Diterbitkan pada 22 November 2025, 09:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Industri sawit dan getah merupakan antara penyumbang utama kepada ekonomi Malaysia, terutamanya melalui eksport minyak sawit mentah (CPO) dan getah asli. Minyak sawit Malaysia bukan sahaja digunakan dalam industri makanan, tetapi juga dalam produk kosmetik, biobahan api (biofuel), oleokimia dan farmaseutikal. Begitu juga getah asli yang menjadi bahan utama dalam pembuatan tayar, sarung tangan perubatan dan barangan industri.

Malaysia bersama-sama Indonesia menguasai lebih daripada 85 peratus pengeluaran minyak sawit dunia. Walau bagaimanapun, kelangsungan sektor ini di Malaysia amat bergantung pada tenaga buruh asing, khususnya dari Indonesia, Bangladesh, Myanmar dan Nepal.

Persoalannya, bolehkah industri sawit dan getah bertahan tanpa tenaga kerja asing, terutamanya jika tindakan tegas terhadap pendatang tanpa izin (PATI) seperti buruan, tangkapan dan penghantaran pulang terus diperhebat? Untuk menjawab persoalan ini, kita perlu menilai realiti sebenar di lapangan, termasuk isu penggajian, cabaran pendokumenan pekerja, serta kesan ekonomi jika pergantungan terhadap pekerja asing dihentikan atau dikurangkan secara drastik.

Isu Pendokumenan dan Penghantaran Wang

Bagi pekerja asing sektor perladangan, khususnya dari Indonesia, kesukaran dalam mendokumentasikan status mereka, serta masalah dalam menghantar wang pulang ke kampung menjadi antara faktor utama yang mendorong mereka meninggalkan Malaysia.

Perkhidmatan penghantaran wang seperti SpeedSend dan Eintern Union yang dikendalikan oleh bank tempatan dikenakan syarat ketat oleh Bank Negara Malaysia (BNM) sejak 1 Mei 2017. Antara syarat yang diperketat termasuklah pekerja perlu membuat penghantaran wang sendiri dengan dokumen sah dan majikan bertindak sebagai pengiring.

Selain itu, bukti hubungan dengan penerima seperti surat nikah bagi isteri atau sijil kelahiran bagi anak perlu disertakan. Lebih kritikal lagi, PATI tidak dibenarkan menggunakan perkhidmatan penghantaran wang rasmi. Akibatnya, banyak pekerja asing sama ada yang berdokumen mahupun yang tidak berdokumen terpaksa bergantung pada saluran penghantaran wang tidak rasmi yang berisiko tinggi.

Kebergantungan Sektor Sawit dan Getah terhadap Tenaga Asing

Rekod menunjukkan Malaysia mempunyai keluasan tanaman kelapa sawit sebanyak 4.69 juta hektar. Sabah merupakan pengeluar terbesar dengan 1.36 juta hektar (29.7 peratus), diikuti dengan Sarawak (840,000 hektar/16.6 peratus) dan Johor (712,000 hektar/15.3 peratus). Kira-kira 59.8 peratus ladang sawit dimiliki oleh estet swasta, manakala 20.2 peratus oleh skim kerajaan seperti Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA); dan selebihnya dimiliki oleh pekebun kecil.

Pada masa ini, terdapat 370 kilang sawit yang beroperasi dengan jumlah pengeluaran tahunan sekitar 13.35 juta tan. Lebih daripada 90 peratus daripada pengeluaran minyak sawit Malaysia dieksport yang menjanakan pendapatan tukaran asing sekitar RM26.15 bilion setahun. Industri ini turut menyokong kehidupan 290,000 pekebun kecil, serta 180,000 pekerja ladang yang kebanyakannya ialah tenaga kerja asing.

Berdasarkan pemerhatian di ladang pedalaman, kebanyakan kerja seperti mengait buah, menoreh, meracun dan menebas tidak diminati oleh warga tempatan. Selain itu, terdapat kawasan yang tidak mempunyai kemudahan asas seperti bekalan elektrik dan air paip menyebabkan pekerja asing yang berdokumen enggan bekerja di kawasan tersebut.

Keadaan ini membuka ruang kepada PATI untuk mengisi kekosongan. Namun demikian, tanpa pendokumenan yang sah, mereka tidak dapat menyumbang dari segi cukai dan perlindungan undang-undang yang sekali gus menimbulkan risiko sosial dan keselamatan.

Implikasi Ekonomi Jika Tiada Tenaga Asing

Sekiranya tenaga kerja asing berkurangan, kesan ekonomi yang ketara boleh dilihat. Kekurangan pekerja akan menyebabkan buah sawit tidak dituai tepat pada masanya, sekali gus menurunkan kualiti minyak sawit yang dihasilkan. Di samping itu, upah buruh yang lebih tinggi turut menyumbang kepada peningkatan kos operasi.

Sebagai contoh, upah mengait sawit kini antara RM85 hingga RM100 setan berbanding dengan RM30 hingga RM50 setan sebelum ini. Begitu juga menoreh getah yang meningkat daripada RM1/kg kepada RM1.50/kg atau pembahagian hasil 50:50 bagi kebun kecil. Jika kekurangan pekerja ini tidak ditangani, pekebun kecil terpaksa akur dengan permintaan pekerja dan jika tidak, ladang akan terbiar dan mereka akan menanggung kerugian.

Cadangan Penyelesaian

Bagi memastikan industri ini terus berdaya saing, beberapa langkah proaktif perlu diambil. Pertama, pendokumenan pekerja harus diberikan secara percuma untuk tahun pertama. Langkah ini dapat mengurangkan beban kewangan pekerja dan mengelakkan penipuan oleh ejen. Kedua, penghapusan pelibatan ejen atau orang tengah dalam urusan pekerja dapat mengurangkan kos yang tidak perlu, serta risiko penipuan.

Selain itu, penubuhan pusat latihan untuk pekerja asing dan tempatan juga penting untuk meningkatkan produktiviti, serta memastikan keselamatan dalam pekerjaan di ladang. Program latihan asas dalam pertanian dan keselamatan dapat mengurangkan kemalangan, serta meningkatkan kecekapan pekerja. Tidak ketinggalan, insentif kepada pekerja tempatan seperti menawarkan gaji yang kompetitif, kemudahan pengangkutan dan elaun khas boleh membantu menarik minat mereka untuk bekerja dalam sektor ini.

Industri sawit dan getah ialah nadi ekonomi Malaysia, namun pergantungan terhadap tenaga buruh asing kekal sebagai realiti yang sukar dielakkan dalam masa terdekat. Pengurusan bijak terhadap pekerja asing tanpa izin melalui pendokumenan sah dan kawalan kemasukan yang strategik dapat memastikan kelangsungan sektor ini. Tanpa langkah proaktif, risiko kehilangan produktiviti, peningkatan kos operasi dan kemerosotan pendapatan negara akan menjadi kenyataan. Oleh itu, peribahasa Melayu, “menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus, tepung tidak berselerak” harus dijadikan panduan dalam mengurus isu pekerja asing di Malaysia.

Penulis memulakan kerjaya sebagai wartawan pada tahun 1979 dan bersara 31 tahun kemudian dengan jawatan terakhir sebagai Ketua Biro Harian Watan.

Kredit Foto: Freepik
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi