Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangCyberjaya – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) memaklumkan bahawa pembayar cukai individu yang menerima Notis Bayaran Ansuran (CP500) tidak akan dikenakan penalti sepanjang tahun 2026, susulan pengumuman Perutusan Tahun Baharu 2026 oleh YAB Perdana Menteri.
Menurut HASiL, konsesi tersebut diberikan sebagai langkah peralihan bagi pembayar cukai individu yang mempunyai pendapatan daripada punca penggajian dan bukan penggajian seperti sewaan, faedah dan royalti bagi mematuhi keperluan bayaran ansuran CP500 bagi Tahun Taksiran (TT) 2026.
Dalam tempoh peralihan ini, pembayar cukai tidak akan dikenakan penalti sekiranya gagal membuat bayaran ansuran CP500. Walau bagaimanapun, HASiL menggalakkan pembayar cukai untuk membuat bayaran secara sukarela bagi mengurangkan beban bayaran baki cukai semasa proses pemfailan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) kelak.
Seiring dengan konsesi yang diumumkan, pembayar cukai yang hanya mempunyai punca pendapatan daripada penggajian sahaja tidak diwajibkan untuk mematuhi arahan bayaran ansuran CP500. Namun demikian, mereka dinasihatkan agar mengemas kini pelaporan pendapatan dalam BNCP bagi TT 2025 dengan tepat bagi mengelakkan penerimaan arahan bayaran ansuran CP500 pada masa hadapan.
HASiL turut memaklumkan bahawa pihaknya akan menghubungi pembayar cukai yang terlibat bagi menjelaskan sebarang kesilapan pelaporan pendapatan dalam BNCP yang telah dikemukakan sebelum ini demi memastikan rekod percukaian yang lebih tepat dan teratur.
Bagi pembayar cukai yang ingin membuat pindaan amaun CP500 melalui Borang Permohonan Pindaan Bayaran Ansuran (CP502) berdasarkan anggaran pendapatan dan cukai kena dibayar bagi TT 2026, pindaan kali pertama boleh dibuat selewat-lewatnya pada 30 Jun 2026, manakala pindaan kali kedua selewat-lewatnya pada 31 Oktober 2026.
Sebagai panduan, borang CP502 dan Nota Penerangan CP502 boleh dimuat turun melalui portal rasmi HASiL dengan melayari www.hasil.gov.my dan memilih menu Borang > Muat Turun Borang > Lain-Lain Borang > Borang Permohonan Pindaan Bayaran Ansurn (CP502)/Nota Penerangan CP502, atau melalui capaian pantas menerusi pautan https://www.hasil.gov.my/media/lvaduqs5/borang-cp502.pdf dan https://www.hasil.gov.my/media/xejj2kk0/nota-penerangan-cp502.pdf
HASiL menyarankan agar semua pembayar cukai melaporkan pendapatan dalam BNCP dengan betul dan tepat bagi memastikan pengurusan cukai yang lebih cekap dan teratur.
HASiL turut menegaskan komitmen berterusan untuk memperkasakan sokongan dan bimbingan kepada pembayar cukai demi pelaksanaan tanggungjawab percukaian yang telus dan efisien.
Sebarang pertanyaan atau maklum balas boleh disalurkan melalui: