Diterbitkan pada 21 Mac 2025, 16:24

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Perpustakaan Perkhidmatan Kewangan (FSL) mengambil inisiatif untuk menjadi pusat sehenti dalam memperkasakan pembangunan keusahawanan dengan menyediakan pelbagai perkhidmatan sokongan kepada usahawan perusahaan mikro kecil dan sederhana (PKMS).

Dalam sesi perbincangan, Timbalan Pengarah FSL, Mohd Irman Mohd Din menjelaskan bahawa perpustakaan kini bukan lagi sekadar tempat meminjam buku tetapi telah berkembang menjadi pusat ilmu, inovasi dan sokongan untuk komuniti perniagaan kecil. Pusat ini juga menyediakan koleksi khas berkaitan dengan keusahawanan seperti buku, jurnal, laporan industri dan kajian pasaran.

Langganan pangkalan data dalam talian yang ditawarkan turut memberikan peluang kepada usahawan untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai trend pasaran dan persaingan.

FSL juga menyediakan bantuan penyelidikan dan khidmat nasihat bagi membantu usahawan membuat keputusan yang berasaskan data perniagaan.

Timbalan Pengarah FSL, Mohd Irman Mohd Din membincangkan topik keusahawanan kepada usahawan PKMS yang hadir.

Selain berperanan sebagai pusat akses maklumat, FSL turut menjadi pusat pembelajaran dan pembangunan kemahiran dengan menganjurkan kursus serta bengkel yang meliputi literasi digital, pemasaran dalam talian, pengurusan kewangan dan penyediaan pelan perniagaan.

FSL juga menganjurkan Program Pemerkasaan Usahawan seperti iTEKAD yang menyediakan bimbingan daripada pakar dan modul pembelajaran kendiri dalam bentuk kursus dalam talian serta sesi bersemuka interaktif.

Bagi memperkukuh jaringan keusahawanan, FSL juga menyediakan ruang kerja bersama (co-working space) yang membolehkan usahawan berkumpul, bertukar idea dan membina rangkaian perniagaan. Selain itu, perancangan sedang dibuat untuk menganjurkan sesi pitching dan temu duga perniagaan yang akan mempertemukan usahawan dengan pelabur serta pembeli berpotensi.

Dalam aspek pembiayaan, FSL bercadang untuk menjadi pusat rujukan berkaitan dengan skim pembiayaan Islamik seperti qard-hassan dan wakaf perniagaan. FSL juga berkolaborasi dengan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) serta institusi kewangan untuk merangka program literasi kewangan dan sesi kaunseling bagi membantu usahawan mengurus modal dan aliran tunai perniagaan mereka.

Dengan pelbagai inovasi ini, FSL berharap dapat kekal relevan dalam era digital serta memainkan peranan yang lebih besar dalam menyokong pembangunan usahawan dan pertumbuhan ekonomi negara selaras dengan model perpustakaan abad ke-21 seperti Idea Store di London, Perpustakaan Toronto di Kanada dan Perpustakaan Aarhus di Denmark.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi