Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPerniagaan dalam Islam merupakan satu aktiviti yang sangat mulia kerana menggalakkan umat Islam untuk berusaha dan mencari pendapatan melalui usaha sendiri tanpa bergantung kepada orang lain.
Bulan Ramadan bukan sahaja memberikan gandaan pahala kepada umat Islam tetapi juga membuka peluang untuk meraih keuntungan terutamanya bagi usahawan yang terlibat dalam sektor perkhidmatan makanan dan minuman (F&B).
Permintaan terhadap juadah untuk berbuka puasa dan sahur meningkat dengan mendadak, menjadikan perkhidmatan ini sebagai peluang perniagaan yang sangat menguntungkan. Banyak usahawan memilih untuk berniaga hanya sepanjang bulan Ramadan kerana menyedari potensi besar dalam meraih keuntungan di bulan yang penuh keberkatan ini.
Bulan Ramadan di Malaysia bukan sahaja menguntungkan peniaga di bazar Ramadan dan bufet hotel tetapi juga para pengusaha kuih raya, sambal sedia dimakan, ikan masin dan pelbagai hidangan tradisional yang lain.
Setiap tahun, masyarakat di Malaysia dihidangkan dengan kemeriahan perniagaan bermusim ini, khususnya dalam kalangan peniaga F&B yang berusaha gigih untuk meraih keuntungan dalam tempoh yang singkat.
Keadaan ini menyaksikan peningkatan jumlah tapak bazar yang dibuka dengan permohonan untuk mendapatkan tapak bazar menjadi rebutan meskipun harga sewa tapak semakin meningkat. Bazar Ramadan telah menjadi tempat wajib kunjungan bagi umat Islam untuk membeli juadah berbuka puasa. Selain itu, bazar Ramadan turut menjadi tumpuan masyarakat bukan Islam dan pelancong asing yang ingin merasai pengalaman budaya tempatan melalui hidangan makanan.
Setiap petang sepanjang bulan Ramadan, kesesakan di bazar Ramadan menjadi pemandangan yang biasa. Peniaga yang hanya berniaga sepanjang bulan ini selalunya memiliki pelanggan tetap yang datang membeli juadah mereka. Makanan yang dijual terutamanya kuih tradisional yang jarang ditemui di luar bulan Ramadan, sering kali menjadi tular.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, sekitar 22 juta umat Islam membelanjakan hampir RM5.4 bilion di bazar Ramadan di seluruh negara. Statistik juga menunjukkan peningkatan dalam jualan bazar Ramadan dengan peningkatan sebanyak 5.9 peratus kepada RM2.5 bilion pada tahun 2023 berbanding dengan RM2.4 bilion pada tahun 2022.
Selain bazar Ramadan, bufet Ramadan yang ditawarkan di hotel seluruh Malaysia juga menjadi sumber pendapatan utama bagi pengusaha hotel. Promosi bufet Ramadan yang dimulakan sejak awal bulan Ramadan melalui media sosial menjanjikan pengalaman berbuka puasa yang mewah dan eksklusif. Industri perhotelan berlumba-lumba menyajikan pelbagai hidangan tradisional dan moden dalam suasana yang selesa dan menarik.
Walaupun bufet Ramadan di hotel menawarkan harga yang lebih tinggi, namun tetap menjadi pilihan utama untuk berbuka puasa sebagai cara menghargai keluarga dan rakan-rakan. Banyak majikan juga memilih bufet Ramadan untuk majlis berbuka puasa syarikat mereka kerana hotel menyediakan ruang yang luas serta pelbagai kemudahan tambahan seperti surau dan lain-lain.
Selain itu, perniagaan kuih dan kek raya juga menawarkan peluang keuntungan yang besar sepanjang bulan Ramadan. Walaupun harga bahan mentah meningkat, permintaan terhadap kuih raya tetap tinggi.
Bagi masyarakat Malaysia, sambutan Aidilfitri tidak akan lengkap tanpa kuih raya di atas meja makan. Peniaga kuih raya kini dapat menjual produk mereka bukan sahaja di kedai fizikal, tetapi juga melalui platform media sosial dan di bazar Aidilfitri yang diadakan selepas bulan Ramadan.
Bulan Ramadan bukan sahaja menjanjikan ganjaran pahala yang berlipat ganda bagi umat Islam tetapi juga membuka peluang besar bagi usahawan dan peniaga dalam sektor F&B di Malaysia. Bazar Ramadan yang meriah, bufet Ramadan di hotel dan perniagaan kuih raya semuanya berpotensi menghasilkan keuntungan yang signifikan.
Budaya masyarakat Malaysia yang meriah dalam menyambut bulan Ramadan dan Aidilfitri menjadi faktor utama yang mendorong permintaan terhadap produk dan perkhidmatan F&B sepanjang bulan ini.
Bagi mereka yang ingin memulakan perniagaan, bulan Ramadan ialah waktu yang tepat untuk mengambil langkah pertama. Dengan persiapan yang rapi, peluang untuk meraih keuntungan berganda sepanjang bulan Ramadan dapat dimanfaatkan sepenuhnya.