Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim terus mengukuhkan sokongan fiskal kepada pentadbiran negeri dengan memperuntukkan bantuan sebanyak RM10.5 bilion bagi tahun 2026.
Keputusan tersebut dicapai dalam Mesyuarat Majlis Kewangan Negara (MKewN) 2026 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan itu semalam.
Antara pembaharuan utama yang dipersetujui termasuklah Pemberian Senarai Bersama, Pemberian Penyenggaraan Jalan Negeri, serta agihan Cukai Pelancongan.
Menurut Kementerian Kewangan (MOF), Kerajaan Persekutuan komited meningkatkan bantuan kepada kerajaan negeri kepada RM10.5 bilion tahun ini berbanding dengan RM10.3 bilion pada tahun lalu.
Peningkatan tersebut didorong oleh kenaikan kadar Pemberian Mengikut Bilangan Orang (PMBO) bagi tahun 2026.
Selain itu, MKewN turut bersetuju menambah baik mekanisme penyaluran di bawah Senarai Bersama bagi memperkukuh aliran tunai kerajaan negeri.
Perdana Menteri berkata, Kerajaan MADANI komited menambah baik pemberian Kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri setiap tahun demi manfaat seluruh rakyat tanpa mengira negeri atau wilayah.
“Seperti yang digariskan dalam kerangka Ekonomi MADANI, limpahan hasil negara mesti diagihkan secara saksama, serta berteraskan tatakelola yang baik,” katanya.
Sementara itu, MOF memaklumkan bahawa Pemberian Penyenggaraan Jalan Negeri turut ditambah baik, termasuk perolehan Jambatan Panel Keluli Bermodular (Bailey Bridge), kerja pembaikan, serta pembesaran longkang dan parit di jalan negeri.
Menurut kementerian itu lagi, sempena Tahun Melawat Malaysia 2026, Kerajaan Persekutuan bersetuju menyalurkan 100 peratus kutipan Cukai Pelancongan kepada setiap negeri, berbanding dengan hanya 50 peratus sebelum ini.
Anwar berkata, Kerajaan MADANI sentiasa terbuka untuk bekerjasama rapat dengan semua kerajaan negeri tanpa mengambil kira perbezaan pendirian politik.
“Penambahbaikan pemberian ini penting bagi memperkukuh pembangunan sosioekonomi dan prasarana agar kita dapat berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah sebagai satu negara,” katanya.