Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) meraikan rakan media bersempena dengan ulang tahun ke-30 institusi itu menerusi penganjuran Majlis Iftar dan Apresiasi Media 2026 yang berlangsung di The Westin Kuala Lumpur, semalam.
Majlis tersebut menghimpunkan kira-kira 120 orang pengamal media dari pelbagai organisasi media, termasuk media cetak, penyiaran televisyen dan radio, portal berita dalam talian, serta agensi kreatif dan digital. Penganjuran majlis ini turut menjadi tanda penghargaan HASiL terhadap peranan rakan media sebagai penyampai maklumat percukaian yang tepat, konsisten dan bertanggungjawab kepada masyarakat.
Dalam ucapannya, Ketua Pegawai Eksekutif HASiL, YBhg. Datuk Dr. Abu Tariq Jamaluddin menekankan bahawa media berperanan sebagai jambatan penting antara HASiL dengan masyarakat dalam menyampaikan dasar, inisiatif, serta mesej pematuhan cukai secara tepat, mudah difahami dan seimbang.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada rakan media yang sentiasa menyalurkan laporan yang membina dan positif, sekali gus membantu menangani kekeliruan, serta maklumat yang tidak tepat dalam ruang awam.
Beliau menegaskan bahawa sokongan berterusan media sepanjang tiga dekad lalu menjadi pemangkin terhadap peningkatan literasi percukaian dalam kalangan masyarakat, di samping menyumbang kepada pembinaan keyakinan terhadap sistem percukaian negara.
Pencapaian sepanjang tiga dekad tersebut mencerminkan hubungan kerjasama yang erat antara HASiL dengan pihak media sejak penubuhannya pada tahun 1996. Simbolik ulang tahun ke-30 ini turut melambangkan evolusi bersama dalam memperkasakan ekosistem percukaian negara.
Bersempena dengan bulan Ramadan al-Mubarak, penganjuran majlis ini diharapkan dapat terus memperkukuh hubungan strategik antara HASiL dengan pihak media demi kesejahteraan negara.