Diterbitkan pada 24 Januari 2026, 15:01

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Persatuan Usahawan Wanita Bumiputera Malaysia (PENIAGAWATI) mencipta sejarah sempena ulang tahun penubuhan ke-45 apabila menganjurkan Majlis Minum Petang Diraja di Diamond Ballroom, Hotel Equatorial, pada 21 Januari yang lalu.

Majlis berprestij itu diserikan dengan keberangkatan KDYMM Sultanah Nur Zahirah, Sultanah Terengganu dan DYMM Tuanku Zara Salim, Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, sekali gus melambangkan penghormatan tertinggi terhadap peranan dan sumbangan usahawan wanita di Malaysia.

Yang turut mengiringi keberangkatan baginda berdua ialah Yang Mulia Toh Puan Raja Dato’ Seri Utama Noora Ashikin Raja Abdullah.

Antara pengisian utama majlis termasuklah pelancaran rasmi “Chapter-Chapter PENIAGAWATI” sebagai inisiatif strategik bagi memperluas sokongan organisasi pada peringkat negeri dan wilayah, khususnya kepada usahawan wanita di luar bandar dan di pinggir bandar.

Presiden PENIAGAWATI, YBhg. Dato’ Emmy Suraya Hussein berkata, langkah itu menandakan fasa baharu persatuan ke arah organisasi yang lebih inklusif dan bersedia menghadapi cabaran ekonomi digital, serta kecerdasan buatan (AI).

Beliau turut memaklumkan kejayaan misi dagang antarabangsa PENIAGAWATI ke Asia Barat dan negara jiran yang menghasilkan beberapa memorandum persefahaman (MoU) bagi menembusi pasaran antarabangsa.

Majlis turut menyaksikan penyampaian Anugerah PENIAGAWATI yang disempurnakan oleh KDYMM Sultanah Nur Zahirah sebagai penghargaan kepada usahawan wanita cemerlang.

Sejak ditubuhkan 45 tahun lalu, PENIAGAWATI kekal komited memperkasakan usahawan wanita bumiputera melalui pembangunan kapasiti, jaringan strategik dan transformasi digital.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi