Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Bank Negara Malaysia (BNM) menerbitkan laporan perkembangan Monetari dan Kewangan pada bulan Februari 2025 berkaitan dengan perubahan ekonomi yang berkait rapat dengan mata wang, sistem perbankan dan pasaran kewangan pada bulan tersebut.
Laporan bulanan ini meneliti beberapa aspek seperti inflasi, sektor pembuatan, pertumbuhan kredit kepada sektor kewangan swasta, kecairan sistem perbankan, kualiti aset dalam sistem perbankan dan polisi kewangan Amerika Syarikat.
Pada bulan Februari, inflasi utama menurun kepada 1.5% berbanding dengan 1.7% pada bulan Januari manakala inflasi teras meningkat kepada 1.9% berbanding dengan 1.8% pada bulan Januari. Dari segi komponen, inflasi lebih tinggi untuk sewaan rumah kediaman, insurans pengangkutan peribadi, barang kemas dan jam tangan. Inflasi yang lebih rendah merangkumi bekalan air dan pelbagai perkhidmatan kediaman, makan di luar serta perkhidmatan pengangkutan penumpang udara.
Indeks pengeluaran perindustrian pembuatan pula mencatatkan pertumbuhan yang lebih perlahan sebanyak 3.7% pada bulan Januari berbanding dengan 5.8% pada bulan Disember 2024 disebabkan oleh kemerosotan dalam industri berorientasikan domestik.
Kluster berorientasikan eksport berkembang sebanyak 5.6% berbanding dengan 6.8% pada bulan Disember 2024 di tengah-tengah pengembangan dalam subsektor pembuatan komputer dan elektronik (7.9%) serta minyak dan lemak sayuran (8.9%).
Pertumbuhan kluster berorientasikan domestik mengalami pertumbuhan sederhana, iaitu 0.2% berbanding dengan 3.7% pada bulan Disember 2024 terutamanya disebabkan oleh penguncupan ketara dalam pembuatan peralatan pengangkutan yang mencatatkan penurunan sebanyak -9.4% berikutan kekurangan hari bekerja disebabkan cuti umum pada bulan tersebut. Faktor ini berkemungkinan bersifat sementara sahaja kerana data pengeluaran automotif bulan Februari menunjukkan corak yang bertambah baik berbanding dengan bulan Januari.
Pinjaman (kredit) kepada sektor bukan kewangan swasta pula berkembang sebanyak 5.1% berbanding dengan 5.2% pada bulan Januari kerana disokong oleh pertumbuhan yang stabil dalam pinjaman isi rumah sebanyak 6% (kekal mendatar seperti pada bulan Januari 6%) dan pertumbuhan yang lebih tinggi dalam bon korporat tertunggak sebanyak 3.8% berbanding dengan 3.6% pada bulan Januari.
Pertumbuhan dalam pinjaman perniagaan mencatatkan pertumbuhan 4.5% berbanding dengan 5.1% pada bulan Januari kerana pertumbuhan pinjaman yang lebih perlahan untuk modal kerja dan tujuan berkaitan dengan pelaburan. Walau bagaimanapun, pertumbuhan pinjaman berkaitan dengan pelaburan untuk peniaga kecil sederhana (PKS) adalah stabil disebabkan oleh permohonan pinjaman yang berterusan dalam segmen ini. Bagi isi rumah, pertumbuhan pinjaman tertunggak stabil dengan mencatatkan 6% (kekal sama seperti pada bulan Januari 6%) dengan pertumbuhan berterusan merentasi pelbagai tujuan pinjaman.
Sistem perbankan terus mencatatkan penampan kecairan yang baik dengan Nisbah Liputan Kecairan agregat sebanyak 154.4% berbanding dengan 157.8% pada bulan Januari. Nisbah pinjaman kepada dana agregat kekal stabil secara amnya pada 83% berbanding dengan 83.3% pada bulan Januari.
Nisbah pinjaman terjejas kasar dan bersih masing-masing dikekalkan pada 1.5% dan 0.9%. Nisbah liputan kerugian pinjaman (termasuk rizab kawal selia) kekal dalam keadaan yang terkawal pada 130.3% daripada pinjaman terjejas kasar berbanding dengan 128.5% pada bulan Januari.
Pasaran kewangan dunia mengalami turun naik yang meningkat berikutan pengumuman tarif Amerika Syarikat ke atas barangan import dari Mexico, Kanada, China dan Kesatuan Eropah (EU). Dasar ini menimbulkan kebimbangan mengenai tekanan inflasi dan potensi kelembapan dalam pertumbuhan ekonomi di Amerika Syarikat.
Di tengah-tengah ketidaktentuan dunia, Ringgit Malaysia menyusut sebanyak 1% berbanding dengan dolar Amerika Syarikat (NEER: -1%), sejajar dengan pergerakan mata wang serantau lain (purata, iaitu 0.5%). Hasil MGS 10 tahun menurun sedikit sebanyak dua mata asas (bps) (purata serantau: -13.4 mata asas), manakala FBM KLCI memperoleh 1.1% (purata serantau: -3.3%) di tengah-tengah prospek pendapatan korporat yang kian kukuh.