Diterbitkan pada 16 Oktober 2025, 12:17

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Ketidakstabilan politik bukanlah isu baharu bagi banyak negara membangun. Namun demikian, apabila ketidaktentuan politik mula menular ke jalan raya, melumpuhkan institusi dan menyemarakkan kebangkitan generasi muda yang kecewa, maka kesannya kepada ekonomi boleh menjadi bencana berskala nasional. Hal ini yang sedang dilalui oleh Nepal, sebuah negara yang masih bergelut untuk mencari keseimbangan antara demokrasi dengan pembangunan dan kestabilan.

Pada 8 September dan 9 September yang lalu, protes besar-besaran yang dicetuskan oleh generasi muda Nepal yang menggelarkan diri mereka sebagai Gen Z telah mengubah landskap sosial dan politik negara tersebut. Situasi ini bukan sekadar bantahan terhadap penyekatan 26 platform media sosial seperti Facebook, WhatsApp, Instagram dan YouTube, malah letusan kemarahan yang telah lama terpendam hasil rasa kecewa terhadap gejala rasuah, nepotisme, serta kegagalan kerajaan dalam menyediakan peluang ekonomi yang wajar.

Tragedi berdarah itu mengorbankan sekurang-kurangnya 72 orang nyawa termasuk anggota keselamatan. Bangunan Parlimen dibakar, bangunan kerajaan dimusnahkan dan pelbagai premis swasta dijarah, serta musnah dalam gelombang rusuhan yang dianggap paling buruk sejak berakhirnya perang saudara dan sistem monarki Nepal pada tahun 2008. Laporan CNN menganggarkan kerugian mencecah Rs3 trilion, iaitu jumlah yang hampir menyamai separuh Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara tersebut.

Tindak balas kerajaan terhadap protes itu yang mulanya mengekang media sosial atas alasan menangani penipuan dan ucapan hasutan kemudiannya ditarik balik selepas tekanan awam yang memuncak. Namun begitu, perkara ini sudah terlambat. Tindakan tersebut telah membakar semangat kebangkitan generasi muda yang merasakan suara mereka tidak lagi dihargai oleh pemerintah.

Lebih menyedihkan, keganasan protes turut melumpuhkan beberapa sektor penting dalam ekonomi. Sektor pelancongan yang menyumbang hampir tujuh peratus secara langsung dan 15 peratus secara tidak langsung kepada KDNK mengalami penyusutan yang ketara. Tempahan pelancong menjunam hampir 30 peratus antara bulan September hingga bulan Disember. Di samping itu, sekurang-kurangnya 21 buah hotel mengalami kerosakan teruk dengan anggaran kerugian sebanyak Rs25 bilion. Beberapa pusat pameran automotif turut menjadi sasaran vandalisme yang menyebabkan ribuan kehilangan pekerjaan dalam sekelip mata.

Syarikat telekomunikasi utama seperti Ncell turut menjadi mangsa. Pejabat mereka di Kathmandu dan bandar-bandar utama lain bukan sahaja dirosakkan, malah peralatan penting serta dokumen operasi dicuri atau dibakar. Rangkaian pasar raya terbesar Nepal, Bhat-Bhateni turut melaporkan bahawa 21 cawangan daripada keseluruhan 28 cawangannya musnah dengan tuntutan insurans melebihi Rs2.5 bilion.

Situasi bertambah parah apabila Lapangan Terbang Antarabangsa Tribhuvan terpaksa ditutup sementara, sekali gus menggambarkan tahap kritikal krisis yang dihadapi. Pasaran saham Nepal (NEPSE) juga menyaksikan kemerosotan drastik apabila para pelabur memilih untuk menunggu dan melihat, mencerminkan hilangnya keyakinan terhadap prospek jangka masa pendek ekonomi negara itu.

Ironinya, sebelum krisis Gen Z tercetus, ekonomi Nepal sememangnya sudah berada pada kedudukan yang rapuh. Dengan KDNK per kapita hanya sekitar USD1,447, negara tersebut masih diklasifikasikan sebagai antara ekonomi berpendapatan rendah. Ketidaktentuan politik, rasuah sistemik dan kebergantungan tinggi terhadap negara jiran seperti India menjadikan Nepal sukar untuk berdiri sendiri secara mampan.

Indeks Persepsi Rasuah 2024 meletakkan Nepal di tangga ke-107 daripada 180 negara dengan skor hanya 34 mata daripada 100 mata. Mata wang Nepal pula masih ditambat kepada Rupee India yang menjadikan kestabilan monetarinya sangat bergantung pada prestasi ekonomi India. Dalam masa yang sama, ketidaksamaan pendapatan terus melebar dengan 10 peratus golongan terkaya memperoleh pendapatan lebih tiga kali ganda daripada 40 peratus penduduk termiskin.

Inflasi yang kekal pada kadar lima peratus dalam separuh pertama tahun ini juga menjejaskan kuasa beli rakyat. Di sebalik semua ini, statistik pengangguran belia mendedahkan krisis yang lebih besar sedang membiak secara senyap. Data Bank Dunia menunjukkan kadar pengangguran bagi golongan muda (15 tahun–24 tahun) mencecah 20.8 peratus, iaitu kadar tertinggi di Asia Selatan. Tidak hairanlah ribuan anak muda Nepal berhijrah setiap hari ke luar negara seperti Malaysia, India dan negara Teluk untuk mencari pekerjaan.

Kebergantungan yang tinggi kepada kiriman wang dari luar negara mungkin membantu meningkatkan KDNK secara jangka masa pendek, tetapi bukan asas kukuh untuk membina ekonomi jangka masa panjang yang berdaya tahan. Dalam tempoh 17 tahun sejak menjadi republik, Nepal telah menyaksikan 14 kerajaan dibentuk di bawah lapan Perdana Menteri yang berbeza dan tiada satu pun yang berjaya menamatkan penggal lima tahun. Hal ini menjejaskan perancangan dasar ekonomi jangka masa panjang yang konsisten.

Negara itu juga berdepan dengan cabaran meningkatkan hasil dalam negeri. Oleh itu, usaha memperluas asas percukaian seperti pelaksanaan cukai digital dan pelarasan cukai nilai tambah (VAT) untuk syarikat e-dagang asing merupakan langkah penting, namun belum mencukupi.

Kini, tugas berat memulihkan keadaan terletak di bahu kerajaan interim yang dipimpin oleh Sushila Karki, Perdana Menteri wanita pertama Nepal. Beliau bukan sahaja perlu menstabilkan semula sistem politik, tetapi juga perlu bertindak segera merangka pelan pemulihan ekonomi yang inklusif, mampan dan diyakini semua pihak.

Pemerhati antarabangsa menyarankan agar kerajaan memberikan tumpuan kepada beberapa aspek utama antaranya termasuklah memastikan kestabilan politik yang berterusan melalui reformasi tadbir urus, memerangi pengubahan wang haram dan membaik pulih imej negara di mata pelabur global. Keutamaan juga perlu diberikan kepada sektor pelancongan yang terjejas teruk dengan usaha bersungguh-sungguh untuk mengembalikan keyakinan pelancong antarabangsa melalui kempen dan insentif.

Suntikan bantuan antarabangsa seperti pinjaman tambahan daripada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia juga penting bagi menyokong program reformasi ekonomi serta memperkukuh dasar monetari negara. Dalam masa sama, isu pengangguran belia harus ditangani dengan pendekatan yang lebih serius. Nepal boleh mengambil inspirasi daripada Malaysia dalam menggalakkan pelibatan belia dalam bidang latihan vokasional, keusahawanan, serta pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Langkah jangka masa panjang pula harus menjurus kepada diversifikasi ekonomi. Ketergantungan terhadap sektor pelancongan, tenaga hidro dan remitansi perlu diimbangi dengan pembangunan sektor teknologi, pelaburan dalam projek hijau, serta inovasi dalam ekonomi digital. Nepal juga harus menggiatkan usaha menarik Pelaburan Langsung Asing (FDI), memanfaatkan kekayaan sumber semula jadi, serta kedudukan geografinya yang strategik antara dua kuasa ekonomi besar, iaitu China dengan India.

Kerjasama serantau juga wajar diperluas. Projek yang telah ditandatangani di bawah inisiatif Belt and Road bersama-sama China perlu dihidupkan semula dengan pendekatan yang lebih telus dan mampan. Manakala bersama-sama India, kerjasama dalam bidang tenaga, digitalisasi dan pembangunan infrastruktur rentas sempadan perlu dipertingkatkan.

Krisis Gen Z yang meledak di jalanan mungkin kelihatan seperti titik hitam dalam sejarah moden Nepal, tetapi keadaan ini juga boleh menjadi pemangkin kepada perubahan yang amat diperlukan. Untuk itu, Sushila Karki dan kabinet interimnya tidak boleh bertangguh. Masa hadapan ekonomi Nepal bukan sahaja terletak pada polisi kerajaan, tetapi juga pada keupayaan untuk mendengar dan memahami aspirasi generasi muda yang semakin lantang bersuara.

Seperti yang diluahkan oleh Karki kepada media antarabangsa: “Kerajaan hari ini mesti berfikir dan bertindak mengikut kehendak dan realiti generasi Gen Z.” Dan jika kata-kata itu diterjemahkan dalam bentuk tindakan, maka barangkali Nepal masih berpeluang untuk bangkit semula, lebih kuat daripada sebelumnya.

Kredit Foto: Freepik
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi