Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangInovasi merupakan nadi penting kepada kecemerlangan dalam pelbagai bidang, termasuk perniagaan. Perkara ini membawa pelbagai manfaat hasil ciptaan baharu yang berjaya dikomersialkan. Sebagai contoh, inovasi menyumbang kepada peningkatan kualiti hidup melalui penjimatan kos, pengurangan masa menunggu perkhidmatan, peningkatan mutu kerja, impak positif terhadap alam sekitar, serta pengurangan jejak karbon.
Oleh itu, inovasi sentiasa diraikan dalam dunia penyelidikan, industri, perkhidmatan dan kepenggunaan. Satu daripada bentuk inovasi yang semakin mendapat tempat dalam dunia perniagaan dan perkhidmatan hari ini ialah teknologi kewangan (fintech), hasil perkembangan pesat dalam bidang teknologi Internet, analitik data dan kecerdasan buatan (AI).
Antara inovasi yang paling ketara dalam landskap kewangan digital hari ini termasuklah sistem Beli Dulu, Bayar Kemudian [Buy Now, Pay Later (BNPL)], iaitu satu kaedah pembayaran fleksibel yang membolehkan pengguna membeli barangan atau perkhidmatan serta-merta dan membayarnya dalam bentuk ansuran tanpa faedah dalam tempoh yang ditetapkan.
BNPL kini menjadi pilihan banyak pengguna Malaysia, terutamanya dalam sektor e-dagang dan peruncitan. Laporan laman web Statista menunjukkan bahawa pada tahun 2022, jumlah pengguna BNPL di Malaysia telah melebihi lima juta orang dengan peningkatan lebih daripada sejuta pengguna berbanding dengan tahun sebelumnya. Perkembangan ini mencerminkan minat yang semakin meningkat dalam kalangan pengguna terhadap kaedah pembayaran yang lebih anjal dan tidak membebankan.
Dalam era digital yang serba pantas, BNPL menawarkan keanjalan kewangan yang disambut baik oleh masyarakat, terutama golongan muda yang cenderung memilih transaksi dalam talian. Platform seperti Atome, PayLater oleh Grab dan SPayLater oleh Shopee kini menjadi penyedia utama perkhidmatan ini di Malaysia.
Kemudahan ini membolehkan pengguna membuat pembelian walaupun tanpa jumlah wang penuh pada waktu transaksi. Bayaran kemudiannya dibuat secara ansuran bulanan tanpa faedah asalkan pengguna mematuhi jadual pembayaran yang ditetapkan. Konsep ini menjadikan BNPL satu pilihan yang menarik berbanding dengan sistem kredit konvensional yang lazim mengenakan kadar faedah yang tinggi.
Peningkatan ketara dalam penggunaan BNPL turut dipengaruhi oleh pandemik COVID-19 yang memaksa pengguna beralih kepada kaedah pembelian secara dalam talian. Dalam masa yang sama, peruncit turut mempromosikan BNPL sebagai strategi pemasaran untuk meningkatkan jualan dengan menawarkan bayaran yang lebih fleksibel.
Namun begitu, kemudahan yang ditawarkan oleh BNPL tidak datang tanpa risiko. Satu daripada kebimbangan utama ialah kecenderungan untuk berbelanja secara berlebihan kerana wujudnya persepsi bahawa ansuran bulanan adalah “tidak membebankan”.
Kajian mendapati bahawa majoriti pengguna BNPL terdiri daripada golongan belia dan pekerja muda berpendapatan sederhana. Banyak yang menggunakan BNPL untuk membeli barangan keperluan seperti telefon pintar, peralatan elektronik, fesyen dan perkhidmatan langganan digital.
Cabaran sebenar timbul apabila pengguna gagal mengurus kewangan dengan baik. Tanpa perancangan rapi, pengguna boleh terperangkap dalam lingkaran hutang dengan terpaksa menggunakan kad kredit atau membuat pinjaman peribadi untuk melangsaikan ansuran BNPL yang tertunggak. Kegagalan membuat bayaran tepat pada masanya juga boleh mengakibatkan denda penalti yang tinggi dan dalam sesetengah kes, melebihi kadar faedah kad kredit. Jika tertunggak berpanjangan, penyedia BNPL boleh melaporkan kegagalan bayaran kepada biro kredit, sekali gus menjejaskan skor kredit pengguna.
Melihat kepada pertumbuhan pesat dan risiko yang wujud, pihak berkuasa seperti Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) telah mula memantau dan merangka kawal selia terhadap perkhidmatan BNPL. Walaupun BNPL tidak diklasifikasikan sebagai perkhidmatan kredit tradisional, pengawasan yang lebih ketat amat penting bagi mengelakkan pengguna daripada terjerumus dalam beban kewangan yang tidak terkawal.
Pada masa yang sama, pendidikan kewangan dalam kalangan pengguna amatlah penting. Pengguna perlu memahami terma dan syarat yang dikenakan oleh penyedia perkhidmatan, termasuk potensi caj penalti, had kredit dan implikasi terhadap rekod kewangan peribadi.
Antara langkah bijak yang boleh diambil oleh pengguna termasuklah menggunakan BNPL hanya untuk pembelian yang benar-benar perlu, membuat perancangan kewangan dan memastikan kemampuan membayar ansuran, mengelakkan penggunaan BNPL secara serentak daripada pelbagai penyedia, memilih platform yang telus dalam terma dan syarat, serta tidak mengenakan caj tersembunyi.
BNPL merupakan satu daripada inovasi kewangan yang mampu memberikan manfaat besar kepada pengguna terutama dalam pengurusan aliran tunai dan perbelanjaan jangka masa pendek. Namun begitu, tanpa kawalan dan kesedaran kewangan yang mencukupi, perkhidmatan ini boleh berubah menjadi beban hutang yang membelenggu.
Oleh itu, pengguna harus bertindak bijak dan berhemah dalam menggunakan kemudahan ini. Pendidikan kewangan yang meluas dan kawal selia yang berkesan akan memastikan bahawa inovasi seperti BNPL dapat dimanfaatkan sepenuhnya tanpa mengancam kestabilan kewangan pengguna.
Dengan keseimbangan antara kemudahan dengan kesedaran dan tanggungjawab, BNPL boleh menjadi alat kewangan moden yang berdaya guna dan bukannya satu lagi perangkap hutang baharu dalam era digital.