Diterbitkan pada 7 November 2025, 08:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Dalam persekitaran ekonomi global yang semakin tidak menentu, dasar monetari kekal sebagai instrumen penting dalam menstabilkan ekonomi dan melindungi kuasa beli rakyat. Di Malaysia, Kadar Dasar Semalaman (OPR) berperanan sebagai alat utama bagi Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menyelaraskan kedudukan monetari dengan keperluan semasa.

Dalam lima tahun kebelakangan ini, pelarasan OPR memainkan peranan penting dalam merangsang pemulihan semasa krisis pandemik, mengawal tekanan inflasi semasa fasa pemulihan, serta langkah pelarasan pada Julai 2025 untuk menyokong pertumbuhan dalam suasana persekitaran luar yang semakin mencabar.

Trajektori pelarasan OPR memberikan gambaran jelas tentang cara BNM bertindak balas terhadap situasi ekonomi yang dinamik. Dari tahun 2019 hingga tahun 2023, pelarasan OPR telah digunakan secara aktif untuk menyokong pemulihan ekonomi semasa krisis pandemik dan seterusnya untuk mengawal tekanan inflasi selepas pemulihan.

Keputusan pada Julai 2025 mencerminkan satu peralihan kepada pendekatan berpandangan ke hadapan bertujuan mengekalkan momentum pertumbuhan dalam persekitaran global yang semakin mencabar. Setiap pelarasan OPR ini membawa pelbagai kesan langsung dan tidak langsung kepada aktiviti ekonomi dan mencetuskan pertimbangan penting terhadap pertukaran trade-off dasar yang perlu diurus dengan bijaksana.

OPR sebagai Teras Dasar Monetari

Sebagai kadar penanda aras utama dalam sistem kewangan Malaysia, OPR ditetapkan oleh Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM dan menjadi rujukan bagi kadar faedah yang dikenakan oleh institusi kewangan untuk pinjaman semalaman antara mereka. OPR berfungsi sebagai sauh bagi keseluruhan struktur kadar faedah dalam pasaran kewangan, mempengaruhi kadar pinjaman dan kadar deposit yang seterusnya memberikan kesan kepada keputusan perbelanjaan, pelaburan dan simpanan.

Objektif utama pelarasan OPR adalah untuk memastikan permintaan agregat, iaitu jumlah perbelanjaan dalam ekonomi selaras dengan kapasiti pengeluaran negara. Apabila permintaan agregat melebihi kapasiti pengeluaran, hal ini berisiko mencetuskan tekanan inflasi. Sebaliknya, jika permintaan terlalu rendah, hal ini boleh membawa kepada pengangguran yang tinggi dan kemelesetan. Oleh itu, OPR berfungsi sebagai penstabil kitaran ekonomi dengan memberikan ruang kepada bank pusat untuk bertindak balas terhadap sebarang perubahan yang berlaku dalam ekonomi.

Saluran Transmisi OPR kepada Ekonomi

Kesan pelarasan OPR terhadap ekonomi tidak berlaku serta-merta, tetapi disalurkan melalui beberapa saluran utama. Penurunan OPR mengurangkan kos dana bagi bank komersial yang membolehkan mereka menawarkan kadar pinjaman asas yang lebih rendah. Hal ini seterusnya merangsang permintaan pinjaman oleh isi rumah dan firma yang dapat menyokong komponen penggunaan swasta dan pelaburan dalam permintaan agregat. Sebaliknya, apabila BNM menaikkan OPR untuk mengawal inflasi, keadaan ini membentuk jangkaan dalam kalangan pengguna dan firma bahawa inflasi akan kekal terkawal yang dapat mencegah pembentukan “lingkaran harga-upah” yang merugikan.

OPR juga mempengaruhi kapasiti pemberian pinjaman institusi kewangan. Dalam persekitaran kadar faedah yang rendah, bank cenderung memberikan lebih banyak kredit, terutamanya kepada firma kecil dan sederhana yang bergantung pada pembiayaan bank. Sebaliknya, dalam persekitaran kadar tinggi, bank menjadi lebih selektif yang boleh memberikan kesan terutamanya kepada sektor tertentu yang lebih bergantung pada pinjaman.

Selain itu, pelarasan OPR juga mempengaruhi kadar pertukaran. Kenaikan OPR boleh menarik pelaburan portfolio jangka masa pendek yang meningkatkan permintaan terhadap ringgit seterusnya menyokong nilai mata wang tersebut. Walau bagaimanapun, kenaikan ini juga boleh menjejaskan daya saing eksport negara kerana meningkatkan kos barangan dan perkhidmatan yang dihasilkan dalam negara.

Kitaran Ekonomi Tahun 2019–2023

Lima tahun kebelakangan ini mencatatkan pelbagai perubahan dalam OPR mengikut fasa ekonomi yang berbeza. Pada fasa rangsangan (2020–2021) semasa krisis COVID-19 yang menyebabkan penguncupan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 5.5 peratus pada tahun 2020, BNM bertindak dengan menurunkan OPR sebanyak empat kali menjadikannya serendah 1.75 peratus. Langkah ini amat kritikal bukan sahaja untuk merangsang pertumbuhan, tetapi juga untuk mencegah krisis kecairan dalam sistem kewangan. Dasar akomodatif ini diteruskan sepanjang tahun 2021 untuk menyokong pemulihan ekonomi yang masih rapuh.

Bermula pada tahun 2022, fasa normalisasi dilaksanakan seiring dengan pemulihan ekonomi yang pesat dan tekanan inflasi global yang meningkat. BNM menaikkan OPR secara berperingkat sebanyak empat kali pada tahun 2022 dan sekali lagi pada tahun 2023 sehingga mencapai paras tiga peratus. Tujuan utama tindakan ini adalah untuk mengawal inflasi dan menstabilkan jangkaan ekonomi. Kitaran ini berakhir apabila pertumbuhan KDNK menyederhanakan kepada 3.6 peratus pada tahun 2023 yang menunjukkan kejayaan dasar dalam menyeimbangkan semula ekonomi.

Pelarasan OPR Julai 2025

Pada 9 Julai 2025, BNM mengumumkan pelarasan OPR sebanyak 25 mata asas, menurunkannya kepada 2.75 peratus. Hal ini merupakan pelonggaran dasar pertama sejak Mei 2020 yang menandakan peralihan daripada pengetatan kepada sokongan pertumbuhan. Keputusan ini diambil dalam konteks prospek pertumbuhan global yang semakin mencabar dan ketidaktentuan luaran yang meningkat.

BNM menjelaskan bahawa walaupun ekonomi domestik kekal berada pada landasan yang kukuh, imbangan risiko lebih cenderung ke arah kelembapan. Risiko ini termasuk ketidaktentuan perdagangan global, tekanan geopolitik dan sentimen pasaran yang rapuh. Oleh itu, pelonggaran dasar ini bertujuan mengekalkan momentum pertumbuhan domestik dalam menghadapi ketidaktentuan luar.

Implikasi dan Trade-Off Dasar

Setiap pelarasan OPR memberikan impak langsung kepada kewangan isi rumah. Perubahan kadar faedah pinjaman akan memberikan kesan terhadap jumlah bayaran ansuran bulanan bagi pembiayaan perumahan dan kenderaan yang seterusnya mempengaruhi aliran tunai dan pendapatan boleh guna isi rumah. Perkara ini akan mempengaruhi corak perbelanjaan pengguna yang penting untuk menstabilkan permintaan agregat dalam ekonomi.

Pelonggaran OPR memberikan kebaikan seperti merangsang permintaan domestik, meningkatkan pendapatan boleh guna isi rumah dan memberikan sokongan kepada pasaran aset. Sebaliknya, terdapat risiko yang perlu diambil kira seperti tekanan inflasi jika ekonomi domestik berkembang lebih pesat daripada jangkaan dan risiko kepada kadar pertukaran apabila perbezaan kadar faedah dengan negara rakan dagang semakin sempit.

Trajektori OPR dalam lima tahun terakhir menunjukkan cara dasar monetari yang fleksibel dan berpandangan ke hadapan dapat mengimbangi pelbagai cabaran dalam ekonomi. Keputusan BNM seperti yang terlihat pada Julai 2025 mencerminkan keupayaan untuk menyesuaikan dasar monetari mengikut perkembangan semasa tanpa menjejaskan matlamat utama, iaitu kestabilan harga. Dalam persekitaran global yang semakin kompleks, OPR akan terus menjadi alat utama bagi BNM dalam menstabilkan ekonomi Malaysia dan menjaga daya tahan ekonomi negara pada masa hadapan.

Kredit Foto: Freepik
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi