Diterbitkan pada 25 April 2025, 08:52

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Mencari rezeki merupakan satu tuntutan yang bukan sahaja berfokus kepada memenuhi keperluan duniawi tetapi juga berperanan dalam membina kesejahteraan menyeluruh dari sudut jasmani, emosi, rohani dan sosial. Pendekatan holistik ini menekankan keseimbangan antara usaha membina kehidupan dunia dengan persiapan menghadapi akhirat, selaras dengan prinsip agama serta dapatan kajian saintifik.

Bagi para usahawan khususnya, usaha mencari rezeki seringkali hadir bersama pelbagai cabaran yang boleh menjejaskan kesihatan mental dan fizikal. Tekanan dalam memastikan kelangsungan kewangan, mengurus operasi perniagaan dan memelihara hubungan dengan pekerja serta pelanggan boleh menyebabkan stres yang berpanjangan. Justeru, pendekatan holistik amat penting bagi membantu usahawan mengimbangi tuntutan perniagaan dan kehidupan peribadi dengan lebih efektif.

Konsep rezeki dalam Islam merangkumi lebih daripada sekadar wang ringgit. Konsep ini juga melibatkan kebahagiaan, ketenangan jiwa, kesihatan dan keberkatan hidup. Usahawan yang mengamalkan pendekatan holistik akan menilai kejayaan bukan sahaja dari aspek material tetapi juga dari kesejahteraan diri secara keseluruhan.

Beberapa kaedah utama yang boleh diamalkan dalam pendekatan holistik, antaranya termasuklah:

  • Teknik relaksasi seperti pernafasan dalam, regangan ringan dan aromaterapi yang terbukti secara saintifik dapat menurunkan kadar hormon stres (kortisol) dan meningkatkan hormon kebahagiaan (serotonin).
  • Pengurusan masa yang teratur dengan menetapkan keutamaan, merancang jadual harian dan mengelakkan penangguhan tugas dapat meningkatkan produktiviti dan memberi ruang kepada rehat dan refleksi diri.
  • Sokongan sosial melalui hubungan erat dengan keluarga, rakan dan komuniti memberikan peluang untuk meluahkan perasaan, berkongsi pengalaman, serta mendapatkan sokongan emosi.
  • Pendekatan spiritual seperti doa, zikir dan muhasabah diri dapat menenangkan jiwa, menguatkan hubungan dengan Tuhan serta mengukuhkan keyakinan terhadap ketentuan rezeki dan hikmah di sebalik cabaran.

Hadis Galakan Mencari Rezeki

Islam memberikan galakan jelas terhadap usaha mencari rezeki yang halal dan diberkati. Berikut beberapa hadis yang relevan, yang turut menyokong pendekatan holistik dalam pengurusan stres:

  1. Usaha Sendiri sebagai Sumber Rezeki
    Makanan yang paling baik ialah daripada hasil usahanya sendiri.
    (Hadis riwayat Ibn Majah, no. 2137)
    ➤ Kajian menunjukkan bahawa hasil daripada usaha sendiri meningkatkan dopamin yang membantu mengurangkan stres dan meningkatkan kepuasan diri.
  2. Nafkah sebagai Sedekah
    Apa-apa yang dibelanjakan kepada diri, isteri, anak dan pembantu ialah sedekah.”
    (Hadis riwayat Ibn Majah, no. 2138)
    ➤ Berkongsi rezeki boleh merangsang hormon oksitosin yang mengurangkan stres dan meningkatkan kesejahteraan emosi.
  3. Menyara Golongan Memerlukan
    “Orang yang menyara janda dan orang miskin seperti Mujahid.”
    (Hadis riwayat Ibn Majah, no. 2140)
    ➤ Membantu orang lain meningkatkan empati dan mengurangkan tekanan emosi.
  4. Kesejahteraan dalam Taqwa
    “Kesihatan yang baik lebih baik daripada kekayaan bagi orang bertaqwa.”
    (Hadis riwayat Ibn Majah, no. 2141)
    ➤ Menunjukkan nilai kesihatan mental dan fizikal dalam kehidupan yang seimbang.

Untuk mengamalkan pendekatan holistik secara praktikal, usahawan disarankan untuk melazimi zikir dan refleksi diri setiap hari bagi menenangkan fikiran dan membina kekuatan spiritual, mengurus masa secara berkesan, menetapkan jadual yang seimbang antara kerja dengan rehat, menjaga kesihatan fizikal melalui senaman berkala dan pemakanan seimbang bagi meningkatkan tenaga dan membangun jaringan sosial yang positif untuk mendapatkan sokongan moral dan berkongsi cabaran.

Pendekatan holistik dalam mencari rezeki dan mengurus stres bukan sekadar suatu pilihan tetapi satu keperluan dalam menghadapi realiti kehidupan moden, khususnya dalam dunia keusahawanan. Hal ini memberikan ruang untuk mencapai keseimbangan antara kejayaan material dengan kebahagiaan spiritual. Usahawan yang menghayati prinsip ini bukan sahaja mampu mengharungi cabaran dengan tenang tetapi turut membina kehidupan yang lebih bermakna dan diberkati di dunia dan akhirat.

Dr. Wan Nornajwa Wan Othman ialah Felo Posdoktoral di INHART IIUM dan Pegawai Penyelidik di Institut Penyelidikan dan Pengurusan Kemiskinan (InsPeK), Universiti Malaysia Kelantan.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi