Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Malaysia tidak bercadang untuk mengenakan tarif balas terhadap Amerika Syarikat (AS) meskipun negara itu menaikkan tarif sebanyak 10 peratus ke atas eksport Malaysia.
Menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), kerajaan sedang berunding secara aktif dengan pihak berkuasa AS bagi mencari penyelesaian yang selaras dengan semangat perdagangan bebas dan adil.
MITI mengakui bahawa langkah AS ini bukan sahaja memberikan kesan kepada Malaysia tetapi juga menjejaskan banyak negara lain serta pertumbuhan perdagangan global.
Walaupun langkah Presiden Donald Trump itu mencetuskan cabaran kepada dinamik perdagangan antarabangsa, Malaysia memilih pendekatan rundingan bagi mengekalkan hubungan ekonomi yang saling menguntungkan.
Bagi mengurangkan impak tarif tersebut, kerajaan sedang memperluas pasaran eksport, memanfaatkan perjanjian perdagangan bebas (FTA) seperti Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Trans-Pasifik (CPTPP) dan Perkongsian Komprehensif Ekonomi Serantau (RCEP) serta mengukuhkan daya tahan rantaian bekalan melalui dasar industri utama termasuklah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).
MITI turut menegaskan bahawa Pusat Kawalan Geoekonomi Kebangsaan (NGCC) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri akan menilai impak pengumuman tarif AS dan merangka strategi mitigasi bagi melindungi ekonomi negara.
Selain itu, Malaysia akan memanfaatkan Perjanjian Kerangka Perdagangan dan Pelaburan (TIFA) dengan AS serta meneroka Perjanjian Perlindungan Teknologi untuk memperkukuh kerjasama dalam sektor teknologi tinggi seperti semikonduktor, aeroangkasa dan ekonomi digital.
Dari sudut perdagangan, Malaysia menduduki tangga ke-15 dalam senarai AS dengan lebihan perdagangan sebanyak USD24.8 bilion (RM110.7 bilion) pada tahun lalu, menurut Biro Analisis Ekonomi AS.
Walaupun mengalami defisit perdagangan barangan, lebihan dalam sektor perkhidmatan menunjukkan hubungan ekonomi dua hala yang kukuh.
Kerajaan juga sedang berunding dengan pihak industri yang terjejas bagi meneroka langkah sokongan dan membantu perniagaan menyesuaikan diri dengan keadaan baharu ini.
MITI menegaskan bahawa Malaysia kekal komited terhadap dialog terbuka serta kerjasama antarabangsa bagi menyelesaikan pertikaian perdagangan. Dengan asas ekonomi yang kukuh serta permintaan domestik yang stabil, Malaysia berada dalam kedudukan baik untuk menghadapi cabaran ini.