Diterbitkan pada 24 Mac 2025, 15:52

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Bank Negara Malaysia (BNM) menerbitkan Laporan Tahunan 2024 (AR 2024), Kajian Ekonomi dan Monetari 2024 (EMR 2024), dan Kajian Kestabilan Kewangan bagi Separuh Penggal Kedua 2024 (FSR 2H 2024).

Laporan tersebut memperincikan aktiviti bank pusat pada tahun lalu dalam mengukuhkan kestabilan monetari dan kewangan serta penilaian untuk tahun 2025.

Ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan kukuh sebanyak 5.1% pada tahun 2024 dengan inflasi sederhana sebanyak 1.8%. Ringgit mengakhiri tahun 2024 dengan 2.7% lebih tinggi berbanding dengan dolar AS dan 7.5% lebih tinggi berbanding dengan rakan dagang utama yang lain.

BNM juga terus memastikan rangka kerja kawal selia yang kukuh untuk menggalakkan kestabilan kewangan dan melindungi pengguna kewangan. Pada tahun 2024, sebelas dasar berhemah dan kelakuan pasaran utama telah dikeluarkan untuk menyokong pembaharuan rangka kerja modal, mengukuhkan piawaian pengurusan risiko dan memastikan hasil yang adil untuk pengguna kewangan.

Pada tahun 2024, BNM telah menjalankan kajian separuh penggal bagi Rangka Tindakan Sektor Kewangan 2022–2026. Berlatarbelakangkan kemajuan teknologi, peralihan iklim dan perubahan demografi, BNM telah menyesuaikan strategi Rangka Tindakan dan keutamaan pembangunannya untuk seiring dengan corak dan cabaran yang akan datang.

Bagi meneruskan usaha dalam memerangi penipuan kewangan, BNM, PayNet, dan institusi kewangan telah melancarkan Portal Penipuan Kebangsaan (NFP) pada bulan September 2024. NFP ialah platform bersepadu yang direka untuk meningkatkan keupayaan operasi Pusat Tindak Balas Penipuan Kebangsaan (NSRC). Hal ini telah mengurangkan masa yang diambil oleh institusi kewangan untuk mengenal pasti transaksi penipuan yang disyaki sebanyak 75% dan meningkatkan pengenalpastian akaun keldai sebanyak 65%.

Selain itu, BNM mengeluarkan dasar Layanan Adil untuk Mangsa Transaksi e-Perbankan Tanpa Kebenaran pada tahun 2024, mengenakan tanggungjawab bersama antara pengguna dengan institusi kewangan untuk memastikan siasatan dan pampasan yang adil dan saksama bagi insiden penipuan.

Ekonomi Malaysia diunjurkan berkembang antara 4.5% hingga 5.5% pada tahun 2025. Pertumbuhan ini akan didorong oleh permintaan domestik yang berterusan walaupun ketidaktentuan luaran yang meningkat yang boleh membawa kepada pengembangan eksport yang lebih sederhana.

Menurut Gabenor BNM, Dato’ Seri Abdul Rasheed Ghaffour,

“Walaupun ketidaktentuan masih berlaku secara global, BNM akan terus melaksanakan mandat dengan setia dan membina kepercayaan rakyat. Struktur ekonomi BNM dan mekanisme dasar yang pelbagai akan memberikan daya tahan dan ketangkasan kepada BNM untuk mengharungi halangan ini.

BNM yakin bahawa ekonomi Malaysia akan kekal pada landasan pertumbuhan yang stabil dengan tekanan inflasi kekal terkawal secara meluas. Dengan keadaan domestik yang dijangkakan menggalakkan, Malaysia harus meneruskan usaha pembaharuan struktur utama untuk memastikan pertumbuhan yang mampan untuk tahun akan datang.”

Seperti yang diaudit dan diperakui oleh Ketua Audit Negara, kedudukan kewangan BNM kekal stabil pada tahun 2024. Jumlah aset berjumlah RM621.54 bilion pada 31 Disember 2024. Keuntungan bersih selepas cukai sebanyak RM13.16 bilion telah direkodkan untuk tahun kewangan tersebut dengan RM7.91 bilion telah dipindahkan ke dalam Rizab Risiko BNM. BNM telah mengisytiharkan dividen sebanyak RM5.25 bilion kepada kerajaan bagi tahun kewangan 2024.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi