Diterbitkan pada 13 Mac 2026, 09:23

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Bazar Ramadan menjadi acara tahunan yang dinantikan oleh masyarakat, bukan sahaja dalam kalangan umat Islam, malah turut menarik perhatian masyarakat pelbagai kaum dan agama.

Keunikan, serta kepelbagaian juadah yang jarang ditemui pada bulan lain menjadi tarikan utama kepada pengunjung. Selain itu, kewujudannya turut menjadi sumber rezeki dan peluang menjana pendapatan kepada para peniaga berikutan kehadiran pengunjung yang banyak setiap hari.

Walaupun semakin banyak rungutan berkaitan dengan harga jualan yang dikatakan semakin mahal, malah ada yang dianggap tidak munasabah, bazar Ramadan tetap menjadi tumpuan pengunjung. Hal ini dikatakan demikian kerana pengunjung masih mempunyai pelbagai pilihan juadah yang boleh dibeli pada harga yang lebih berpatutan dan berbaloi, selaras dengan kemampuan kewangan masing-masing.

Dalam perkembangan terkini, kehadiran jenama besar yang menggunakan strategi harga rendah di bazar Ramadan turut menjadi topik hangat. Kehadiran jenama tersebut dikatakan berjaya menarik perhatian pengunjung untuk membeli.

Sebahagian masyarakat menyambut baik perkembangan ini kerana menyediakan pilihan yang lebih menjimatkan dalam keadaan kos sara hidup yang tidak menentu. Persoalannya, adakah kemunculan jenama besar ini akan menjadi trend baharu yang mampu mengubah landskap perniagaan di bazar Ramadan pada masa hadapan?

Bagi peniaga tetap di bazar Ramadan, situasi ini merupakan cabaran yang perlu dihadapi secara terbuka dan dilihat dalam konteks yang lebih luas, bukan sekadar sebagai tekanan persaingan. Kehadiran pesaing baharu juga memberikan isyarat kepada peniaga agar lebih kompetitif bagi memastikan produk dan jenama mereka kekal menjadi pilihan pengunjung.

Pada hakikatnya, persaingan merupakan lumrah dalam dunia perniagaan. Oleh itu, peniaga wajar melihat kemunculan jenama besar bukan sebagai ancaman semata-mata, sebaliknya sebagai peluang untuk belajar dan memperbaik strategi perniagaan.

Kemunculan pesaing baharu ini juga dapat menjadi pemangkin kepada peniaga untuk berinovasi, serta meningkatkan kualiti produk. Pendekatan ini penting dalam membina perniagaan yang lebih kompetitif dan mampan pada masa hadapan.

Satu daripada cabaran utama berniaga di bazar Ramadan ialah persaingan produk yang sama antara satu gerai dengan gerai yang lain. Dalam situasi ini, pengunjung lazimnya membuat keputusan berdasarkan persepsi dan tarikan visual, bukan semata-mata pada rasa, kualiti atau harga produk. Oleh itu, peniaga perlu bijak memposisikan gerai mereka bagi menarik perhatian dan emosi pengunjung.

Antara langkah yang boleh diambil termasuklah memperindah gerai dengan kain rentang atau gegantung yang memaparkan visual menarik seperti gambar produk, nama jenama, slogan dan ayat promosi yang mampu menarik perhatian. Usaha ini bukan sahaja dapat menarik pelanggan, malah berperanan membina identiti jenama peniaga.

Sebagai contoh, penggunaan ayat promosi seperti “terlajak laris”, “stok terhad”, “jualan panas”, “rasa mewah, harga rahmah” dan “rasa warisan, kualiti tempatan” dapat menarik minat pengunjung. Ayat yang unik, kreatif dan mudah diingati mampu menjadi suara jenama yang kekal dalam ingatan pelanggan, serta mempercepat proses membuat keputusan pembelian. Tanpa elemen seperti ini, pelanggan mungkin menangguhkan pembelian atau memilih gerai lain.

Selain itu, peniaga juga boleh menonjolkan kelebihan produk sebagai strategi persaingan. Antara kelebihan yang boleh diketengahkan termasuklah penggunaan resipi tradisional, bahan premium, rasa yang kurang manis tetapi kaya dengan bahan, saiz hidangan yang lebih besar atau penggunaan bahan yang lebih banyak. Keunikan seperti ini memberikan alasan yang kukuh kepada pengunjung untuk memilih produk tersebut berbanding produk pesaing.

Dari segi persembahan, cara sesuatu produk disediakan dan disampaikan kepada pelanggan juga mampu menjadi tarikan. Sebagai contoh, terdapat gerai yang memperkenalkan konsep “pilih sendiri” bahan seperti roti, inti, sayur atau sos yang disediakan secara langsung di hadapan pelanggan. Pendekatan ini bukan sahaja menarik perhatian, malah mampu mewujudkan barisan pelanggan yang panjang, sekali gus memberikan isyarat positif kepada pengunjung lain untuk turut membeli.

Dalam era digital, reputasi dalam talian juga sama penting dengan kualiti produk. Platform seperti Google, TikTok, Facebook dan Instagram boleh dimanfaatkan oleh peniaga untuk meningkatkan kesedaran jenama dan menarik pelanggan. Namun demikian, masih terdapat peniaga yang terlalu bergantung pada trafik fizikal bazar Ramadan tanpa memanfaatkan platform digital.

Melalui platform digital, peniaga boleh melakukan siaran langsung dari gerai, berkongsi promosi melalui Instagram Story atau memuat naik video pendek bagi menarik perhatian pelanggan. Selain itu, peniaga juga boleh menghasilkan kandungan iklan acah sebelum Ramadan bagi membangkitkan rasa ingin tahu pelanggan.

Strategi ini penting kerana pemasaran yang berkesan sebenarnya bermula sebelum jualan bermula. Kandungan iklan acah yang memaparkan proses penyediaan makanan atau persiapan berniaga mampu membina jangkaan pelanggan terhadap produk yang akan dijual. Kesannya, pelanggan mula menantikan hari pertama jualan.

Kandungan promosi juga wajar dimuat naik pada waktu puncak, iaitu sekitar tiga jam hingga empat jam sebelum waktu berbuka puasa. Pada waktu ini, emosi pelanggan lebih mudah dipengaruhi oleh visual makanan dan minuman. Oleh itu, kandungan promosi yang dimuat naik pada waktu tersebut berpotensi memberikan kesan emosi yang lebih kuat kepada pelanggan.

Bagi mengukuhkan lagi strategi pemasaran, peniaga boleh menggunakan teknik kekurangan bekalan dan bukti sosial. Dari sudut psikologi, manusia cenderung bertindak lebih cepat apabila merasakan sesuatu peluang mungkin terlepas.

Apabila pelanggan dimaklumkan bahawa sesuatu produk sering habis lebih awal, mereka akan terdorong untuk membuat pembelian dengan lebih segera. Walau bagaimanapun, teknik ini perlu digunakan secara jujur dan berasaskan fakta sebenar.

Bukti sosial seperti visual pelanggan beratur panjang, ulasan positif pelanggan atau pesanan ulangan juga mampu membina kepercayaan pelanggan baharu. Pendekatan ini membantu mengurangkan keraguan, serta meningkatkan keyakinan pelanggan untuk mencuba sesuatu produk.

Selain strategi visual dan pemasaran digital, aspek perkhidmatan juga memainkan peranan penting. Dalam suasana bazar yang sesak, layanan yang baik boleh mempengaruhi keputusan pembelian pelanggan. Senyuman, sapaan mesra, respons yang pantas, serta pengurusan pesanan yang teratur mampu mewujudkan pengalaman pembelian yang positif.

Walaupun harga dan produk mungkin sama dengan gerai lain, pengalaman membeli yang baik mampu mendorong pelanggan untuk kembali semula. Peniaga yang mengutamakan perkhidmatan berkualiti berpotensi membina pelanggan setia walaupun berdepan dengan pesaing yang menawarkan harga lebih rendah.

Namun demikian, aspek yang paling penting tetap terletak pada rasa dan kualiti produk. Kedua-dua perkara ini tidak wajar dikompromikan. Setiap kali Ramadan menjelang, media sering memaparkan pelbagai rungutan pengunjung berkaitan dengan makanan yang mahal tetapi tidak setimpal dengan rasa atau kualitinya.

Antara rungutan yang sering dikemukakan termasuklah saiz makanan yang kecil, isi yang terlalu sedikit, rasa yang tidak memuaskan atau makanan yang tidak segar. Situasi ini menimbulkan rasa kecewa dalam kalangan pelanggan yang merasakan nilai yang diterima tidak setimpal dengan harga yang dibayar.

Bazar Ramadan seharusnya menjadi “syurga” juadah berbuka puasa. Oleh itu, peniaga perlu mengekalkan kejujuran dan memastikan kualiti produk setimpal dengan harga. Pada hakikatnya, pelanggan sanggup membayar lebih sekiranya mereka merasakan nilai yang diterima berpadanan dengan harga yang dibayar.

Kesimpulannya, persaingan dalam bazar Ramadan menuntut peniaga untuk lebih kreatif dan strategik. Kejayaan tidak semestinya bergantung pada harga yang paling murah atau produk yang paling unik, sebaliknya pada keupayaan peniaga menarik perhatian pelanggan, memberikan pengalaman membeli yang memuaskan serta mengekalkan kualiti produk.

Sekiranya strategi ini dilaksanakan dengan berkesan, pelanggan yang berjaya ditarik bukan sahaja menyumbang kepada peningkatan jualan bermusim, malah berpotensi menjadi aset jangka panjang kepada peniaga pada setiap Ramadan. Bazar Ramadan bukan sekadar tempat berniaga, sebaliknya medan strategi yang memerlukan kreativiti, inovasi dan perancangan yang bijak.

Kredit Foto: Freepik
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi