Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Bank Negara Malaysia (BNM) menerbitkan Laporan Rizab Antarabangsa yang merupakan laporan penuh mengenai mata wang asing dan aset (rizab antarabangsa) negara sehingga akhir bulan Februari 2025.
Selaras dengan kaedah Piawaian Penyebaran Data Khas (SDDS) Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), laporan pecahan terperinci rizab antarabangsa menyediakan maklumat prospek seperti saiz, komposisi, kebolehgunaan rizab, aset mata wang asing lain, jangkaan, potensi aliran masuk dan keluar pertukaran asing Kerajaan Persekutuan serta Bank Negara Malaysia dalam tempoh 12 bulan akan datang.
Aset rizab rasmi negara berjumlah USD118,264.8 juta manakala aset mata wang asing lain berjumlah USD784.1 juta sehingga pada akhir bulan Februari 2025.
Untuk tempoh 12 bulan akan datang, aliran keluar jangka pendek pinjaman, sekuriti dan deposit mata wang asing yang telah ditetapkan termasuklah pembayaran balik pinjaman luar yang dijadualkan oleh kerajaan dan tempoh matang mata wang asing antara Bank Negara Malaysia berjumlah USD12,748.5 juta. Jumlah baki bersih pula ialah USD27,107.9 juta sehingga akhir bulan Februari 2025 mencerminkan kecairan ringgit dalam pasaran wang.
Selaras dengan amalan yang diterima pakai sejak April 2006, data tidak termasuk unjuran aliran masuk mata wang asing yang wujud daripada pendapatan faedah dan pengeluaran pinjaman projek. Turut direkodkan unjuran aliran masuk mata wang asing berjumlah USD2,517 juta dalam tempoh 12 bulan akan datang.
Satu-satunya aliran keluar bersih jangka pendek bagi aset mata wang asing ialah jaminan Kerajaan bagi hutang mata wang asing yang perlu dibayar dalam tempoh satu tahun berjumlah USD419.1 juta. Hal ini bermaksud Malaysia tidak mengambil atau memberikan sebarang pinjaman mata wang asing dengan syarat khas tidak mempunyai perjanjian kredit terbuka dengan bank lain atau organisasi antarabangsa.
BNM juga tidak mempunyai sebarang tanggungjawab atau risiko kewangan tersembunyi yang terikat dengan pinjaman asing atau perjanjian kredit. Selain itu, BNM juga tidak terlibat dalam urusan penukaran dan perjanjian mata wang asing yang melibatkan Ringgit Malaysia (RM).
Secara keseluruhan, laporan rizab antarabangsa di bawah format SDDS IMF menunjukkan bahawa sehingga akhir bulan Februari 2025, rizab antarabangsa Malaysia terus kekal mampan dan masih mempunyai simpanan mata wang asing yang boleh digunakan apabila diperlukan.