Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) dan MyDigital ID telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi Pemerkasaan Identiti Digital sebagai langkah untuk memperkukuh kerjasama dalam pembangunan serta memperluas penggunaan identiti digital di Malaysia.
MoU ini bertujuan untuk mengintegrasikan MyDigital ID dalam platform MyTax dan MySTR, sekali gus meningkatkan kemudahan dan keselamatan transaksi digital di negara ini.
MoU yang ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif HASiL, YBhg. Datuk Dr. Abu Tariq Jamaluddin bersama-sama dengan Ketua Pegawai Eksekutif MyDigital ID Sdn. Bhd., Encik Mohd Mirza Mohamed Noor ini mencerminkan iltizam kedua-dua pihak dalam menyokong agenda pendigitalan perkhidmatan awam negara serta menjajarkan teknologi masa depan (emerging technologies) seiring dengan transformasi digital sektor awam, khususnya dalam aspek percukaian dan pengurusan bantuan kerajaan.

Menurut HASiL, integrasi MyDigital ID dalam MyTax dan MySTR turut memudahkan akses pengguna, mengoptimumkan kelancaran urusan dalam talian dan mengurangkan risiko ancaman siber selaras dengan perkembangan hala tuju perkhidmatan kerajaan dalam era digital.
Sebanyak 687,361 pengguna telah menggunakan pengesahan MyDigital ID di Portal MyTax bagi tujuan carian nombor TIN (TaxIdentification Number), manakala 14,137 pengguna telah menggunakan kemudahan ini untuk pengesahan akses ke platform MySTR.
Menerusi MoU ini, HASiL yakin bahawa pelaksanaan identiti digital akan mendapat respon positif serta kepercayaan rakyat terhadap keberkesanan pengurusan digital, keselamatan data dan seterusnya mempertingkatkan kecekapan operasi kerajaan secara optimum.