Diterbitkan pada 10 Jun 2025, 18:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Serdang – Keterjaminan makanan merupakan agenda kritikal dalam pembangunan nasional yang melibatkan usaha untuk memastikan bekalan makanan mencukupi, berkhasiat dan berpatutan untuk semua lapisan masyarakat.

Oleh itu, Persidangan Keterjaminan Makanan Kebangsaan (PKMK2025) yang dianjurkan oleh Universiti Putra Malaysia (UPM) menerusi Institut Pertanian Tropika dan Sekuriti Makanan (ITAFoS) membincangkan hala tuju dasar pertanian dan keterjaminan makanan negara pada hari ini.

Dalam pembentangan PKMK2025 di UPM, Ketua Pengarah Pertanian, YBhg. Dato’ Nor Sam Alwi berkata, hasrat untuk mentransformasikan sektor pertanian perlu mengambil kira hakikat bahawa masih banyak petani kecil yang kekurangan modal untuk melabur dalam teknologi moden.

Jelas beliau,

Kebanyakan petani berada pada tahap rendah dalam menguasai penggunaan teknologi kerana majoriti petani berumur 50 tahun ke atas masih aktif dalam sektor pertanian demi kelangsungan hidup. Kekurangan tenaga fizikal menyukarkan mereka untuk meningkatkan produktiviti dan menyesuaikan diri dengan penggunaan teknologi baharu dalam bidang pertanian.

Selain itu, bagi petani yang tergolong dalam kelompok berpendapatan rendah atau tidak mampu, kekangan modal menjadi penghalang utama kepada mereka untuk mengakses teknologi moden dan input pertanian berkualiti.

Beliau berkata, Jabatan Pertanian menggalakkan petani untuk menghasilkan inovasi sendiri bagi mengatasi masalah yang dihadapi.

Ujar beliau,

Pengiktirafan akan diberikan kepada mereka melalui program inovasi yang dianjurkan oleh pihak kami dan inovasi tersebut boleh dimanfaatkan oleh petani lain yang kurang berkemampuan bagi membantu meningkatkan hasil dan pendapatan mereka.

Tambah beliau,

Kami juga menekankan kepentingan kolaborasi antara petani, pakar dengan pihak agensi bagi memastikan inovasi tersebut relevan dan mampu memberikan impak positif jangka panjang kepada komuniti pertanian.

Dalam pada itu, agrobiodiversiti turut memberikan peluang bagi menjamin kelestarian sektor pertanian dan keterjaminan makanan negara.

Pengarah Pusat Penyelidikan Agrobiodiversiti & Persekitaran (BE), Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), YBrs. Dr. Mohd. Shukri Mat Ali @ Ibrahim berkata, sumber agrobiodiversiti memainkan peranan penting melalui pelbagai fungsi ekosistem seperti pendebungaan, kawalan penyakit dan perosak serta pengekalan kesuburan tanah.

YBrs. Dr. Mohd. Shukri Mat Ali @ Ibrahim semasa menyampaikan ucaptama.

Beliau menjelaskan bahawa agrobiodiversiti juga menjadi takungan genetik penting untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D), terutamanya dalam usaha meningkatkan daya tahan tanaman terhadap tekanan persekitaran yang semakin mencabar.

Jelas beliau,

Perubahan iklim memberikan kesan ketara terhadap pengeluaran makanan asas, khususnya beras tempatan. Oleh itu, kita perlu melihat agrobiodiversiti sebagai ‘insurans semula jadi’ yang perlu dimanfaatkan secara sistematik dan saintifik.

Sebagai langkah strategik, MARDI membangunkan koleksi sumber genetik padi dan tanaman tempatan termasuk varieti liar melalui platform seperti MyGeneBank dan Bank Gen Padi sebagai asas kepada pembangunan varieti baharu yang lebih tahan terhadap tekanan persekitaran. Protokol pemulihan yang efisien turut dibangunkan bagi memastikan bahan genetik ini dapat dipulihara secara mampan.

Penyelidikan turut menggunakan pendekatan molekular bagi menyaring dan mengenal pasti gen, protein serta metabolit berpotensi tinggi yang dapat menyumbang kepada peningkatan hasil dan daya tahan tanaman.

YBrs. Dr. Shukri menegaskan bahawa kolaborasi antara penyelidik, universiti dengan agensi kerajaan amat penting bagi memperkasakan agenda agrobiodiversiti negara.

Tambah beliau,

Perkara ini bukan hanya soal pemuliharaan, sebaliknya ialah pelaburan untuk masa hadapan pertanian negara yang lebih mampan, inovatif dan berdaya tahan.

PKMK2025 menghimpunkan sebanyak 686 peserta dari pelbagai agensi kerajaan dan industri bagi membincangkan hala tuju dasar pertanian dan keterjaminan makanan negara.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi