Diterbitkan pada 23 Mac 2025, 09:24

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kerajaan MADANI telah meluluskan Bantuan Khas Kewangan (BKK) sempena Hari Raya Aidilfitri 2025 yang diumumkan oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat lepas.

Menurut Kementerian Kewangan, bantuan khas ini bertujuan untuk mengurangkan beban perbelanjaan rakyat dalam persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Hal ini juga selaras dengan peluasan asas hasil kerajaan dalam penstrukturan semula kewangan awam yang memberikan ruang untuk berkongsi hasil negara secara lebih saksama.

Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri (BKKA) 2025 sebanyak RM500 akan diberikan kepada penjawat awam Gred 15 dan ke bawah (setara Gred 56 dan ke bawah) termasuklah pegawai dan kakitangan lantikan kontrak. Selain itu, pesara kerajaan juga akan menerima bantuan khas sebanyak RM250. Hal ini termasuklah pesara berpencen, penerima pencen terbitan, pesara Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), veteran berpencen dan veteran tidak berpencen.

Kementerian Kewangan menjelaskan bahawa BKKA ini melibatkan peruntukan kewangan sebanyak RM900 juta dan dijangka memberikan manfaat kepada lebih dua juta penjawat awam dan pesara. Pembayaran BKKA akan disalurkan sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri dengan harapan dapat meringankan beban kewangan mereka.

Selain itu, kerajaan MADANI juga mengumumkan bahawa pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 2 akan dipercepatkan kepada 9 juta penerima bermula pada Isnin, 24 Mac 2025 dengan jumlah peruntukan sebanyak RM1.7 bilion.

Kerajaan berharap pemberian Bantuan Kewangan Khas ini dapat meringankan beban kewangan kepada penerima dan memberikan dorongan kepada mereka untuk terus berkhidmat dengan penuh dedikasi.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi