetapi juga inflasi jangkaan sosial. Setiap tahun, standard raya seolah-olah meningkat. Jika tahun sebelumnya menukar sofa, tahun berikutnya mungkin menukar kabinet dapur atau melakukan ubah suai ruang tamu. Apabila standard sosial terus meningkat, kos yang perlu ditanggung turut meningkat.
Akhirnya, persoalan yang lebih mendasar perlu diajukan. Adakah nilai raya kini diukur melalui jumlah perbelanjaan? Jika juadah sederhana dianggap tidak memadai, pakaian lama dianggap memalukan dan rumah biasa dianggap tidak layak dipaparkan, maka mungkin perayaan itu telah bergerak jauh daripada makna asalnya.
Mengkritik budaya konsumsi tidak bermaksud menolak perayaan. Ekonomi tetap memerlukan perbelanjaan dan peniaga kecil turut bergantung pada musim perayaan untuk menjana pendapatan. Namun demikian, keseimbangan perlu dicari. Perbelanjaan yang dirancang dan berasaskan kemampuan tidak menimbulkan masalah. Yang membebankan ialah perbelanjaan yang didorong oleh tekanan sosial dan ilusi kemampuan sementara.
Dalam hal ini, mungkin sudah tiba masanya indikator kejayaan beraya diubah. Kejayaan bukan lagi diukur melalui jumlah juadah, harga pakaian atau kemewahan dekorasi, tetapi melalui ketenangan kewangan selepas perayaan. Soalan yang lebih wajar diajukan ialah sama ada sambutan Syawal dapat dilalui tanpa menambah hutang dan tanpa menjejaskan simpanan kecemasan keluarga.
Inflasi Syawal mungkin tidak akan hilang kerana permintaan bermusim merupakan sebahagian daripada dinamika ekonomi. Tekanan untuk berbelanja secara berlebihan bukan sesuatu yang tidak boleh dikawal. Hal ini bergantung pada pilihan individu dan budaya masyarakat secara kolektif.
Jika Ramadan mendidik manusia menahan diri, Syawal sepatutnya menjadi ruang menguji disiplin tersebut, termasuk dalam pengurusan kewangan. Kesederhanaan bukan tanda kekurangan, sebaliknya mencerminkan kematangan ekonomi. Pada akhirnya, Syawal bukan tentang kemegahan dalam menyambutnya, sebaliknya tentang ketenangan dalam melaluinya.