Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Pahang terus mengukuhkan ekonomi negeri dengan meneroka potensi kerjasama strategik dalam pembangunan inisiatif angkasa melalui kerjasama tiga hala melibatkan Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP); China Great Wall Industry Corporation (CGWIC), anak syarikat China Aerospace and Technology Corporation; dan Lestari Angkasa Sdn. Bhd., anak syarikat milikan penuh LBS Bina Group Berhad.
Ujar Menteri Besar Pahang, Yang Amat Berhomat (YAB) Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail,
Kerjasama bersejarah ini dijangka menjadi batu loncatan ke arah meletakkan Malaysia sebagai hab serantau bagi teknologi dan inovasi angkasa tertakluk pada kelulusan pihak berkuasa yang berkaitan dengannya.
Beliau berkata demikian semasa menghadiri Majlis Menandatangani Surat Hasrat antara tiga pihak tersebut yang berlangsung di Hotel Corus pada 14 April 2025.

Jelas beliau lagi,
“Surat hasrat tersebut menjadi asas kepada kerjasama tiga hala yang kukuh dengan tumpuan kepada pembangunan keupayaan pelancaran Malaysia, memperluas perkhidmatan komersial angkasa serta pemindahan teknologi dan pelaburan dalam ekosistem aeroangkasa.”
Beliau turut berharap agar kerjasama strategik tersebut dapat mengukuhkan peranan khususnya negeri Pahang sebagai pemacu dalam ekosistem angkasa Malaysia yang semakin berkembang dalam membangunkan industri aeroangkasa.
Sementara itu, Yang Berbahagia (YBhg.) Tan Sri Dato’ Sri Ir. (Dr.) Lim Hock San, Pengerusi Eksekutif LBS Group yang turut hadir menyaksikan majlis tersebut berkata, majlis menandatangani surat hasrat tersebut bukan sekadar simbolik semata-mata, tetapi sebagai komitmen bersama untuk mendepani sains dan teknologi bagi pertumbuhan ekonomi aeroangkasa yang kukuh.
Tambah beliau lagi,
Perkara ini adalah sebagai platform untuk galakan menceburi bidang perniagaan baharu dan sebagai refleksi kepada visi kolektif untuk memacu inovasi, pembangunan ekonomi dan kolaborasi rentas sempadan dalam industri angkasa.
Pada masa yang sama, YBhg. Dato’ Mohd Faizal Jaafar, Ketua Pegawai Eksekutif PKNP menyatakan bahawa PKNP akan memberikan sokongan sepenuhnya dalam membantu segala keperluan untuk merealisasikan projek yang dirancang tersebut dalam usaha menyokong agenda nasional yang digariskan melalui Dasar Angkasa Negara 2030 (DAN2030).
Ujar beliau,
Majlis pada hari ini begitu bermakna dan menjadi indikator kukuh kepada kepentingan serta komitmen dalam pelaksanaan cadangan pembangunan projek ini. Saya berharap projek ini akan berjaya dan membawa manfaat kepada negeri Pahang dan Malaysia.
Yang turut hadir menyaksikan majlis tersebut ialah YBhg. Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang; Yang Berusaha (YBrs.) Encik Mohd Razif Abdul Malek, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan) PKNP dan pegawai rasmi CGWIC.