Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuantan – Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) menerusi Program Pembiayaan Mikro iTEKAD Bangkit menawarkan pembiayaan tanpa faedah dan Geran Sepadan sebagai usaha menggalakkan kemenjadian dan memperkasakan usahawan di negeri Pahang.
Yang Berusaha (YBrs.) Encik Luqman Hazim Mohd Rosmi, Pengurus Perhubungan BIMB berkata, pembiayaan mikro sehingga RM20,000.00 tanpa faedah boleh diberikan dan usahawan berpeluang untuk mendapat Geran Sepadan sekiranya berkelayakan.
Beliau berkata demikian dalam program Master Your Business (MYOB) yang disertai oleh seramai 20 orang usahawan bimbingan Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) melalui Bahagian Pembangunan dan Keusahawanan yang diadakan di BCIC Lodge, Indera Mahkota Kuantan, semalam.

Beliau turut menjelaskan bahawa syarat yang ditetapkan untuk memohon pembiayaan iTEKAD Bangkit ini sangat minimum dengan tiada cagaran mahupun penjamin diperlukan demi membantu para usahawan.
Usahawan yang layak juga bakal mengikuti program latihan pembangunan perniagaan yang dilaksanakan oleh BIMB dan Rakan Pelaksana.
Ujar beliau lagi,
Inisiatif ini adalah sebagai sokongan BIMB terhadap Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) di negeri Pahang dalam menjalankan dan mengembangkan perniagaan masing-masing.
Dalam program tersebut, para usahawan bimbingan PKNP telah dikumpulkan bagi mengikuti sesi sumbang saran tentang kaedah terbaik untuk mengembangkan perniagaan masing-masing.
Selain itu, para usahawan turut berkongsi masalah dan cabaran yang dihadapi oleh mereka dan seterusnya mencari idea penyelesaian bagi mengatasinya.
Majlis Perasmian Penutup telah disempurnakan oleh YBrs. Encik Muhammad Jabrul Akmal Mat Yahya, Penolong Pengurus Bahagian Pembangunan Komuniti & Keusahawanan PKNP.
Dalam ucapannya, beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada BIMB atas kesudian berkolaborasi dalam program tersebut.
Tambah beliau lagi, program ini akan diperluas ke setiap daerah di Pahang agar semua usahawan di Pahang mendapat manfaatnya.
Jelas beliau,
Semoga jalinan kerjasama antara agensi keusahawanan, pihak perbankan serta usahawan ini terus kukuh agar segala insentif dan kemudahan yang disediakan dapat dinikmati oleh para usahawan.