Diterbitkan pada 4 Jun 2025, 08:51

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Inflasi dan kos sara hidup merupakan dua istilah yang sering menghiasi tajuk berita, menjadi perbualan rakyat dan bahan perdebatan hangat di Parlimen. Setiap kali harga barang naik, keluhan mula kedengaran. Namun demikian, tidak semua benar-benar memahami adakah ini manifestasi inflasi atau sebenarnya tekanan kos sara hidup yang kian menghimpit?

Walaupun kedua-dua istilah ini kerap digunakan secara bergantian dalam wacana awam, perbezaannya dari sudut konsep dan pengukuran amat penting untuk difahami. Inflasi secara teknikal merujuk kadar perubahan purata harga barangan dan perkhidmatan dalam ekonomi, manakala kos sara hidup merujuk jumlah perbelanjaan sebenar yang diperlukan untuk mengekalkan taraf hidup yang wajar.

Perbezaan ini mungkin kelihatan halus, tetapi membawa implikasi besar terhadap pemahaman kita tentang ekonomi dan cara kita membentuk penyelesaian dasar. Inflasi sering difahami secara umum sebagai “kenaikan harga”, namun dalam kerangka ekonomi, inflasi merujuk kadar perubahan harga purata bagi satu bakul barangan dan perkhidmatan yang mewakili corak perbelanjaan isi rumah. Di Malaysia, inflasi diukur menggunakan Indeks Harga Pengguna (IHP) yang diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Sebagai contoh, jika kadar inflasi ialah tiga peratus, hal ini menunjukkan bahawa secara purata, harga dalam bakul IHP telah meningkat sebanyak tiga peratus berbanding dengan tahun sebelumnya. Namun begitu, hal ini tidak bermakna semua harga meningkat secara sama rata; sesetengah harga naik lebih tinggi, ada yang kekal atau menurun. Inflasi ialah gambaran agregat, bukan cerminan pengalaman individu.

Sebaliknya, kos sara hidup merujuk jumlah perbelanjaan sebenar yang diperlukan untuk mengekalkan kehidupan bermaruah termasuklah makanan, tempat tinggal, pengangkutan, pendidikan dan kesihatan.  Kos sara hidup lebih bersifat kontekstual dan bergantung pada lokasi, saiz keluarga, pendapatan dan gaya hidup.

Untuk memberikan ukuran yang lebih realistik, Pendapatan dan Perbelanjaan Asas untuk Kehidupan Wajar (PAKW) diperkenalkan oleh DOSM pada tahun 2024. Berbeza daripada IHP yang bersifat purata nasional, PAKW mengambil kira keperluan minimum mengikut kawasan dan komposisi isi rumah. Sebagai contoh, kos hidup sebuah keluarga empat orang di Kuala Lumpur jauh lebih tinggi daripada di Alor Setar.

Mengapa inflasi menurun, tetapi beban masih terasa? Jawapannya terletak pada satu hakikat penting, iaitu penurunan inflasi tidak bermaksud harga kembali turun tetapi hanya bahawa kadar kenaikan harga menjadi lebih perlahan.

Sebagai ilustrasi, jika sekilo ayam naik daripada RM8 kepada RM9.50 tahun ini dan kekal pada harga itu tahun depan, kadar inflasi mungkin sifar tetapi harga tetap tinggi, bukan kembali kepada RM8.

Rajah 1 Purata Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar (PAKW) berdasarkan isi rumah per kapita bulanan mengikut negeri pada tahun 2023.                                                                                                                      Sumber: Jabatan Perangkaan Malaysia

Tekanan ini menjadi lebih ketara apabila pendapatan tidak meningkat seiring. Kajian oleh Bank Negara Malaysia mendapati bahawa pertumbuhan gaji terutamanya dalam sektor makanan dan minuman tidak seiring dengan kenaikan harga. Kumpulan berpendapatan rendah seperti golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) yang membelanjakan lebih daripada 30 peratus pendapatan untuk makanan, paling terkesan berbanding dengan hanya 16 peratus bagi golongan T20.

Tambahan pula, IHP hanya merangkumi kira-kira 500 barangan dan perkhidmatan dan tidak mencerminkan sepenuhnya keperluan sebenar semua lapisan masyarakat. Maka, pengalaman sebenar rakyat terhadap kos sara hidup boleh berbeza daripada angka inflasi rasmi.

Realitinya, harga yang telah meningkat jarang kembali ke paras asal. Yang lebih realistik ialah usaha menstabilkan kadar inflasi dan meningkatkan keupayaan rakyat untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran kos hidup baharu. Dalam jangka pendek, langkah seperti bantuan tunai bersasar, subsidi terpilih dan kawalan harga sementara perlu diteruskan bagi membantu golongan rentan. Namun begitu, dasar sebegini tidak lestari untuk jangka panjang dari sudut fiskal.

Penyelesaian mampan memerlukan fokus kepada peningkatan pendapatan sebenar melalui penciptaan pekerjaan berkemahiran tinggi, peningkatan produktiviti, dan reformasi pasaran buruh. Usaha seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan Aspirasi Pelaburan Kebangsaan (NIA) adalah antara tonggak penting ke arah ini. Reformasi struktur seperti peningkatan daya saing pasaran, pengurangan monopoli serta penambahbaikan subsidi dan sistem perlindungan sosial juga harus menjadi keutamaan.

Mengurus Persepsi, Membina Harapan

Selain dasar ekonomi, pengurusan persepsi memainkan peranan penting. Rakyat bukan sahaja terkesan oleh angka tetapi juga oleh naratif dasar dan komunikasi kerajaan. Komunikasi dasar yang konsisten, jelas dan realistik boleh mewujudkan ‘”feel good factor” apabila rakyat merasakan kerajaan mendengar dan bertindak. Pengumuman kejayaan kecil yang memberikan kesan langsung dalam kehidupan harian boleh meningkatkan keyakinan dan membina kepercayaan.

Kos sara hidup bukan isu yang boleh diselesaikan dalam sekelip mata. Perkara ini menuntut kesedaran, pemahaman dan kerjasama semua pihak. Memahami perbezaan antara inflasi dengan kos sara hidup bukan hanya soal akademik malah adalah kepada tindakan yang tepat dan harapan yang realistik.

Dengan dasar yang betul, komunikasi yang berkesan dan peningkatan kapasiti rakyat, negara mampu bergerak ke arah keseimbangan antara harga yang stabil dengan pendapatan yang mampan. Dalam ekonomi yang berubah pantas, kefahaman adalah kekuatan. Situasi ini membentuk tindak balas yang bijak sama ada di meja dasar negara mahupun di meja makan keluarga.

Penulis, Mohammad Fadhlullah Omar ialah Pegawai Ekonomi di Bahagian Fiskal dan Ekonomi, Kementerian Kewangan Malaysia dan Profesor Madya Dr. Amirul Afif Muhamat ialah Ketua Penyelidik bagi Climate Risk and Sustainable Finance RIG serta Pensyarah Kewangan dan Perbankan Islam di Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, UiTM.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi