Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – CIMB Islamic Bank Berhad memperuntukkan sebanyak RM2.4 juta bagi memperkukuh Program iTEKAD yang bertujuan memperkasakan sehingga 220 usahawan mikro, pekerja gig dan usahawan tani menerusi bantuan kewangan, latihan keusahawanan dan sokongan pembinaan kapasiti.
Program ini memberikan tumpuan kepada pemerkasaan mata pencarian mampan dan daya tahan ekonomi jangka masa panjang melalui tiga inisiatif utama, iaitu Program Keusahawanan iTEKAD CIMB Islamic–Taylor’s, Program Keusahawanan Penunggang CIMB Islamic iTEKAD dan Program Agropreneur Siswazah CIMB Islamic Melon Manis Terengganu iTEKAD.
Kesemua inisiatif ini menggunakan struktur pembiayaan campuran yang menggabungkan geran padanan Bank Negara Malaysia (BNM) dengan dana Zakat Wakalah CIMB Islamic bagi memastikan penggunaan modal yang berimpak dan berfokus kepada pertumbuhan pendapatan.
Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Islamic, YBrs. Encik Ahmad Shahriman Mohd. Shariff berkata, program ini bukan sekadar menangani cabaran jangka masa pendek, sebaliknya bertujuan membina mobiliti, serta daya tahan ekonomi jangka masa panjang melalui sokongan kewangan, pengetahuan dan rangkaian perniagaan.
Beliau menegaskan komitmen CIMB Islamic terhadap kewangan inklusif dan ekuiti sosial, selaras dengan usaha berterusan bersama BNM, serta rakan strategik termasuk Yayasan Belia Malaysia, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Lembaga Zakat Selangor, Taylor’s Community dan Foodpanda.
Sejak dilancarkan, Program Keusahawanan Penunggang iTEKAD CIMB Islamic memperkasakan lebih daripada 200 orang pekerja gig di seluruh negara. Baru-baru ini, lebih daripada 60 buah motosikal turut diserahkan kepada pekerja gig di Kuala Lumpur dan Selangor.
Selain itu, Program Keusahawanan iTEKAD CIMB Islamic–Taylor’s menyokong lebih daripada 500 orang usahawan mikro dalam kalangan Asnaf dan B40, manakala Program Melon Manis Terengganu memanfaatkan 40 orang usahawan muda melalui latihan pertanian moden dan penyediaan rumah hijau.