Diterbitkan pada 22 Disember 2025, 09:24

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kadar Dasar Semalaman (OPR) merupakan kadar faedah penanda aras yang ditetapkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan menjadi rujukan bagi kadar pinjaman dalam sistem perbankan negara. Pada 9 Julai 2025, BNM mengumumkan penurunan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus selepas mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari diadakan.

Sejajar dengan penurunan tersebut, kadar siling dan lantai koridor OPR turut diturunkan masing-masing kepada tiga peratus dan 2.5 peratus. Untuk rekod, ini merupakan kali pertama BNM menurunkan OPR selepas mengekalkannya sebanyak 12 kali sejak Mei 2023.

Lazimnya, bank akan melaraskan Kadar Asas (BR) dan Kadar Pinjaman Asas (BLR) selaras dengan perubahan OPR. Oleh itu, penurunan OPR memberikan isyarat bahawa institusi kewangan perlu menawarkan pinjaman pada kadar faedah lebih rendah kepada pengguna, serta perniagaan.

Keadaan ini membuka ruang kelegaan bagi sektor Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), kumpulan yang sering berdepan dengan pelbagai kekangan seperti kos pembiayaan yang tinggi, isu aliran tunai berpanjangan, peningkatan kos operasi dan ketidaktentuan ekonomi global. Semua cabaran ini menyukarkan PMKS untuk berkembang ke peringkat seterusnya, termasuk menembusi pasaran eksport.

Dari segi kos pembiayaan, pinjaman bank merupakan sumber modal penting untuk pembangunan, inovasi dan daya saing PMKS. Penurunan OPR menjadikan pembiayaan lebih mampu milik, sama ada pinjaman jangka masa panjang untuk pembelian aset atau pinjaman jangka masa pendek bagi modal pusingan. Dengan bayaran balik bulanan yang lebih rendah, PMKS berpeluang menstruktur semula kedudukan kewangan mereka dan mengukuhkan aliran tunai perniagaan.

Aliran tunai pula merupakan komponen asas yang menentukan kelangsungan sesebuah perniagaan. Hal ini mencerminkan keupayaan syarikat menampung perbelanjaan operasi seperti gaji, sewa, utiliti dan pembelian stok. Aliran tunai yang stabil bukan sahaja memastikan kelangsungan harian, malah meningkatkan keyakinan bank dan pelabur untuk menyalurkan pembiayaan. Oleh itu, langkah penurunan OPR yang berupaya memperbaik aliran tunai turut meningkatkan peluang akses pembiayaan baharu bagi PMKS.

Peningkatan kos operasi pula terus menjadi cabaran utama. Menurut tinjauan yang dijalankan Associated Chinese Chambers of Commerce and Industry of Malaysia (ACCCIM) pada Mac 2025, pemilik perniagaan khususnya PMKS, menghadapi tekanan kos yang meningkat akibat bil elektrik, caj pelesenan, pematuhan peraturan, utiliti, insurans, cukai tanah dan penyelenggaraan premis.

Pengenalan pelaksanaan penuh gaji minimum pada 1 Ogos 2025 turut menambah beban kos. Hal ini menekan margin keuntungan PMKS, justeru penurunan OPR memberikan sedikit ruang lega kepada aliran kewangan mereka.

Dalam keadaan ekonomi global yang tidak menentu, penurunan OPR dianggap sebagai intervensi penting bagi merangsang kembali aktiviti ekonomi domestik. Sektor PMKS yang merangkumi lebih daripada 1.2 juta perniagaan dan menyumbang 38.4 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), serta menyediakan lebih daripada tujuh juta pekerjaan dijangka menerima manfaat langsung.

Penurunan kadar faedah meningkatkan pendapatan boleh guna pengguna yang seterusnya merangsang perbelanjaan dan aktiviti perniagaan. Kesannya, permintaan terhadap produk PMKS, termasuk yang beroperasi di platform e-dagang dijangka meningkat.

Namun begitu, manfaat penurunan OPR tidak akan tercapai sepenuhnya tanpa tindakan proaktif daripada PMKS sendiri. Asas utamanya ialah peningkatan literasi kewangan, khususnya dalam merancang struktur pinjaman, pengurusan aliran tunai dan penyusunan semula strategi perniagaan.

Pada masa yang sama, institusi kewangan dan pelabur perlu lebih fleksibel dan inklusif dalam menilai permohonan pembiayaan. Walaupun risiko kredit kekal sebagai pertimbangan, proses penilaian yang terlalu ketat boleh menyukarkan PMKS yang benar-benar memerlukan sokongan. Penambahbaikan dalam kriteria kelayakan, produk pembiayaan mesra usahawan, serta proses permohonan yang lebih telus dan pantas amat diperlukan agar kesan penurunan OPR dapat dirasai hingga peringkat akar umbi.

Kesimpulannya, memahami turun naik OPR penting bagi PMKS kerana hal ini mempengaruhi keputusan strategik dan kewangan perniagaan. Penurunan OPR harus dilihat sebagai peluang untuk memperkukuh kedudukan perniagaan, bukannya sebab untuk berbelanja secara berlebihan. Risiko pinjaman tidak berhemah tidak boleh dipandang ringan, terutamanya dalam suasana kadar faedah rendah.

Oleh itu, pemilik PMKS perlu memastikan setiap pembiayaan digunakan secara strategik bagi merangsang pertumbuhan jangka masa panjang. Dengan pendekatan yang berhati-hati dan terancang, penurunan OPR dapat menjadi pemangkin untuk meningkatkan daya saing, kecekapan dan kelestarian sektor PMKS dalam ekosistem ekonomi Malaysia.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi