Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangJordan – Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail menerima anugerah Ijazah Doktor Kehormat (PhD) dalam bidang Ekonomi Islam dan Perbankan daripada Universiti Yarmouk, Jordan.
Anugerah berprestij tersebut disampaikan oleh Presiden Universiti Yarmouk, Yang Berusaha (YBrs.) Profesor Dr. Islam Massad dalam satu majlis rasmi penuh penghormatan di kampus universiti berkenaan.
Pengiktirafan ini diberikan sebagai menghargai hubungan strategik yang telah lama terjalin antara Kerajaan Negeri Pahang dengan Universiti Yarmouk serta sumbangan YAB Menteri Besar dalam memperkasakan ekonomi Islam pada peringkat negeri dan antarabangsa.
YAB Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy melahirkan rasa syukur atas penganugerahan itu dan berharap hubungan erat ini akan terus berkembang serta memberikan manfaat lebih besar kepada kedua-dua pihak.
Jelas beliau,
Saya berharap lebih ramai anak Pahang akan mengambil peluang untuk melanjutkan pengajian di Universiti Yarmouk dan memanfaatkan pengetahuan serta pengalaman yang diperoleh untuk kemajuan negeri dan negara. Semoga kerjasama ini akan terus memperkukuh lagi bidang penyelidikan dan pembangunan yang berlandaskan nilai Islam dan prinsip maqasid syariah sekali gus menjadikan Pahang sebagai sebuah negeri yang berjaya dan berdaya saing pada peringkat nasional dan global.
YAB Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy menjelaskan bahawa hubungan rasmi antara Kerajaan Negeri Pahang dengan Universiti Yarmouk telah bermula sejak tahun 2001 apabila memorandum persefahaman (MoU) ditandatangani antara Kolej Yayasan Pahang dengan Universiti Yarmouk bagi menghantar anak kelahiran Pahang melanjutkan pengajian dalam bidang Pengajian Islam.
Kerjasama itu diperkukuh lagi dengan penubuhan Kursi Pahang di universiti tersebut pada tahun 2011 yang berperanan menjalankan penyelidikan dalam pelbagai bidang berimpak tinggi. MoU bagi Kursi Pahang turut diperbaharui yang menandakan komitmen berterusan antara kedua-dua pihak.
Sehingga kini, seramai 363 anak Pahang telah berjaya menamatkan pengajian di Universiti Yarmouk, manakala 78 orang lagi masih meneruskan pengajian mereka.
YAB Menteri Besar percaya hubungan akademik ini mampu diperluas ke bidang penyelidikan bersama, inovasi ekonomi Islam, teknologi hijau serta pembangunan lestari seiring aspirasi menjadikan Pahang sebagai model negeri maju berteraskan maqasid syariah dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
Selain itu, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy turut berkongsi pendekatan Pahang dalam syarahan umum bertajuk “Islamic Economics and the Future of Inclusive Development: The Pahang Model” yang menekankan prinsip ekonomi Islam berasaskan tauhid, rububiyyah, khilafah dan tazkiyyah dalam membina ekonomi yang seimbang, inklusif dan lestari.

Beliau turut menzahirkan komitmen Kerajaan Negeri Pahang dalam memastikan kestabilan politik, dasar mesra pelabur dan pertumbuhan ekonomi yang konsisten termasuklah mencatat kutipan hasil melebihi RM1 bilion dan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sehingga RM64.9 bilion pada tahun 2023.
Delegasi rasmi yang mengiringi YAB Menteri Besar dalam lawatan kerja lima hari ke Jordan ini turut disertai oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Hal Ehwal Agama Islam dan Dakwah Negeri Pahang, Yang Berhormat (YB) Dato’ Sri Ir. Ts. Mohd Soffi Abd Razak; Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad; Ketua Eksekutif Yayasan Pahang, Yang Hormat (YH) Dato’ Indera Mahmud Mohd Nawawi serta para pegawai.
Penganugerahan ini sekali gus memperkukuh lagi kedudukan Pahang sebagai negeri yang komited terhadap pembangunan berteraskan nilai Islam, penyelidikan berimpak tinggi dan kecemerlangan pendidikan pada peringkat antarabangsa.