Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Anwar Ibrahim memberikan tempoh satu bulan kepada pengurusan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) untuk merangka pendekatan dan hala tuju baharu bagi agensi tersebut.
Menurut beliau, keputusan ini diambil bagi memberikan keyakinan kepada peneroka bahawa FELDA kini berada dalam keadaan yang memerlukan lonjakan kekuatan yang baharu.
Beliau juga menjelaskan bahawa FELDA tidak boleh terus berada dalam keadaan selesa dengan kaedah dan hala tuju yang lama, walaupun kerajaan kini berjaya meningkatkan permintaan pasaran sawit.
“Dalam unjuran semasa yang lebih baik, kita berharap permintaan akan terus meningkat. Namun begitu, kita harus berwaspada dengan keadaan geopolitik yang tidak menentu kerana perkara ini mungkin membawa cabaran yang lebih besar pada masa hadapan,” jelasnya ketika menyampaikan Amanat Perdana bersama-sama Warga Kumpulan dan Petugas FELDA di Menara FELDA, semalam.
Menurut Perdana Menteri, kerajaan bersedia memberikan suntikan hampir RM1 bilion setahun untuk memastikan FELDA terus berkembang, asalkan pendekatan dan hala tuju yang ditetapkan dapat menyelamatkan bukan sahaja agensi itu tetapi juga peneroka dan masa hadapan mereka.
“Saya berharap jumlah import sawit dapat ditingkatkan, bukan hanya untuk menjual tetapi apabila permintaan meningkat, harga akan turut naik,” tambahnya.
Beliau juga menekankan bahawa harga pasaran tidak hanya bergantung pada keadaan biasa tetapi juga dipengaruhi oleh permintaan pasaran.
Selain itu, Perdana Menteri memberikan jaminan bahawa kerajaan akan menggerakkan seluruh tenaga dan kekuatan untuk memastikan FELDA berada pada landasan yang kukuh demi mengangkat martabatnya dan menjamin masa hadapan peneroka serta ekonomi Malaysia yang lebih baik.
“FELDA mempunyai banyak kekurangan dan ketirisan pada pelbagai peringkat, dari atas, tengah hingga bawah, dengan penipuan yang berleluasa. Tanpa integriti dan semangat yang kuat, tiada organisasi yang hebat dapat bertahan,” ujarnya lagi.
Beliau turut mengingatkan bahawa FELDA yang ditubuhkan oleh Tun Abdul Razak memainkan peranan penting dalam membela nasib masyarakat pada waktu itu yang dikenali dengan “kelaparan tanah” (hunger for land).
“FELDA melalui zaman kegemilangannya, dengan pasang surutnya, namun semua itu kini menjadi sejarah. Saya menghargai semangat pengurusan FELDA dalam usaha membawa perubahan melalui langkah baharu di ladang, pengurusan, pemasaran, kilang dan eksport yang bertujuan untuk mengangkat semula keupayaan FELDA,” katanya.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ketua Setiausaha Negara, YBhg. Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Timbalan Menteri Kerja Raya, Yang Berhormat (YB) Datuk Seri Haji Ahmad Maslan; Pengerusi FELDA, YBhg. Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek; Pengarah Besar FELDA, YBhg. Dato’ Dr. Suzana Idayu Wati Osman; Ketua Peneroka FELDA Kebangsaan, YBrs. Encik Sulong Jamil Mohamed Shariff dan Timbalan Ketua Peneroka FELDA Kebangsaan, YBhg. Dato’ Safariah Awang Ngah.