Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuantan – Kebawah Duli Paduka Baginda (KDPB) Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah menzahirkan ucapan tahniah atas prestasi yang menakjubkan Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) sebagai sebuah agensi badan berkanun kerajaan negeri yang berjaya mengurangkan hutang dengan jayanya.
“Daripada hutang yang banyak menjadi kurang dan mungkin tiada hutang lagi. Jadi teruskan dan tingkatkan prestasi baik dari atas sehingga ke bawah supaya dapat mengurus tadbir dengan sebaik mungkin,” titah baginda.
Baginda bertitah lagi,
Sudah lama tidak mendengar khabar mengenai kemajuan PKNP yang bebas daripada hutang. Kebiasaannya, banyak agensi terpaksa menanggung beban hutang, namun alhamdulillah saya dimaklumkan bahawa kebanyakan agensi di Pahang kini tidak lagi terbeban dengan hutang. Kita amat bangga dengan pencapaian tersebut. Saya mendoakan semua sihat walafiat.
KDPB Sultan Pahang bertitah demikian semasa berkenan mencemar duli menghadiri Majlis Hari Raya Aidilfitri Kumpulan PKNP 2025 yang diadakan di pekarangan Kompleks Teruntum, Kuantan semalam.
PKNP sebagai sebuah badan berkanun negeri yang ditubuhkan sejak tahun 1965 dan mencapai usia 60 tahun pada tahun ini sentiasa komited dalam membangunkan ekonomi negeri, mengurangkan hutang agensi dan meningkatkan keberhasilan negeri demi kemajuan negeri Pahang.

Yang turut mengiringi KDPB Sultan Pahang ialah Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah; Yang Amat Mulia Kerabat-kerabat Bergelar; Yang Amat Berhormat (YAB) Menteri Besar Pahang merangkap Pengerusi PKNP, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail; barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Pahang; Yang Berbahagia Dato’ Mohd Faizal Jaafar, Ketua Pegawai Eksekutif PKNP dan tetamu jemputan.