Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangCyberjaya – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) memaklumkan bahawa bayaran balik cukai kepada pembayar cukai yang layak dan telah selesai diproses akan mula dikreditkan secara berperingkat mulai minggu kedua Mac 2026.
Bayaran balik tersebut melibatkan pembayar cukai individu yang telah mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) bagi Tahun Taksiran 2025 berikutan pembukaan perkhidmatan e-Filing pada 1 Mac lalu.
Menurut HASiL, bayaran balik cukai bagi BNCP yang dihantar melalui e-Filing akan diproses dalam tempoh sehingga 30 hari bekerja, manakala BNCP yang dikemukakan secara manual pula diproses selewat-lewatnya dalam tempoh 90 hari bekerja.
Jelasnya lagi, sekiranya maklumat yang dikemukakan oleh pembayar cukai lengkap dan tepat, serta tidak memerlukan semakan lanjut, bayaran balik cukai berkenaan boleh diproses lebih awal daripada tempoh yang ditetapkan.
Sehubungan dengan itu, HASiL menasihati pembayar cukai agar memastikan maklumat akaun bank yang dilaporkan adalah tepat dan terkini bagi memastikan bayaran balik dapat dikreditkan dengan lancar.
Dalam pada itu, HASiL komited untuk terus menambah baik penyampaian perkhidmatan kepada pembayar cukai, serta memastikan urusan percukaian dilaksanakan secara cekap dan efisien.