Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSetiap kali musim cuti sekolah atau penganjuran acara besar di ibu kota seperti sambutan Tahun Baharu, masyarakat sering disajikan dengan pemandangan timbunan sisa plastik, polistirena dan pelbagai bahan buangan lain.
Melangkah ke tahun 2026, Malaysia bukan sahaja menyambut Tahun Melawat Malaysia, malah berada pada tahun pertama pelaksanaan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13). Namun demikian, sikap dan mentaliti terhadap pengurusan sisa seolah-olah masih berada pada takuk lama.
Sering kali masyarakat terlepas pandang bahawa sisa yang dibuang ke dalam longkang atau di tepi jalan pada akhirnya akan berakhir di lautan. Dianggarkan hampir 80 peratus pencemaran plastik di lautan berpunca daripada sumber daratan yang dibawa melalui sistem perparitan dan sungai.
Persoalannya, sejauh mana kita benar-benar memahami bahawa tindakan sambil lewa dalam mengurus sisa pepejal sebenarnya merupakan ancaman langsung terhadap sumber rezeki negara, iaitu Ekonomi Biru? Isu ini sering dilihat secara terpisah, sedangkan hakikatnya hal ini berkait rapat dengan kelangsungan sektor perikanan dan sektor pelancongan marin yang bernilai berbilion ringgit kepada ekonomi negara.
Bagi merealisasikan hasrat Malaysia untuk muncul sebagai peneraju Ekonomi Biru di rantau ini, transformasi mentaliti masyarakat merupakan prasyarat utama. Apabila sampah memasuki ekosistem laut, sisa plastik khususnya akan terurai menjadi mikroplastik yang kemudiannya dimakan oleh hidupan marin.
Ironinya, bahan cemar ini akhirnya kembali ke meja makan manusia melalui rantaian makanan. Fenomena ini bukan sekadar isu alam sekitar, malah membawa implikasi besar terhadap keselamatan makanan dan kesihatan awam.
Di sinilah terletaknya ancaman sebenar terhadap Ekonomi Biru, khususnya dalam usaha memacu sektor perikanan dan pelancongan marin secara mampan. Bagaimanakah Ekonomi Biru dapat diperkasakan seperti yang digariskan dalam RMK-13 sekiranya lautan terus dijadikan tapak pelupusan sisa? Tanpa perubahan tingkah laku yang ketara di darat, segala perancangan pembangunan berasaskan laut berisiko menjadi retorik semata-mata.
Bermula Januari 2026, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui Akta 672 akan menguatkuasakan denda sehingga RM2,000, serta perintah khidmat masyarakat selama 12 jam terhadap pesalah pembuangan sampah.
Sebelum ini, denda maksimum di bawah Akta 171 hanyalah hingga RM1,000. Persoalan yang timbul ialah sama ada pendekatan baharu ini mampu melangkaui tindakan punitif semata-mata seperti yang diamalkan sebelum ini.
Pelaksanaan perintah khidmat masyarakat selama 12 jam sebagaimana yang diamalkan di beberapa negara maju diharapkan dapat memberikan kesan psikologi yang lebih mendalam kepada masyarakat. Langkah ini bukan sahaja bersifat menghukum, malah berpotensi mendidik nilai tanggungjawab kolektif terhadap kebersihan persekitaran.
Dalam konteks ini, pembaharuan undang-undang tersebut boleh dilihat sebagai pengenalan kepada pendekatan keadilan restoratif dalam menangani isu pengurusan sisa pepejal, serta kelestarian alam sekitar negara.
Walau bagaimanapun, peruntukan denda yang lebih tinggi memerlukan penguatkuasaan yang berkesan dan menyeluruh. Pihak berkuasa tempatan (PBT) wajar diberikan mandat yang lebih luas melalui reformasi undang-undang kecil, khususnya yang berkaitan dengan pengurusan sisa bandar dan perlindungan ekosistem marin.
Antara langkah yang perlu dipertimbangkan termasuklah integrasi perancangan spatial marin dengan sistem pengurusan sisa di darat agar hubungan antara aktiviti manusia dengan kesihatan laut dapat ditangani secara holistik.
Sehubungan dengan itu, Januari 2026 wajar dijadikan titik tolak kepada anjakan paradigma masyarakat dalam menguruskan sisa pepejal. Denda yang tinggi tidak seharusnya dilihat sebagai beban sebaliknya sebagai perisai undang-undang untuk mempertahankan khazanah laut negara. Hakikatnya, kebersihan di darat merupakan kunci kepada kekayaan di laut.
Transformasi mentaliti masyarakat amat penting sekiranya Malaysia ingin muncul sebagai kuasa Ekonomi Biru yang disegani. Undang-undang boleh bertindak sebagai pemangkin perubahan, namun kesedaran sivik tetap menjadi tunjang utama dalam pembentukan sikap dan nilai tanggungjawab terhadap alam sekitar. Tanpa kesedaran ini, kelestarian Ekonomi Biru akan terus terancam walaupun pelbagai dasar dan peraturan telah digubal.
Dr. Farahdilah Ghazali, Pensyarah Kanan, Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia.