Diterbitkan pada 30 Disember 2025, 16:42

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Ahli ekonomi dan penganalisis ekonomi terkemuka, Dato’ Dr. Madeline Berma dilaporkan meninggal dunia di kediamannya di Bandar Baru Bangi, Selangor hari ini.

Pemergian mendiang merupakan satu kehilangan besar kepada negara, khususnya dalam bidang pembangunan ekonomi dengan sumbangan yang signifikan terhadap usaha pembasmian kemiskinan dan pemerkasaan wanita.

Beliau dikenali sebagai tokoh akademik dan pemikir yang sentiasa menyuarakan pandangan bernas dan kritikal terhadap pelbagai isu ekonomi semasa.

Sepanjang hayat mendiang, sumbangan intelektual dan buah fikiran beliau telah membantu memperluas pemahaman masyarakat terhadap cabaran ekonomi negara, serta membuka ruang wacana yang lebih inklusif dan berimpak tinggi.

Beliau merupakan mantan kolumnis Dewan Ekonomi dari tahun 2022 hingga tahun 2024 dengan penulisan memberikan tumpuan kepada analisis ekonomi yang mendalam dan kritikal. Sumbangan tersebut memperkaya pemahaman pembaca terhadap isu ekonomi semasa dan implikasi dasar terhadap kesejahteraan rakyat.

Mendiang pernah berkhidmat sebagai pensyarah di Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia. Mendiang turut memegang beberapa jawatan penting pada peringkat nasional seperti Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), Felo Kehormat Institut Masa Depan Malaysia (MASA) dan Ahli Majlis Tindakan Ekonomi Sarawak.

Sumbangan besar mendiang turut menerima pengiktirafan melalui Anugerah Perdana: Tokoh Akademik Sains Sosial oleh Yayasan Pembangunan Buku Negara (YPBN) yang mencerminkan jasa dan impak signifikan beliau dalam bidang ekonomi dan pembangunan sosial negara.

Dato’ Dr. Madeline memperoleh Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 1982, sebelum melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Sastera di University of Wisconsin-Madison, Amerika Syarikat pada tahun 1986. Mendiang seterusnya memperoleh Ijazah Doktor Falsafah dari University of Hull, England pada tahun 1997.

Pemergian mendiang merupakan suatu kehilangan besar kepada negara. Sidang editor Dewan Ekonomi merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga mendiang.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi