Diterbitkan pada 27 Ogos 2025, 13:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Beberapa tahun kebelakangan ini, trend membankrapkan diri sendiri mencatatkan peningkatan yang membimbangkan. Berdasarkan statistik Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI), jumlah kes membankrapkan diri sendiri meningkat sebanyak 200 peratus, iaitu 330 kes pada tahun 2024 berbanding dengan 181 kes pada tahun 2023 dan 116 kes pada tahun 2022. Persoalannya adakah Dasar Peluang Kedua yang diperkenalkan kerajaan pada 1 Mac 2023 dieksploitasi sehingga mencetuskan peningkatan trend ini?

Dasar Peluang Kedua merupakan inisiatif kerajaan untuk membantu rakyat dengan hutang berskala kecil supaya dilepaskan daripada kebankrapan secara automatik dalam tempoh yang singkat tertakluk pada syarat tertentu. Dasar ini diwujudkan bagi memberikan peluang kepada individu berstatus bankrap untuk kembali menyumbang kepada ekonomi negara. Sehingga November 2024, kerajaan melalui MdI melepaskan sebanyak 170,751 kes kebankrapan. Jumlah ini merangkumi golongan muda berumur 40 tahun ke bawah dengan hutang tidak melebihi RM200,000.

Di negara ini, seseorang boleh diisytiharkan bankrap sekiranya mereka mempunyai hutang melebihi RM100,000, iaitu ambang kebankrapan minimum dan gagal membayar hutang tersebut. Kebankrapan boleh berlaku melalui dua kaedah utama, iaitu perintah mahkamah hasil petisyen pemiutang atau melalui petisyen secara sukarela oleh penghutang sendiri. Lazimnya, institusi kewangan sebagai pemiutang memfailkan petisyen terhadap penghutang, namun kini semakin banyak penghutang memilih untuk membankrapkan diri mereka sendiri.

Tindakan ini dilakukan untuk melindungi diri daripada beban hutang yang tertunggak atau tuntutan pemiutang yang tinggi. Sesetengah penghutang sanggup diisytiharkan bankrap kerana beranggapan status tersebut dapat meringankan beban kewangan. Mereka menyedari bahawa kesan kebankrapan tidak banyak menjejaskan kehidupan seharian, sementara bayaran bulanan dikenakan oleh MdI bagi menyelesaikan hutang adalah minimum. Sekiranya memenuhi syarat dan tempoh tiga tahun hingga lima tahun, mereka boleh dilepaskan daripada status bankrap secara automatik.

Apabila seseorang diisytiharkan bankrap, pengurusan kewangannya akan dipantau oleh MdI, iaitu badan statutori yang ditubuhkan di bawah Akta Kebankrapan (Pindaan) 2003 untuk mentadbir kes kebankrapan di Malaysia. MdI bertanggungjawab mengawasi pengurusan estet penghutang dan menetapkan komitmen bayaran bulanan minimum untuk melunaskan hutang. Sebagai contoh, seorang penghutang sepatutnya membayar RM2,000 sebulan, tetapi memilih untuk memfailkan kebankrapan agar hanya dikenakan bayaran minimum. Tindakan ini dianggap lebih menguntungkan walaupun memberikan implikasi besar terhadap sistem kewangan negara.

MdI mengamalkan pendekatan yang tidak bersifat kejam bagi mentadbir pembayaran hutang. Setiap keputusan berhubung dengan jumlah bayaran mengambil kira status kewangan semasa penghutang bankrap. Jika seseorang penghutang diperintahkan membayar RM500 sebulan, tetapi kemudian menghadapi kesukaran, pihak MdI boleh mengurangkan bayaran tersebut. Penetapan jumlah bayaran bulanan dibuat berdasarkan kemampuan sebenar penghutang dan bukannya jumlah tuntutan yang difailkan oleh pemiutang.

Namun begitu, keadaan ini membuka ruang kepada penyalahgunaan sistem kebankrapan. Terdapat pihak yang mengambil kesempatan dengan memanipulasi keadaaan untuk mengelak daripada membayar komitmen pinjaman yang tinggi kepada pemiutang. Mereka memilih untuk membayar jumlah yang lebih rendah kepada MdI yang ditetapkan mengikut kemampuan, sekali gus mengurangkan beban kewangan mereka. Tindakan sebegini bertentangan dengan tujuan asal sistem kebankrapan yang diwujudkan bagi membantu mereka yang benar-benar terbeban, bukannya sebagai alat mengelak hutang.

MdI memandang serius perkembangan ini dan sedang meneliti kaedah pelaksanaan petisyen penghutang yang ketika ini tidak mempunyai nilai ambang kebankrapan, berbeza daripada petisyen pemiutang. Sebagai pentadbir estet penghutang bankrap, MdI bertanggungjawab memastikan proses pentadbiran dijalankan mengikut undang-undang, melindungi hak penghutang dan pada masa sama menjaga kepentingan pemiutang. Oleh itu, MdI memantau kelakuan penghutang dan memastikan setiap harta atau pendapatan tambahan diisytiharkan dalam penyata pendapatan dan perbelanjaan untuk tempoh enam bulan. Jika terdapat maklumat yang disembunyikan, MdI boleh mengambil tindakan komital di mahkamah.

Dalam kes hutang yang besar dengan komitmen bayaran bulanan rendah, jumlah kutipan sering tidak mencukupi untuk melunaskan keseluruhan hutang. Statistik kebankrapan sehingga Oktober tahun 2024 menunjukkan bahawa hutang tertinggi dalam lingkungan RM100,000 hingga RM499,999 dengan 3,924 kes kes. Seterusnya, hutang antara RM500,000 hingga RM999,999 sebanyak 705 kes, hutang melebihi RM1 juta sebanyak 256 kes, hutang antara RM50,000 hingga RM100,000 sebanyak 882 kes dan hutang RM30,000 hingga RM49,999 sebanyak 21 kes.

Berdasarkan punca kebankrapan, pinjaman peribadi menjadi punca utama dengan 2,341 kes direkodkan sehingga Oktober tahun 2024. Sejak tahun 2020, pinjaman peribadi kekal sebagai punca utama kebankrapan. Lebih membimbangkan, terdapat penghutang yang membuat hutang baharu untuk membayar hutang lama atau lebih dikenali sebagai kaedah “gali lubang, tutup lubang”. Situasi ini menyebabkan mereka semakin terjerumus dalam hutang sehingga terpaksa memilih petisyen penghutang sebagai jalan keluar.

Selepas tempoh tiga tahun hingga lima tahun dengan rekod pembayaran baik di bawah seliaan MdI, banyak penghutang akhirnya bebas daripada status kebankrapan. Tekanan untuk membayar jumlah hutang yang besar tidak lagi menghantui mereka. Keadaaan ini menimbulkan kebimbangan kerana trend membankrapkan diri sendiri semakin meningkat. Persoalannya adakah pendedahan mengenai isu ini kepada umum akan menjadi idea bernas kepada lebih banyak penghutang dan seterusnya meningkatkan lagi trend tersebut pada masa hadapan?

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi