Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBayangkan anda bangun setiap hari dengan perasaan berat, bukan kerana keletihan fizikal, tetapi kelelahan mental. Perkara inilah realiti yang dihadapi oleh kebanyakan pekerja di Malaysia pada hari ini. Tekanan di tempat kerja bukan lagi sesuatu yang luar biasa, malah semakin dianggap sebagai norma walaupun pada hakikat tidak sepatutnya begitu.
Menurut laporan Sistem Profiling Digital Kesihatan Psikologi (MyPsyD) yang dijalankan antara bulan Mac hingga bulan September pada tahun lalu, lebih daripada 40,000 kakitangan awam dikenal pasti berisiko tinggi mengalami masalah kesihatan mental. Perkara ini merupakan satu angka yang membimbangkan, apatah lagi melibatkan sektor awam.
Statistik turut menunjukkan bahawa rakyat Malaysia bekerja secara purata 40 jam seminggu, jauh lebih lama berbanding dengan rakan serantau seperti Singapura (29.1 jam) dan Indonesia (30.1 jam). Maka, tidak hairanlah Malaysia tersenarai sebagai antara negara yang mempunyai tahap ketidakseimbangan paling rendah antara kerja dengan kehidupan. Kajian oleh Remote pada tahun 2023 juga mengesahkan perkara tersebut. Keadaan ini bukan sahaja menjejaskan kualiti hidup, malah boleh menjejaskan kesihatan mental dalam jangka masa panjang.
Sementara itu, tinjauan serantau oleh Jobstreet, JobsDB dan SEEK mendapati 12 peratus pekerja Malaysia tidak berpuas hati di tempat kerja, menjadikan negara kedua paling tidak bahagia di Asia Tenggara selepas Singapura. Antara punca utama yang dikenal pasti termasuklah beban kerja yang berlebihan, tekanan daripada pihak majikan, dan kekurangan peluang untuk pembangunan dan kemajuan kerjaya.
Tempat kerja yang seharusnya menjadi ruang untuk menyumbang dan berkembang kini bertukar menjadi punca utama tekanan. Menurut laporan SEEK, industri perkhidmatan pelanggan, runcit dan perdagangan merupakan antara sektor yang paling tertekan.
Beban kerja yang tinggi mungkin masih boleh diatasi sekiranya wujud sokongan sosial daripada rakan sekerja atau majikan. Namun begitu, apabila semua orang terlalu sibuk dan majikan hanya menilai hasil kerja semata-mata, banyak pekerja mula berasa diri mereka tidak dihargai. Dalam keadaan ini, kesihatan mental menjadi taruhan.
Lebih membimbangkan, banyak pekerja terpaksa bergelut dengan ketidakpastian pekerjaan, terutamanya selepas pandemik melanda. Penutupan kilang dan syarikat menimbulkan kebimbangan terhadap masa hadapan kerjaya. Bagi golongan berusia, mereka menghadapi cabaran yang lebih besar kerana persaingan untuk mendapatkan pekerjaan baharu semakin sengit.
Selain tekanan kerja, isu gangguan seksual, buli di tempat kerja dan diskriminasi turut menjadi faktor utama yang merosakkan kesejahteraan mental pekerja. Hal ini bukan sekadar masalah organisasi, tetapi persoalan kemanusiaan yang perlu ditangani secara serius.
Menurut kajian global, dianggarkan sebanyak 12 bilion hari bekerja hilang setiap tahun akibat kemurungan dan keresahan. Kos produktiviti yang lesap dianggarkan mencecah USD1 trilion setahun yang merupakan satu kerugian besar kepada ekonomi dan organisasi.
Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) turut menyuarakan keperluan untuk kerajaan memperkuat polisi kesihatan mental di tempat kerja termasuk melalui Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHA). Majikan dan pengurusan organisasi sebenarnya memainkan peranan penting bagi membentuk suasana kerja yang sihat.
Antara langkah yang boleh diambil termasuklah menganjurkan program kesedaran kesihatan mental secara berkala, menyediakan waktu kerja anjal atau peluang bekerja dari rumah, memberikan pengiktirafan kepada pekerja yang menunjukkan prestasi cemerlang, menyediakan akses kepada kaunselor atau terapi profesional dan mewujudkan budaya kerja yang menyokong dan bebas diskriminasi. Langkah ini bukan sahaja meningkatkan kesejahteraan pekerja, malah memberikan impak positif kepada produktiviti dan imej organisasi.
Pekerja merupakan nadi kepada ekonomi negara. Penjagaan kesihatan mental mereka bukanlah satu pilihan, tetapi keperluan. Majikan, kerajaan dan masyarakat perlu bekerjasama mencipta persekitaran tempat kerja yang lebih sihat, bukan hanya dari segi fizikal, tetapi juga mental.
Kesihatan mental yang baik bukan sahaja bermanfaat kepada individu, tetapi turut membuka laluan kepada organisasi yang lebih cemerlang dan negara yang lebih makmur. Sudah tiba masanya untuk kita benar-benar serius bagi menjadikan kesejahteraan mental pekerja sebagai keutamaan, bukan sekadar slogan.